Sistem dalam talian kerajaan lemah, Anonymous Malaysia beri amaran serangan siber


KUALA LUMPUR, 26 Jan ― Satu mesej berbaur amaran telah dikeluarkan membabitkan sistem keselamatan dalam talian pelbagai agensi milik kerajaan.

Memuat naik video ugutan tersebut di Facebook, akaun Anonymous Malaysia mengingatkan pihak berwajib bersedia berdepan kemungkinan berlaku aktiviti penggodaman melibatkan sistem dalam talian kerajaan.

Jelas pengendali akaun tersebut, tindakan itu sebagai 'pengajaran' berikutan kelemahan sistem keselamatan dalam talian negara ini sehingga menyebabkan maklumat peribadi pengguna terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Hello Malaysia. Ini adalah amaran kepada kerajaan Malaysia. Sudah tiba masa anda membuka mata setelah lama kami berdiam diri. Bersedialah. Kami tidak memaafkan, kami tidak lupa, nantikan kami,” katanya.

Jenayah siber melibatkan penggodaman sistem dalam talian di negara ini bukan suatu yang baharu.

Sebelum ini, pelbagai kes berlaku membabitkan penggodaman sistem dalam talian dan laman web agensi berkepentingan kerajaan termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun lalu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang mengakui terdapat usaha berterusan pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa cuba menggodam maklumat Kementerian Keselamatan Pertahanan dan ATM.

Terdahulu, Anonymous Malaysia mendakwa kelemahan sistem dalam talian negara ini menyebabkan lebih 46 juta data peribadi pengguna terdedah kepada pelbagai sindiket.

Ia berikutan kecuaian dan tidak peka kepada persekitaran teknologi sehingga membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab melakukan jenayah siber.

“Sistem keselamatan anda lemah, semua data mungkin sudah terdedah. Ini menyebabkan penggodam boleh menjual maklumat.

“Banyak kes didapati data syarikat telekomunikasi telah terdedah lebih 46 juta dan ini menyebabkan berlaku kegiatan jenayah scam,” katanya lagi.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan