Jika Anwar kerjasama dengan Zahid, Warisan dan Umno akan bentuk kerajaan di Sabah


Sekiranya benar Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk kerajaan di peringkat Pusat  melalui kerjasama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia sudah pasti akan mempengaruhi siapa bakal menjadi kerajaan di Sabah.

Penganalisis politik dari UTM, Dr Mazlan Ali  berkata, jika ia sahih, maka Umno di Sabah boleh jadi akan bekerjasama dengan Warisan untuk membentuk kerajaan baru di Sabah.

“Kalau sahih Zahid ada kerjasama dengan Anwar di pusat, saya yakin negeri juga akan ikut pusat. Bahkan Najib sendiri sebelum ini berkata, dia pun akan ikut keputusan parti,” kata Mazlan kepada Malaysia Dateline.

Zahid dalam kenyataannya malam tadi berkata, ketua menteri Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  hendaklah dari Umno kerana mendapat kerusi paling banyak sedangkan Perikatan Nasional (PN) mendapat kerusi lebih banyak berbanding BN.

Anwar dalam sidang medianya pada 23 September lepas memberitahu kerajaan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh kerana beliau sekarang mendapat sokongan yang kuat dari kalangan Ahli Parlimen.

Presiden Umno, Ahmad Zahid pula menyambutnya dengan mengaku ada MP Umno yang menyokong Anwar dan beliau tidak boleh menghalangnya kerana tidak kerjasama rasmi Umno dan kerajaan PN. Ia hanya berlaku antara PN dengan individu MP Umno.

Dalam pilihan raya di Sabah semalam, Warisan Plus mendapat 32 kerusi manakala PN mendapat 24 kerusi manakala BN 14 kerusi.

Berdasarkan individu parti, Umno mendapat 14 kerusi manakala Bersatu hanya 11 kerusi sahaja.

Oleh itu, kata Dr Mazlan, sekiranya kerajaan Persekutuan yang hendak dibentuk Anwar dengan Umno, Sabah akan ikut sama bekerjasama.

Di Sabah juga, kata Mazlan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tidak sefahaman.

“Muhyiddin dari awal mahukan Hajiji (Noor) menjadi ketua menteri manakala Umno pula menetapkan siapa yang mendapat paling banyak kerusi.

“Selepas keputusan PRN Sabah, Umno paling banyak kerusi berdasarkan individu parti manakala PN pula paling banyak mendapat kerusi berdasarkan gabungan.

“Jika begitu, ia akan mampu menimbulkan krisis dan komflik di Sabah,” kata pensyarah kanan UTM itu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan