Pelantikan Muhyiddin masih boleh dicabar, kata pakar undang-undang

SELAGI seseorang perdana menteri itu belum mengangkat sumpah secara rasmi, Yang di-Pertuan Agong masih boleh menukar fikiran tentang siapa bakal memegang jawatan tertinggi dalam negara, kata pakar undang-undang.

Ini bermakna istana masih boleh, pada saat-saat akhir, mempertimbangkan rayuan Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau yang mendapat sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dan dilantik sebagai perdana menteri, bukannya Muhyiddin Yassin.

Keadaan ini pernah berlaku di Sabah selepas pilihan raya umum pada 1985 apabila gabenor menarik semula keputusan awalnya untuk melantik Mustapha Datu Harun sebagai ketua menteri.

Malah jika perdana menteri sudah mengangkat sumpah sekalipun, cabaran undang-undang masih boleh difailkan oleh pihak-pihak yang membantah keputusan itu, kata pakar undang-undang.

“Selagi PM belum angkat sumpah, Agong boleh semak semula keputusannya. Ia berlaku di Sabah juga bila Tun Mustapha mengangkat sumpah, bukan Pairin. Gabenor tukar keputusan yang dibuatnya sebelum itu,” kata pakar undang-undang persekutuan Dr Gurdial Singh.

Dr Mahathir dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya akan cuba membuat rayuan terhadap keputusan Agong semalam untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri baharu.

Muhyiddin, partinya Bersatu dan 11 ahli Parlimen yang keluar PKR pada 23 Februari hingga meruntuhkan kerajaan PH yang baru berusia 22 bulan.

Seminggu selepas kemelut politik itu berlaku, Muhyiddin mendakwa mendapat sokongan mencukupi ahli Parlimen Bersatu, wakil rakyat PKR dan bekas seteru politiknya Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan dan dilantik perdana menteri.

Muhyiddin mempersembahkan nama 114 ahli Parlimen semalam kepada Agong yang kemudian mengumumkan beliau akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10.30 pagi ini.

Dr Mahathir dan PH membantah jumlah itu dan mendakwa sebahagian ahli Parlimen terbabit sudah menukar sokongan pada malam tadi.

Mereka akan berkumpul di Yayasan Albukhary pada 9 pagi ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan