Ketua Pemuda Pas beri isyarat sedia rampas Gombak dari Azmin?


Oleh Arif Atan

Kenyataan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin hari ini yang menyarankan agar Perikatan Nasional (PN) hanya memilih individu dengan rekod baik sebagai calon dalam PRU-15 muncul ketika timbul kembali isu rakaman video intim yang didakwa membabitkan Azmin Ali.

Hal ini jelas apabila Khairil mengingatkan bahawa calon PN perlulah dilihat berintegriti serta mudah diterima rakyat dalam PRU-15.

Penegasan Khairil itu sekali gus juga dilihat memberi isyarat kemungkinan Ahli Dewan Negara berkenaan akan sekali lagi bertanding di Parlimen Gombak yang kini disandang oleh Azmin.

Khairil, 42, pada PRU-14, 2018 lalu memperoleh 17,537 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang dimenangi Azmin Ali yang ketika itu dalam PKR.

Azmin yang sekarang ini Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) dan Pengarah Pilihan Raya PN, sewaktu PRU-14 dahulu mendapat majoriti 48,721 undi.

Jumlah besar majoriti yang dikaut Azmin ketika itu atas muafakat gabungan pembangkang melalui Pakatan Harapan (PH) serentak dengan imej kleptokrat yang terpalit pada Najib Razak sekali gus penyumbang besar tumbangnya BN.

Namun, bagi PRU-15 yang bila-bila masa sahaja akan diadakan, Gombak bukanlah kerusi selamat buat Azmin selepas dicop sebagai dalang kepada Langkah Sheraton penyebab kejatuhan kerajaan PH pada Februari tahun lalu.

Apa lagi dengan skandal hubungan intim songsang yang tular videonya pada 2019 lalu dan dicungkil kembali tahun ini selepas Azmin seperti ‘tidak sengaja’ menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Dakwaan Azmin kononnya “amalan seksual yang tidak bermoral” dilakukan Anwar Ibrahim jadi punca dia hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR itu hanya memakan diri.

Azmin yang masih terpalit dengan isu video kontroversi bakal dicabar Pas di Gombak pada PRU-15.

Pengakuan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dahulu pun sudah pasti akan jadi senjata politik ampuh pihak lawan pada PRU-15 untuk terus menghitamkan integriti Azmin yang sudah sedia kelam.

Kalau mengikut keputusan PRU-14 di Gombak, jumlah undi diraih calon BN dan Khairil dari Pas jika dicampurkan berjumlah 43,929 undi.

Jika Umno memberi ruang kepada Pas untuk bertanding atas semangat Muafakat Nasional (MN), Khairil ‘hanya’ memerlukan kira-kira 4,000 undi lagi untuk bergelar Ahli Parlimen.

Khairil tentunya sudah mencongak sifir PRU-15 akan menyebelahinya di Gombak yang dianggap antara ‘lubuk’ Pas di Selangor. Tambahan pula, pengundi PH yang sebelum ini memilih Azmin sudah tentu berpatah arang dan berkerat rotan dengan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu.

Angan-angan 

Walau bagaimanapun, angan-angan Khairil untuk merampas Gombak dari Azmin dalam masa sama bergantung pada penjajaran politik PN itu sendiri. Khairil sebagai bekas jurutera Petronas juga barangkali masih rasional akan realiti tersebut.

Buat masa ini, Umno dengan jumlah kerusi paling banyak dalam kerajaan tebuk atap PN memang tidak puas hati benar dengan sikap Pas bermain dua kolam apabila cenderung lebih mesra bersama Bersatu.

Padahal, dendam Umno terhadap Bersatu masih belum padam apabila sebahagian kerusi dimenanginya pada PRU 2018 bertukar tangan akibat lompat parti diikuti dominasi Bersatu dalam portfolio kementerian yang paling penting dalam Kabinet XXXL Muhyiddin.

Bahkan, dalam kenyataan hari ini pun, Khairil selamba masih memuji langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti ‘musuh’ Umno itu apabila menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk ditapis PDRM dan SPRM sebelum mereka dilantik memegang jawatan menteri.

Reaksi Khairil dengan membawa naratif calon perlu dilihat berintegriti serta mudah diterima rakyat dalam PRU-15 itu sebenarnya hanya petanda yang bukan lagi rahsia pun tentang wujudnya krisis besar sesama parti dalam kerajaan hilang majoriti PN.

Bukan sahaja di Parlimen Gombak, Pas, Umno dan Bersatu akan saling berebut melawan PH dan pembangkang lain pada PRU-15. Keadaan ini sebenarnya memberi peluang kepada PH Plus atau ‘grand coalition’ pembangkang.

Namun, sejauhmana PH dan parti pembangkang lain dapat memanfaatkan konflik melanda tiga parti Melayu itu masih lagi dalam tanda tanya.

Hanya dengan kemelut persepsi politik antara kem Mahathir dan kumpulan penyokong Anwar dapat ‘dimurnikan’, pembangkang punya ruang untuk memujuk rakyat pada PRU-15.

Ditambah pula dengan krisis pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat sedang tenat poketnya, kerajaan PN yang bukan pilihan rakyat mesti terus diyakini untuk terus ditolak pada PRU-15.

Pada ketika Pas, Umno dan Bersatu saling berbalah mencaturkan calon bertanding, gabungan pembangkang perlu lebih 10 langkah terkedepan untuk mencari titik persamaan sekurang-kurangnya demi pertempuran PRU-15
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan