PAS tak boleh paksa Umno, kata Khaled Nordin


PAS harus menghormati keputusan Umno untuk menerima sesiapa menjadi rakan politiknya, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin apabila rundingan antara parti-parti di Perikatan Nasional (PN) dilihat terus berlanjutan.

Umno menjalin kerjasama politik dengan parti-parti lain berdasarkan formula kemampuan parti tersebut yang memberikan “strategic advantage” untuk kebolehmenangan.

“Umno juga tidak mahu dipaksa menerima sesiapa untuk menjadi rakan politiknya.

“Walaupun PAS menyertai PN, Umno tidak menghalangnya kerana Umno memahami dan menghormati kedudukan PAS.

“Maka demikian juga yang Umno harapkan dari PAS tentang hubungan Umno dengan Bersatu

“Umno yakin PAS tidak akan memaksa Umno untuk menerima Bersatu apalagi memberikan kerusi kepada Bersatu dengan sewenangnya,” katanya. 

Umno dan PAS merupakan rakan kongsi dalam pakatan Muafakat Nasional, sementara hanya PAS yang bergabung dengan gabungan PN.

PAS mendesak Umno untuk berkorban dengan memberikan beberapa kerusi kepada Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Khaled berkata PAS pasti menyedari bahawa akan ada kerusi yang Umno akan bertembung dengan Bersatu.

Oleh kerana Umno bukan sebahagian daripada PN, sebarang rundingan dengan Bersatu adalah untuk Umno melakukan secara langsung dengan PN melalui Barisan Nasional, katanya.

“Keutamaan Umno ialah kemenangan berganda dengan kerjasama PAS. Selebihnya, biar Umno akan tentukan jalannya sendiri,” katanya.

Khaled juga menolak kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa baru-baru ini yang mengatakan bahawa PAS tidak akan bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-15 bersama Umno tanpa Bersatu.

“Kenyataan ini dibuat oleh orang yang bukan jurucakap PAS, jadi tidak mewakili pendirian PAS. Ia datang dari mereka yang mahu menyelamatkan Bersatu dan memecahbelahkan Muafakat Nasional,” katanya.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan