Darurat Muhyiddin Membuatkan Zahid Dan Mahathir Kesal Tak Sudah Dibuatnya


Oleh Shahbudin Husin

Sebagaimana disebut Nazri Aziz dalam sidang medianya ketika mengumumkan penarikan sokongannya kepada Muhyiddin Yassin bahawa darurat yang dikuatkuasakan ini adalah darurat politik, sebenarnya majoriti rakyat juga percaya dengan hakikat tersebut.
 
Darurat ini dipersembah untuk perkenan oleh Yang Dipertuan Agong tidak lain kerana Muhyiddin semakin terancam kehilangan majoriti berikutan seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya susulan lulusnya usul parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
 
Ia bukan sangat disebabkan Covid19 kerana untuk menangani wabak tersebut, PKP dan PKPB sudah pun diumumkan semalam yang berkuatkuasa sehingga 26 Januari dan dipercayai mampu membendung penularannya.
 
Jika tiada ancaman Muhyiddin akan dijatuhkan dan hanya ancaman Covid19 yang ada, sudah tentu tiada keperluan darurat dicadangkan oleh kerajaan kepada Agong.
 
Ia diperkukuhkan lagi dengan hakikat bahawa semua urusan harian akan berjalan seperti biasa, kecuali Parlimen digantung dan PRU tidak dibenar diadakan sepanjang tempoh darurat sehingga 1 Ogos depan.
 
Secara rasmi UMNO mahu memuktamadkan perpisahannya dengan Bersatu dalam Perhimpunan Agungnya, 31 Januari depan.
 
Tetapi, melihat kemungkinan beliau bakal dijatuhkan pada 31 Januari atau mungkin lebih awal daripada tarikh itu, penyelesaiannya adalah dengan melaksanakan darurat.
 
Maka, tidak ada PRU boleh diadakan, tiada sidang Parlimen perlu diadakan untuk mengesahkan Muhyiddin hilang sokongan, malah tiada kemungkinan juga untuk pembentukan kerajaan baharu.
 
Oleh kerana darurat politik, semua gerakan politik jadi terhalang dengan sendirinya, termasuk Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari untuk mengesahkan talak terhadap Bersatu.
 
Dan darurat politik ini bermakna telah memberi talian hayat kepada Muhyiddin untuk bertahan lagi, sekurang-kurangnya sehingga Ogos dan tidak terancam untuk dijatuhkan dalam waktu terdekat ini.
 
Tanpa darurat, jika UMNO secara rasmi menarik sokongannya pada 31 Januari depan, Muhyiddin sama ada perlu meletak jawatan atau terpaksa mengadakan PRU sebagaimana yang dituntut UMNO.
 
Memikirkan kemungkinan Bersatu dan PN belum cukup kuat untuk mempertahankan kuasanya, tempoh darurat sehingga 1 Ogos dan jika PRU diadakan beberapa bulan selepas itu, ia dikira sudah cukup memberi masa kepada Muhyiddin mengukuhkan partinya serta menyusun strategi lain untuk mencipta kemenangan.
 
Yang pasti, dengan darurat dilaksanakan ketika UMNO sedang dalam proses memutuskan hubungan dengan Bersatu dan ingin keluar daripada kerajaan PN, Muhyiddin sebenarnya lebih dulu bertindak mengenepikan UMNO daripada perkongsian kuasa dalam kerajaan yang dipimpinnya.
 
Masihkah UMNO mahu bertahan lagi berada dalam kerajaan yang diterajui Muhyiddin?
 
Walau bagaimanapun, langkah darurat yang dicadang dan digerakkan Muhyiddin ini, meski pernah ditolak Agong sebelum ini, ia pasti memberi penyesalan tak sudah kepada UMNO, khususnya Ahmad Zahid Hamidi dan juga kepada Tun Mahathir Mohamad.
 
Walaupun disebut sebagai darurat politik dan bertujuan menyelamatkan kedudukannya, tindakan Muhyiddin ini bukanlah bersalahan dengan Perlembagaan.
 
Beliau bertindak mengikut apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan, cuma sementara UMNO juga mahu menjatuhkannya mengikut Perlembagaan, beliau terlihat lebih bijak daripada UMNO dan Zahid Hamidi yang flip-flop serta terhegeh-hegeh dalam membuat keputusan untuk menarik sokongan dan menjatuhkan PN.
 
Selain peluang terbuka luas telah dilepaskan untuk menjatuhkan Muhyiddin ketika undian Belanjawan 2021 sebelum ini, UMNO juga melepaskan peluang berbuat demikian dalam mesyuarat MT UMNO, 6 Januari lalu selepas majoriti UMNO bahagian-bahagian meluluskan usul tidak lagi mahu bekerjasama dengan Bersatu.
 
Jika pada mesyuarat MT UMNO 6 Januari itu dibuat keputusan UMNO menarik sokongan dan mengarahkan semua Ahli Parlimennya meletak jawatan dalam kerajaan tanpa perlu menunggu untuk disahkan dalam Perhimpunan Agung pada 31 Januari depan, Muhyiddin hari ini pasti sudah terkapai-kapai sama ada meletak jawatan atau berdepan PRU yang menyusahkannya.
 
Tindakan UMNO menangguhkan keputusan sehingga ke Perhimpunan Agung pada 31 Januari seumpama seseorang yang ingin memukul orang lain, tetapi memberitahu tarikh dan masa untuk melakukan serangan tersebut.
 
Dengan masa diberi sehingga 31 Januari, ia bermakna Zahid Hamidi memberi masa kepada Muhyiddin untuk bernafas menyelamatkan diri dan akhirnya daruratlah jawapannya.
 
Sekarang, segala-galanya sudah terlambat untuk UMNO menjatuhkan kerajaan PN dan meskipun selepas ini seorang demi seorang Ahli Parlimen parti itu menarik sokongan, ia hanya menambahkan lebar senyum Muhyiddin saja dibuatnya.
 
Menyesal tak sudah pun sudah tidak berguna lagi buat UMNO dan Zahid Hamidi, apatah lagi dalam ucapannya berkenaan darurat tadi, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak-pihak yang cuba mengganggu usaha kerajaan menangani Covid19, Muhyiddin juga menyebut – Sepanjang tempoh darurat ini mahkamah akan terus berjalan dan saya tidak campur dalam urusan serta keputusan mahkamah.
 
Apakah makna ayat itu disebut dan tidakkah ia sebenarnya secara tidak langsung seolah-olah Muhyiddin sengaja menyebutnya untuk mendatangkan rasa ngeri kepada Zahid Hamidi dan lain-pemimpin UMNO yang sedang dibicarakan di mahkamah?
 
Orang kedua yang dirasakan turut menyesal tak sudah dengan darurat ini ialah Tun Mahathir yang pada Februari lalu memilih meletak jawatan Perdana Menteri kerana percaya beliau sudah hilang majoriti.
 
Muhyiddin pun dikira sudah hilang majoriti juga, tetapi beliau mengambil sikap tidak mempercayainya dan ingin terus bertahan di kedudukannya selagi kehilangan majoritinya tidak disahkan.
 
Beliau bukan saja tidak semudah itu untuk meletak jawatan, malah untuk mengelak daripada dijatuhkan telah mencadangkan darurat dilaksanakan.
 
Bukankah jika sebelum ini Tun Mahathir tidak terburu-buru meletakkan jawatan, beliau sendiri sebenarnya boleh juga mencadangkan darurat untuk mempertahankan kedudukannya’sebagaimana dilakukan Muhyiddin sekarang?
 
Pun sama seperti Zahid Hamidi, tiada guna lagi Tun Mahathir menyesal mengenainya

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. inilah yang tunjukkan puak2 gila kuasa tak sabar2 tunggu yang mulai
    1) anwar tak sabar sejak dari dulu lagi
    2) puak2 umno yang bermasalah sepatutnya meletak jawatan untuk menyelamatkan parti
    dari dijadikan issue olih puak2 pembangkang ketika itu pru14, tapi disebabkab gila
    kuasa enggan berbuat demikian, srkarang gila apa pulak tak tahu lah
    3) agenda peribadi puak2 desparado ini srpatutnya ditolak ahli parti tersebut lebih2
    lagi bagi parti umno, disebabkan hal peribadi sanggup melibat parti dan ahli2
    sehinggakan negara dan rakyat,
    4) sepatutnya tunggulah hingga habis penggal utamakan negara dan rakyat, kemudian
    buatlah buat perhitungan
    5) keadaan sekarang negara sedang diancam covid-19 buat hal pula, sewel betul dirasuk
    apa entahlah sehingga hilang pertimbangan walaupun sangat senior politisian

    BalasPadam