Kedudukan Mukhriz di Kedah selamat buat masa ini

Kedudukan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, dijangka tetap selamat meskipun Perikatan Nasional (PN) mempunyai keupayaan untuk mencabar kedudukan kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan PAS tidak akan menggugat kedudukan Mukhriz sebagai menteri besar meskipun beliau sudah tidak sehaluan dengan presiden Bersatu itu.

Katanya, langkah tersebut diambil Muhyiddin bagi mengelak berlakunya konfrontasi lebih tegang dengan bapa Mukhriz yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kedudukan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah dijangka kekal, kerana PAS sendiri tidak memberi tekanan bagi menukar kerajaan.

"Malah, perdana menteri sendiri juga tidak mahu mengganggu memandangkan Mukhriz masih lagi bersama Bersatu.

"Ini semua bagi mengelak pertembungan berlaku dengan Mahathir selepas pertukaran kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Mukhriz dijadikan 'senjata' oleh Umno dan BN untuk merampas semula Kedah daripada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 pada 2013. Bagaimanapun Mukhriz diketepikan di pertengahan jalan - pada 2016 - dan digantikan dengan Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mahu mengurus dengan tenang
Untuk rekod perdana menteri ketika itu ialah Najib Razak dan beliau sedang berdepan dengan kritikan dari dalam Umno sendiri berhubung skandal 1MDB.

Dengan kejayaan PH pada 2018, Mukhriz dipersetujui dilantik semula menjadi menteri besar ke-13 Kedah.

Kedudukan Mukhriz sekali lagi menjadi perhatian ekoran pembentukan PN oleh kumpulan Muhyiddin bersama Umno, PAS, MCA serta MIC.

Ketika ini, PAS memiliki kerusi paling banyak dalam DUN Kedah, iaitu 15, diikuti PKR (7); Bersatu (6); Amanah (4); Umno (2) dan DAP (2).

Bagaimanapun pada 27 Feb lalu, Mukhriz Mahathir mengumumkan mendapat sokongan Adun PH bagi mengekalkan kerajaan negeri Kedah sedia ada.

Mukhriz berkata, keputusan itu dicapai selepas semua parti bersetuju membentuk gabungan PH campur Bersatu peringkat Kedah.

Katanya, keputusan itu juga sudah dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah yang memberi perkenan kerajaan negeri diteruskan seperti biasa di bawah kepimpinan beliau.

Sementara itu, sumber yang juga pemimpin kanan parti politik dalam gabungan Perikatan Nasional berkata, mereka mengambil iktibar apa dilakukan PH selepas memenangi PRU14.

"Kita tak mahu jadi macam PH, bila menang saja mereka agresif 'menyerang' sehingga akhirnya menimbulkan kemarahan orang ramai.

"Sebaliknya kita mahu tenang dan menguruskan kerajaan baru dengan tenang, sebab itu kita tidak menekan kedudukan Mukhriz di Kedah," katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan