PAS derhaka


KAMI orang biasa. Mungkin hanya orang kampung. Kalaulah kami berpeluang ke Istana, bertemu raja kami, berapa menggelitiknya hati kami. Kerana bagi orang Melayu, raja itu tinggi letak duduknya.

Tidak semua pemimpin politik Melayu sedar, pada awal abad ke-20, Muslim kehilangan pemerintahan khafilah terakhir. Sejak ratusan tahun sebelumnya, Muslim berbangga dengan Empayar Uthmaniah, di Turki.

Seraya melemahnya Uthmaniah, wilayah-wilayah Muslim laksana anak ayam hilang ibu. Ia diparahkan dengan sikap keras Mustaffa Kemal Atatuk yang menjadikan puncak pentadbiran Islam sejagat itu sebagai negara sekular garis keras.

Tidak boleh bagi Muslim, menampilkan identiti sebagai Muslim. Quran bukan lagi dalam bahasa asal, Arab. Azan ditukar ke bahasa kebangsaan.

Kesan keruntuhan Uthmaniah bukan sahaja terasa di Turki. Sebenarnya sejak abad ke-16, banyak wilayah Muslim di Timur berjaya ditawan Eropah — yang mungkin boleh digelar sebagai “Empayar Kristian”.

Misalnya sejak Melaka jatuh, 1511, sampai ke sudah tiada bantuan dari Uthmaniah untuk membantu menawan kembali kota Melaka. Begitu juga wilayah-wilayah Muslim Arab yang terlepas ke tangan penjajah.

Banyak raja, misalnya di Tanah Jawa, hilang daulat sebagai raja apabila rakyat yang diperintah lari dan tidak mahu mengadap. Itulah jalan awal untuk menderhaka dan menentang raja.

Begitu juga keadaannya yang dapat dikesan dalam kisah Laksamana Bentan. Kisah itu masyhur di Johor dan dikenali sebagai cerita Dang Anum dibelah perutnya kerana menjamah nangka sultan. Dang Anum mengandung. Dia mengidam.

Untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada Sultan Mahmud, orang-orang kanan Laksamana Bentan tidak mahu ke istana apabila dititahkan sultan. Akhirnya, di halaman masjid Kota Tinggi, sultan ditikam oleh laksamananya.

Sebelum wafat, sultan sempat bersumpah — barang siapa keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki lagi ke Johor lama. Jika jejak, mereka muntah darah.

Kisah berkenaan tentulah berbeza dengan apa yang berlaku dalam konflik politik di Perak seminggu lalu. Istana dan Baginda Seri Sultan Perak tidak ada melakukan apa-apa yang tidak kena, bahkan tidak terlibat sama sekali dalam perebutan kuasa kerajaan negeri.

Ia adalah perbalahan antara komponen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri. Umno lawan Bersatu. PAS berpihak kepada Bersatu. Jelas. 

Kehadiran sultan hanya bilamana baginda gusar sebuah percaturan politik yang mengabaikan rakyat baginda. Lalu, sebuah kerajaan baharu perlu didirikan dengan memilih seorang menteri besar yang mendapat cukup sokongan.

Rakyat tahu, Ahmad Faizal Azumu kalah teruk dalam usul undi percaya yang dibawa oleh Adun Umno. Hanya sepuluh percaya dan 48 lagi tidak percaya! Pada waktu itu, PAS bermati-matian mempertahankan Ahmad Faizal. Macam kiamat sudah dekat.

Jatuhnya Ahmad Faizal dan runtuhnya kerajaan PN Perak bukanlah sesuatu yang diingini oleh Keadilan, Amanah mahupun DAP. Dengan besar hati, ketiga parti itu sanggup bekerjasama mendirikan kerajaan campuran dengan Umno.

Kesemua ketua parti Pakatan Harapan (PH) dipanggil masuk istana. Dua kali. Kedua-dua kalinya mereka sembah mengadap.

Keadilan adalah parti kecil. Cuma ada tiga Adun. Mustahil dapat menjadi MB. Dalam kekecilan Keadilan di peringkat DUN Perak, pengerusi negeri, Farhash Wafa Salvador mengeluarkan kenyataan dan kesanggupan bagi Keadilan mendirikan kerajaan baharu. 

Hanya PAS yang tidak hadir — meski punya Adun cuma tiga orang.

PAS membatalkan pada saat akhir. Bahkan waktu itu, pendirian PAS masih mahu mempertahankan PN sepertimana mereka mempertahankan Ahmad Faizal di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa hari sebelumnya.

Pimpinan tinggi PAS, termasuk setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan menafikan PAS derhaka. Kalau PAS tidak derhaka dan tunduk dengan titah Tuanku Seri Sultan, sebenarnya tidak ada sebab PAS menyisihkan titah baginda begitu sahaja.

Dan, kalau PAS yakin mereka tidak derhaka, mengapa pula perlu membuat sidang media ringkas pada Jumaat petang, 11 Disember untuk memohon maaf kepada Tuanku Seri Sultan? Lebih mencurigakan, permohonan bertemu Baginda Seri Sultan setelah pelantikan MB baharu dari Umno — dan selepas PAS tidak punya wakil sebagai exco.

Ayat dalam kenyataan media memang boleh digubah menunjukkan sikap setia kepada raja. Namun sikap PAS sebagai si penderhaka tidak boleh ditutup dengan daun nyiru.

Bukankah semua itu helah politik semata untuk kembali mendapat jawatan politik? Mungkin kini PAS tidak mahu dilihat sebagai “parti mainan” yang kaleng-kaleng. 

PAS kini sudah punya kuasa di Putrajaya. Bahkan menurut setiausaha agung Bersatu, Hamzah Zainuddin,

PAS diperuntukkan tiga jawatan MB di tiga negeri dalam perjanjian PN: Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ketiganya tidak boleh diusik sesiapa — kecuali hanya rakyat yang boleh menjatuhkan mereka. Bukan kuasa yang lain!

Sikap derhaka sebegitu juga sebenarnya menghantar mesej serong kepada seorang raja Melayu. Lebih-lebih lagi ketika di negara jiran sedang berlaku penentangan hebat kepada rajanya yang dituduh menjalani hidup yang tidak layak bagi seorang raja.

Di sinilah, peringatan Baginda Seri Sultan Perak ketika pelantikan MB baharu cukup mengesan di hati ramai rakyat jelata kerana bagi kami, hendak bertemu seorang raja Melayu itu tidak lain adalah sebuah kesempatan yang entah bila diperolehi, serta penghormatan yang amat tinggi.

Titah baginda: Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan.

Dan sepotong lagi: Watak sebenar insan akan terpamer, apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

Ampun Tuanku! –

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. tak adalah dalam sejarah pas, pas ada sebuah parti yang pernah derhaka terhadap raja2, tapi pasal parti lain, tak sentuh disini, carilah sendiri perihal parti2 lain yang derhaka terhadap raja2 dan bahkan ada pengikutnya nak tukar sistem ber-raja kepada sistem republik, dalam hal diperak adalah lebih bersifat terkilaf dari derhaka terhadap sultan, jika baginda sultan perak dukacita terhadap insiden tiga ahli dun pas tidak mengadap seperti dijadual, mohonlah ampun dan maaf diatas kekilafan bukan bersifat derhaka, mudah2an terbuka hati baginda memaafkan diatas kelanjuran

    BalasPadam