Lokman Noor Adam dihentam dedah butiran mesyuarat

KUALA LUMPUR: UMNO mengecam tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Lokman Noor Adam yang mengkritik Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendedahkan rahsia Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, menjelaskan tindakan Lokman yang mendedahkan rahsia parti kepada umum adalah tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan imej parti.
Katanya, semua ahli termasuk Lokman sepatutnya mematuhi prinsip dan tatacara dipegang UMNO kerana segala keputusan parti akan diputus melalui saluran yang betul serta tepat.

“Justeru, menghebahkan apa yang disebut oleh Presiden UMNO dalam mesyuarat tertutup seperti dilakukan Lokman adalah tindakan salah.

“Tindakan memanipulasikan pelbagai isu, situasi serta membuat kenyataan terbuka dan melulu oleh Lokman adalah suatu yang tidak profesional dan boleh merosakkan imej parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lokman dalam hantaran video di Facebook mendakwa Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk satu pakatan baharu’ ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, semalam.
Tindakan Lokman itu mendapat kecaman dan teguran daripada kepemimpinan UMNO kerana dianggap mendahului keputusan parti dan menghina Presiden.

Shamsul Anuar berkata, dalam mesyuarat berkenaan Presiden UMNO hanya memberikan gambaran awal pembentukan pakatan baharu serta ingin mendapat pandangan daripada pelbagai pihak berhubung perkara membabitkan kepentingan parti.

Tegas beliau, Presiden UMNO dan kepemimpinan tertinggi bagaimanapun tidak akan membelakangkan kepentingan parti dalam membuat sebarang keputusan penting.

Ahli Parlimen Lenggong itu turut mengingatkan yang Mesyuarat MKT pada 24 Julai 2019 memutuskan hanya Presiden parti diberikan mandat mewakili parti jika ada pihak ingin bekerjasama dengan UMNO.

“Belum ada keputusan atau tindakan yang dimuktamadkan oleh parti mengenai perkara itu. Apakah itu satu kesalahan sehingga menganggap Presiden UMNO melakukan pengkhianatan,” katanya.
Beliau berkata, tuduhan Lokman terhadap Ahli MKT kononnya menerima bayaran daripada pihak tertentu juga keterlaluan dan memberikan gambaran salah terhadap hubungan UMNO dengan PAS berkaitan isu kerajaan gabungan.

Tegas beliau, UMNO tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti terutama yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail mengingatkan Lokman tidak menjadi ‘batu api’ kerana tindakannya itu boleh merosakkan hubungan dalaman parti.

“Mohon Lokman tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mendahului pemimpin parti kerana ia boleh mendatangkan kerosakan dalaman parti yang lebih teruk akibat daripada apa yang beliau lakukan hari ini,” katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan