Antara prinsip hukum dan eksploitasi politik-agama kepartian

 


Oleh DR ABU HAFIZ SALLLEH HUDIN

Hukum menyambut, membuat ritual atau mengadakan apa-apa lambang perhiasan yang difahami sebagai menyambut Krismas yang merupakan satu sambutan keagamaan oleh penganut agama Kristian atas kelahiran Jesus yang dianggap mempunyai unsur ketuhanan adalah dilarang dan haram bagi mana-mana Muslim melakukannya. Ia perkara yang dipersetujui oleh sekiranya tidak keseluruhan, boleh jadi hampir keseluruhan ulama’ Islam sepanjang zaman.

Namun para sarjana Muslim klasik dan kontemporari berbeza pandangan tentang mengucapkan ‘Merry Christmast’ atau Selamat Hari Natal kepada penganut agama Kristian atau sahabat-sahabat dan teman-teman kita yang beragama Kristian. Ada sebahagian ulama’ yang melarang dan mengharamkannya sekali; manakala ada yang membenarkan dan mengharuskannya. Saya sendiri, melalui kefahaman ilmu Islam dan pengalaman belajar di barat yang merupakan negara majoriti penganut Kristian, cenderung untuk memilih pandangan harus mengucapkan ucapan selamat kepada penganut agama Kristian bersempena tarikh 25 Disember setiap tahun selama mana tiada unsur mengiktiraf apa-apa nilai yang dianggap kufur dalam ucapan tersebut.

Maka, semenjak dahulu, saya konsisten memilih untuk membenarkan dan mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat seperti diatas. Hal yang sama disimpulkan dalam ‘Tahqiq al-Masail: Hukum Mengucapkan “Merry Christmast” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian’, terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertarikh 24 Disember 2018. Pandangan yang mengharuskan bagi mengucapkan uacapan tersebut adalah seperti Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa, Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, Syeikh Abdullah bin Bayyah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni, Syeikh Abdul Sattar Fathullah Said dan Syeikh Dr. Musthafa Abu Sulaiman al-Nadwi.

Ini adalah konsistensi perbincangan hukum hakam fiqh dikalangan sarjana. Namun, apa yang menarik tahun ini, Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang dengan tegas dan istiqamah menolak dan mengharamkan ucapan ‘Merry Christmast’ atau Selamat Hari Natal, telah seakan-akan taraju’ (menyemak kembali) fatwa dan hukum lama mereka terhadap ucapan ini. Saya sangat alu-alukan sekiranya Dewan Ulama’ PAS Pusat atau Dewan Pemuda PAS Pusat mahupun Jawatankuasa PAS Pusat boleh mengeluarkan kenyataan rasmi penarikan fatwa dan hukum yang dibuat sebahagian pimpinan mereka bahawa adalah HARAM mengucapkan Selamat Hari Natal atau Merry Christmast.

Kenapa saya menulis hal ini dan mempertanyakannya kerana hukuman HARAM dahulu telah bertukar harus dan halal setelah pimpinan PAS menjadi Menteri Persekutuan dan mungkin ‘terpaksa’ membuat ucapan tersebut. Tokoh dakwah yang mereka ‘bela’ selama ini yang didakwa dizalimi di Malaysia iaitu Dr. Zakir Naik, seyakin saya, masih berpegang bahawa mengucapkan Merry Christmast adalah haram dan boleh membawa kepada syirik. Adakah PAS sudah menolak fatwa itu atau Dr. Zakir Naik bakal secara terbuka menegur ucapan pimpinan PAS tersebut?

Mengikut rekod (dikepilkan bersam gambar poster), sekurang-kurangnya dua Menteri Persekutuan dari PAS iaitu Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar & Air, Timbalan Presiden PAS dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat) dan Dato’ Dr. Mohd Khairuddin al-Takiri (Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat dan AJK PAS Pusat) telah membuat ucapan rasmi sambutan Hari Krismas atau Hari Natal tahun 2020.

Ironinya, pada 24 Disember 2013 jam 9.41 pagi, FB rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat memaparkan status dialog antara seorang penganut agama Islam dan Kristian tentang mengapa mengucapkan Selamat Hari Natal/Krismas itu adalah haram dan dilarang dalam Islam. Begitu juga pada 24 Disember 2018, seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insight, bekas Ketua Pemuda PAS yang juga ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil bin Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan sekali lagi hukum pengharaman mengucapkan Selamat hari Natal/Krismas.

Persoalannya; berdasarkan poster ucapan Selamat Hari Krismas/Natal oleh Timbalan Presiden PAS dan AJK PAS Pusat yang mana keduanya adalah ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat: “Adakah PAS akan mengumumkan penarikan balik atau pembatalan hukum haram mengucapkan Selamat Hari Krismas/Natal kepada sahabat beragama Kristian? Atau; pengharaman ucapan Selamat Hari Krismas/Natal digantung dan bertukar harus selama mana PAS bersama memerintah dalam kerajaan PN dan menjadi sebahagian Menteri Kabinet Persekutuan? Atau; PAS bakal mengharamkan semula ucapan Selamat Hari Krismas/Natal setelah/sekiranya PAS kembali menjadi pembangkang?”

Saya yakin, jawapan kepada persoalan diatas ada pada pimpinan PAS dan penyokong mereka yang sewajibnya ada dalih dan dalil untuk menjustifikasikan setiap ucapan/tindakan yang memanipulasi agama.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Komen