Kebangkitan kuasa Muhyiddin

Oleh

PERNAH dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin Yassin kini bakal memegang kuasa sebagai perdana menteri ke-8 Malaysia.

Pemimpin berusia 72 tahun yang mengetuai pakatan Perikatan Nasional itu dijadualkan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10.30 pagi ini.

Muhyiddin yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Najib Razak, dipecat daripada jawatannya itu pada 2015 dan kemudian daripada Umno, kerana mempertikaikan pembabitan Najib dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada 2016, bekas menteri besar Johor itu bergabung kuasa dengan Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Bersatu, yang akhirnya menjadi parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir mempengerusikan parti itu, sementara Muhyiddin presiden.

Muhyiddin juga salah seorang pemimpin yang pernah berkhidmat sebagai menteri dalam kedua-dua kerajaan BN dan PH, dengan terakhir ialah sebagai menteri dalam negeri sehinggalah PH runtuh awal minggu ini.

Kronologi peristiwa:
Jumaat, 21 Februari, 2020

Mesyuarat pertama Majlis Presiden PH diadakan pada sebelah malam membincangkan tarikh untuk peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Perbincangan agak hangat berkaitan tiga pandangan: satu, Dr Mahathir menetapkan tarikh penyerahan kuasa sekarang; dua, beliau letak jawatan selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November; dan tiga, beliau kekal sebagai perdana menteri hingga tamat penggal.

Sabtu, 22 Februari, 2020

Pada sidang media tengah malam selepas mesyuarat itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata tiada tarikh peralihan kuasa ditetapkan dan mengulangi kenyataannya akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas Apec.

Beliau berkata majlis itu menyerahkan kepadanya dan ia “kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh parti”.

Pada sebelah paginya, butiran mesyuarat itu terbocor kepada pelbagai media dan mencetuskan pelbagai pendapat dan hangat diperkatakan.

Difahamkan juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali terus mengadakan mesyuarat rahsia dengan ahli kumpulannya dan beberapa yang lain selepas mesyuarat majlis presiden.
Mesyuarat ini berlanjutan sepanjang Sabtu dan Ahad.

Ahad, 23 Februari, 2020

Beberapa mesyuarat parti politik berlangsung sekitar Kuala Lumpur.

Selain puak Azmin, Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan turut mengadakan mesyuarat.

Difahamkan Dr Mahathir menghadiri mesyuarat Bersatu pada tarikh ini, di mana partinya memberi tekanan kepadanya untuk membawa parti keluar PH dan membentuk sekutu dengan Umno dan PAS.
Dr Mahathir enggan, berkata Bersatu tidak sepatutnya memaksa beliau memutuskan pakatannya dengan PH dan Anwar.

Dr Mahathir pulang dari mesyuarat itu tanpa bercakap kepada media, dan parti itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Majlis makan malam “pro-Dr Mahathir” dianjurkan oleh Azmin diadakan di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, dihadiri ramai ahli Parlimen kecuali daripada PH, GPS dan Warisan.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pada majlis itu, memberi bayangan bahawa kerajaan PH sudah mati, berkata mereka menunggu isyarat daripada Dr Mahathir.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menghadiri majlis makan malam itu
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan