Dr Mahathir jangan ‘bermimpi’ hendak jadi PM lagi


DR Mahathir Mohamad patut berhenti “bermimpi” untuk jadi perdana menteri kali ketiga dan jangan kacau Presiden PKR Anwar Ibrahim, kata Adun Sekinchan Ng Suee Lim.

Naib pengerusi DAP Selangor berkata walaupun parti itu berkongsi ideologi bersama bekas perdana menteri yang pernah dua kali berkhidmat itu, masalahnya dengan Anwar menyebabkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Adakah kita benar-benar masih mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir? Saya fikir selagi beliau seiring dengan perjuangan dan ideologi kita, maka beliau sebahagian daripada pembangkang.

“Tetapi untuk jadi perdana menteri lagi, maaflah, pilihan kami hanya Anwar,” kata Ng yang juga speaker DUN Selangor.

Ng berkata demikian sebagai respons berkenaan kemungkinan kerjasama antara DAP dan Umno bagi menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), dipimpin oleh Muhyiddin Yassin yang mengkhianati Dr Mahathir dan PH dengan membawa Bersatu keluar pakatan itu bagi membentu kerajaan baharu pada hujung Februari lalu.

Dr Mahathir kini mengetuai parti baharu, Pejuang selepas dipecat daripada Bersatu oleh Muhyiddin. Bagaimanapun, parti itu bukan sebahagian daripada PH tetapi ia dianggap sebagai pembangkang. Pendaftaran Pejuang di Pendaftar Pertubuhan juga ditolak.

Dr Mahathir mengetepikan permusuhan dengan Anwar pada pilihan raya umum 2018 di mana PH menang, mengakhiri pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN). Perjanjian pra pilihan raya diadakan antara semua parti dalam PH iaitu Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir sebelum penggal lima tahun kerajaan PH tamat.

Butiran pelan peralihan kuasa itu dibincangkan ketika PN menggulingkan PH tahun lalu.

Kini, tanpa kuasa, Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah terfikir Anwar adalah calon sesuai untuk jawatan perdana menteri, dan beliau tidak pernah sehaluan dengan bekas timbalannya itu, malah beliau tidak percaya dakwaan Anwar mempunyai sokongan mencukupi untuk mengubah kerajaan.

Ng berkata Dr Mahathir yang tidak menepati janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar, sementara Anwar tidak pernah mengkhianati beliau.

“Dr Mahathir asyik kata Anwar tidak dapat kuasa kerana enggan bekerjasama, tetapi kenapa tidak boleh Dr Mahathir bekerjasama dengan Anwar?

“Saya percaya Dr Mahathir gagal menepati janji yang dibuatnya sejak awal perjuangan ini, tetapi Anwar tidak mengkhianati beliau,” katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir sepatutnya mempertimbangkan pandangan lain dan membiarkan Anwar dan PH memimpin, bukannya membazir masa dengan cuba merendahkan gabungan itu.

“DAP perlu kekal tabah dalam kerjasamanya dengan PKR dan Amanah, kita sudah lalu susah senang bersama Anwar hingga hari ini. Sekutu seperti ini amat sukar ditemui pada zaman sekarang.

“Jika anda kata bermasalah kalau Anwar yang mengetuai PH, pilihan lain juga ada masalah. Sukar untuk cari orang lain bagi mengetuai perjuangan ini. Tidak ada pemimpin Melayu yang ‘sempurna’ di luar sana.

“Jadi kami ada Anwar. Kami mahu Dr Mahathir berhenti bermimpi untuk jadi perdana menteri lagi. Beliau asyik kata Anwar tidak mempunyai sokongan Melayu yang mencukupi, tetapi ini tidak benar.

“Pada PRU13 (2013), kami dapat banyak undi Melayu, dan kami tidak ada Dr Mahathir di pihak kami pada masa itu,” katanya.

Dr Mahathir menubuhkan Bersatu pada 2016 dan menyertai PH ketika kempen pilihan raya umum 2018.

Ng berkata Dr Mahathir juga silap apabila berkata DAP menyokong calon lain untuk jawatan perdana menteri, bukan Anwar.

Ketika nama Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dibangkitkan sebagai alternatif menggantikan Anwar bagi jawatan perdana menteri, Dr Mahathir berkata cadangan itu dibuat oleh DAP.

“Ya, ia mungkin timbul pada rundingan sebelum ini, tetapi untuk Dr Mahathir buat dakwaan seperti itu tidak memberi kebaikan kepada gabungan ini.”

Ng berkata beliau berasakan Dr Mahathir patut minta maaf kepada negara ini atas tindakannya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH pada tahun lalu.

“Muhyiddin tidak meletak jawatan pun walaupun hilang sokongan majority di Dewan Rakyat, ia berbeza daripada apa yang Dr Mahathir buat ketika PH hilang kuasa dulu.

“Jadi kenapa Dr Mahathir letak jawatan pada masa itu? Saya rasa beliau perlu minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tindakannya yang terburu-buru itu,” kata Ng.

Apabila Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH, kerajaan pada masa itu hilang majoriti di Dewan Rakyat dan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, menamatkan pemerintahan 22 bulan gabungan itu.

Selepas keruntuhan kerajaan PH, beberapa pihak menuduh Dr Mahathir meletak jawatan perdana menteri tanpa perbincangan. Namun, negarawan itu berkata beliau meletak jawatan kerana Bersatu keluar daripada PH menyebabkan kedudukannya tidak dapat dipertahankan, menurut Perlembagaan Persekutuan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. bukan mahadir saja, anwar pun sama jangan bermimpi jawatan pm, alasannya sama dua2 gila kuasa

    BalasPadam