Perbahasan Belanjawan 2021 resahkan PN


Oleh MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN 

Masuk minggu kedua perbahasan Belanjawan 2021, kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin getir apabila berdepan situasi mencabar dengan pelbagai pandangan berbeza dan kritikan daripada ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua blok.

Jika dahulu, ulasan dan kritikan yang keras lagi panas hanya terdengar daripada blok pembangkang dan mungkin cuma sekali-sekala daripada penyokong kerajaan, tetapi kali ini situasinya cukup berbeza.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin terus diasak. Setakat ini, berdasarkan kepada senario semasa, Muhyiddin mungkin amat tidak selesa dan yakin untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen bagi meluluskan Belanjawan 2021.

Sekiranya belanjawan tersebut gagal mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat, maka itu adalah manifestasi kepada undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan beliau secara bermaruah perlu meletak jawatan.

Paling awal menegaskan penolakan kepada Belanjawan 2021 adalah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu apabila mengatakan seluruh ahli Parlimen parti itu akan menolak belanjawan kerana tidak menepati beberapa tuntutan seperti yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH).

Prof Dr Shamrahayu A Aziz berkata jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, risiko yang bakal dihadapi negara amat besar, serius dan berbahaya kerana boleh menyebabkan ketidakstabilan kepada keselamatan dan sosial negara.

Antara kebimbangan yang beliau suarakan adalah masalah kepada kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam, kesukaran menangani pandemik Covid-19, pemulihan pembangunan ekonomi dan kesulitan melaksanakan urusan pentadbiran negara.

Hal ini kembali ditegaskan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengakui jika Belanjawan 2021 gagal diluluskan, maka kerajaan tidak dapat melunaskan pembayaran kepada penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang komited menangani ancaman Covid-19.

Tetapi hujah ini dibalas mudah oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Mengambil contoh dan pengalaman sendiri pada tahun 1999, Mahathir berkata pembentangan Belanjawan 2000 pada Oktober tergendala kerana Parlimen bubar pada November.

Selepas kerajaan baharu dibentuk, satu kelulusan daripada Dewan Rakyat diperoleh untuk mendapatkan peruntukan awal kepada kerajaan bagi tempoh dua atau tiga bulan sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan pada Februari.

Secara mudahnya, kegagalan mana-mana belanjawan mendapatkan sokongan tidak akan memberi kesan besar kepada para penjawat awam seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak berkepentingan yang kepeningan untuk mempertahankan kuasa yang dicuri.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim turut membidas kenyataan Zafrul yang disifatkan ‘berbaur ugutan’. Selain menganggap Zafrul cuba mengenepikan suara majoriti ahli Parlimen, Anwar juga menegaskan keperluan agar belanjawan yang dibentang dipinda bagi menjaga kepentingan rakyat.

Antara perkara yang menjadi tumpuan dan pertikaian umum dalam belanjawan tersebut adalah peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan NGO politik seperti Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) semasa mencelah perbahasan Ketua Pembangkang pada 9 November pula mencadangkan supaya peruntukan Jasa sebanyak RM85.5 juta bukan sahaja dibatalkan serta-merta bahkan disalurkan semula kepada petugas barisan hadapan yang bukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anggota Dewan Rakyat yang memberi pandangan kritikal kepada belanjawan ini pula tidak bersikap semberono dan bermotif dendam kesumat. Sebaliknya di samping kritikan yang pedas, mereka turut memperincikan beberapa perkara supaya beberapa perkara dalam belanjawan itu dipinda dan dibatalkan jika tiada keperluan atau kepentingan kepada rakyat terbanyak.

Inilah yang diulangi oleh Anwar apabila menegaskan bahawa pembangkang hanya menyokong Belanjawan 2021 jika kandungannya menepati kehendak untuk memerangi Covid-19.

Hal ini juga telah ditetapkan lebih awal oleh Pakatan Harapan (PH) semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan pada 1 November lalu. Dalam pertemuan yang turut dihadiri oleh Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan beberapa wakil PH, sebanyak enam cadangan utama dikemukakan bagi menangani Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Sikap kritikal terhadap belanjawan ini turut disuarakan oleh Najib Razak (BN-Pekan) apabila menetapkan bahawa Barisan Nasional (BN) hanya menyokong belanjawan dengan sokongan bersyarat.

Antara syarat yang ditetapkan oleh beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) adalah lanjutan moratorium pinjaman sehingga 30 Jun 2021 dan pengeluaran caruman sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Turut menarik perhatian adalah gesaan supaya peruntukan kepada Jasa dibatalkan seperti tuntutan pembangkang dan pengurangan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sokongan bersyarat yang dinyatakan Najib ditempelak pula oleh Ahmad Fadhli Saari (Pas-Pasir Mas) yang mengumpamakannya seperti syarat Puteri Gunung Ledang. Beliau turut menganggap bentuk sokongan yang dikemukakan oleh Najib begitu agak janggal dan tiada keperluan.

Tanpa berselindung, Ahmad Fadhli turut menyuarakan kemungkinan bahawa sokongan bersyarat itu hanyalah bermaksud untuk menolak Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021.

Bidalan yang dibawa oleh Ahmad Fadhli dibidas pula oleh Noh Omar (BN-Tanjung Karang) apabila mengatakan sokongan bersyarat Najib yang mewakili BN bukan syarat Puteri Gunung Ledang, sebaliknya merupakan sebuah pelampung untuk menyelamatkan mangsa yang kelemasan.

Bimbang dengan kesan buruk bidasan yang dibuat kepada hubungan Umno dan Pas, Ahmad Fadhli kemudiannya cuba memulihkan keadaan dengan membersih dan menyucikan imej buruk Najib sebelum mengangkat penjenayah yang terpalit dengan skandal kewangan 1MBD itu sebagai seorang pejuang yang berani dan sanggup berhadapan dengan dakwaan di mahkamah.

Sesi perbahasan ini turut menyaksikan perbezaan pandangan yang berpotensi mencetuskan konflik yang lebih mengeruhkan hubungan dalaman BN apabila Shahidan Kassim pula menyifatkan sokongan bersyarat yang dinyatakan oleh Najib hanya mewakili BN.

Lebih keras apabila Shahidan menyifatkan bahawa anggota Dewan Rakyat yang menolak Belanjawan 2021 termasuklah dalam kalangan BN sebagai mengkhianati rakyat.

Shahidan merupakan Pengerusi Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) tetapi pada masa yang sama, beliau juga ahli Parlimen Arau dari BN. Tentunya konflik kepentingan dan identiti seperti ini akan memberikan kesan buruk yang besar semasa pilihan raya umum akan datang.

Minggu ini bakal menjadi penentu. Walaupun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 tetapi baginda juga menitahkan supaya penekanan diberi kepada usaha pemulihan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Justeru, seperti ditegaskan melalui kenyataan Majlis Presiden PH, Muhyiddin harus berunding dengan semua pihak termasuk pembangkang supaya kandungan Belanjawan 2021 memiliki fokus yang jelas seperti digariskan oleh titah YDPA.

Malangnya, belanjawan ini lebih terdedah kepada kritikan kerana sifatnya yang lebih mementingkan perlindungan kuasa berbanding kepentingan rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan