Muhyiddin pimpin kerajaan kuku besi, kata Dr Mahathir


PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan undang-undang darurat semata-mata untuk kekal berkuasa, dan kerajaan pimpinannya adalah kerajaan kuku besi, kata Dr Mahathir Mohamad.

Melalui video yang disiar secara langsung hari ini, bekas perdana menteri itu berkata Muhyiddin sebenarnya sudah hilang sokongan majoriti ketika menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

“Alasan yang diberi olehnya bahawa merebaknya wabak Covid-19 memerlukan kuasa di bawah undang-undang darurat adalah satu pembohongan,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata tiada satu pun tindakan yang diambil dalam mengekang Covid-19 yang hanya boleh dilakukan di bawah undang-undang darurat.

“Sebaliknya undang-undang darurat mengekal dirinya sebagai perdana menteri. Inilah tujuan sebenar Muhyiddin berusaha supaya darurat diisytihar,” kata Dr Mahathir.

Beliau seterusnya berkata Muhyiddin menggunakan perisytiharan darurat untuk menggantung Parlimen supaya kedudukannya tidak boleh dicabar.

Kuasa perdana menteri dan Jemaah Menteri dikekalkan dan segala undang-undang yang digubal oleh mereka mesti diterima sebagai sama dengan undang-undang yang dibentang dan diluluskan di Parlimen, katanya.

Dr Mahathir juga menggelar kerajaan Perikatan Nasional sebuah kerajaan kuku besi kerana semua peruntukan di bawah Ordinan Darurat tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Sesungguhnya kerajaan sekarang tidak berasas pada undang-undang-undang, jelas telah membohong kononnya memerlu darurat untuk bendung Covid-19, menyalah guna nama Yang di-Pertuan Agong untuk dilindungi dari tuduhan membuat salah, menutup mulut rakyat dan wakil mereka dengan menggantung Parlimen, mengamal rasuah, mengugut dengan hukuman berat sesiapa yang persoal tindakan kerajaan, bertindak bertentangan dengan peruntukan undang-undang, memburukkan ekonomi, dan kehidupan sosial rakyat dan memerintah sebagai diktator yang tidak boleh ditentang.”

Tambahnya, perisytiharan darurat itu sendiri tidak mengikut undang-undang kerana ia perlu dibawa ke Parlimen.

“Inilah keadaan dalam negara sekarang. Kerajaan melakukan bermacam-macam kesalahan tetapi mahkamah tidak dibenar menilai sama ada tindakan dan perlakuan oleh kerajaan halal atau haram dari segi undang-undang.

“Ya, memang ada yang akan halalkan segala-gala yang dilakukan oleh kerajaan. Mereka mempunyai sebab peribadi kenapa sokong perlakuan yang salah dari segi undang-undang ini,” katanya.

Menyentuh berkenaan ekonomi negara, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak berusaha untuk memudahkan aktiviti perniagaan.

Menurutnya, berbilion dolar pelaburan asing kini disalur ke negara jiran, malah pelabur di Malaysia juga berpindah ke negara jiran.

“Pelabur tidak dilayan bahkan dihalang. Ada pelaburan yang ditamatkan walaupun bernilai berbilion.

“Kebanyakan menteri tidak mahu jumpa peniaga untuk selesai masalah. Ada yang tertekan dengan rasuah oleh ahli politik, yang telah ganti tokoh profesional yang dibuang, dan banyak lagi sebab,” tambah Dr Mahathir.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Saya rasa Tun lagi kuku besi dari Tan Sri. Kalau ya pun Muhyiddin berundur, siapakah yang bakal menjadi PM? DSAI, Tun dan sebahagian yang lain tak setuju. Saya rasa Tun yang sebenarnya hendakkan jawatan PM itu semula. Dan situasi Sheraton akan berulang lagi. Saya dan kebanyakan rakyat sudah muak dengan lakonan ini. Ahli politik asyik berebut hendakkan kuasa hingga membelakangkan kemajuan dan kemakmuran rakyat dan negara. Ahli politik khususnya pembangkang dan sebahagian dari parti kerajaan sendiri yang sering menghasut rakyat demi survival politik mereka dan kuasa. Apa yang diperlukan adalah bersama-sama berusaha untuk membendung wabak dan seterusnya usaha meningkatkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat. Cakap berbelit-belit, sat suruh hidupkan semula sektor ekonomi, sat pastikan PKP dapat bendung wabak, sat kenapa PKP tapi buka semua sektor ekonomi, perlu beri bantuan besar kepada rakyat dalam masa yang sama, mengatakan hutang negara semakin tinggi. Nampak sangat ahli-ahli politik bertindak pentingkan diri sendiri dan meperlekeh usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan, kakitangan kerajaan terutamanya frontliner serta memburuk-burukkan negara sendiri kepada pihak luar justeru mereka takut untuk melabur di negara kita. Bagi saya kesan buruk kepada negara bukan 100% atas kerajaan sekarang, isnya juga sumbangan oleh ahli-ahli politik yang tiada nilai nationalisme.

    BalasPadam