AMANAH sebagai tunjang politik negara


Oleh MUHAIMIN SULAM 

Politik Malaysia sekarang ini penuh kerancuan, politik berasaskan perkauman, rosaknya demokrasi dan ahli politik tiada idealisme. Gejala ahli politik saling khianat antara satu sama lain, lompat parti dan pengistiharan darurat menambah-nambahkan lagi rosaknya sistem dan nilai politik tanahair.

AMANAH sering dipersalahkan kerana dianggap terlalu berpegang dengan idealisme perjuangan. Amanah disaran agar lebih realistik dan menjadi aktor politik yang liar dalam persaingan kuasa. AMANAH perlu nekad meninggalkan Dr. Mahathir. AMANAH perlu sanggup bersaing dengan PKR dan DAP agar mereka tidak menjadi ‘abang besar’. AMANAH perlu buat keputusan yang nekad. Jika tidak, AMANAH akan ditinggalkan oleh mereka atau tercicir dalam arus politik tanahair.

Hakikatnya hingga saat ini, AMANAH terus bergerak atas premis ‘politik berasaskan idealisme’. Tidak kiri, tidak kanan. Tidak utara dan tidak selatan. Gerakan dan pendirian AMANAH kekal dalam orbit PH. Sebahagian berpandangan sinis, AMANAH ‘main dua kolam’ tanpa menyedari bahawa wilayah politik ini ibarat samudera luas.

Fokus perjuangan AMANAH bukan hanya sesuatu kelompok. AMANAH adalah platform untuk semua pihak untuk memajukan negara. Tidak dinafikan dalam idealisme ini, AMANAH berada pada landasan yang kabur. Kekaburan tersebut adalah kerana disebabkan kegagalan masyarakat dalam memahami sejarah politik tanahair.

Sejarahnya, ada dua pandangan tentang kelahiran AMANAH. Evolusi gerakan Islam di tanahair seratus atau dua ratus tahun dahulu perlu ditelaah lebih dahulu dalam memahami bagaimana suatu budaya politik itu terbentuk.

Memahami idelisme AMANAH tidak seharusnya bermula dengan tarikh penubuhan AMANAH pada 16 September 2015. Kena ada literature review.

Satu pandangan lain pula menyatakan bahawa AMANAH adalah satu ledakan akibat daripada kejatuhan Islamisme dalam dunia politik khususnya di Malaysia.

Islamisme adalah satu idealogi yang menjadikan Islam sebagai alat atau matlamat politik. Benchmark Islamism adalah selepas kejatuhan kemerosotan sosialisme atau lebih tepatnya Revolusi Islam Iran pada 1978.

Idea-idea tentang Islam ketika itu muncul bagai cendawan lepas hujan. Namun perlu difahami, revolusi itu hanyalah cetusan yang sebenarnya sudah mempunyai bibit kemunculan sejak 60an lagi melalui gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan di beberapa negara lain. Namun idea Islam pada masa itu lebih umum dan bersifat tindakbalas terhadap cabaran semasa.

Gugur setandan

Satu lagi pandangan lagi, AMANAH ditubuhkan selepas tragedi 18 orang gugur setandan dalam Muktamar Pas di Kuala Selangor pada Jun 2015. Ini bermakna, Amanah adalah berasal dari rahim Pas.

Idea besar dalam AMANAH adalah sebenarnya penerokaan politik lebih dinamik sesuai dengan keadaan negara. Ia sudah bermula sejak dalam Pas lagi. Perlu diakui 18 orang yang gugur daripada Pas adalah antara orang yang menjadi arkitek pembangunan idea politik Pas sejak konsep kepimpinan ulama diterapkan dalam parti.

Pertama konsep ‘Pas untuk semua’ ataupun ‘Islam rahmat untuk sekalian alam’ adalah evolusi manhaj dakwah Pas dari sebuah parti nasionalis kepada sebuah parti yang lebih universal. Dan idea ini diteruskan semasa PH menjadi kerajaan oleh Mujahid dan lain-lain pimpinan.

Ini juga berkait langsung dengan konsep kedua AMANAH, inklusif. Pemuda Pas semasa di bawah pimpinan Salahuddin Ayub melakukan engagements dengan masyarakat luar seperti bukan Islam, sekular, parti memerintah, tokoh-tokoh negara dan sebagainya telah dilakukan. Bahkan engagement golongan liberal juga dibuat dengan menggunakan medium bahasa Inggeris.

Bersih 1 diketuai Muhamad Sabu telah menggemblengkan kumpulan yang pelbagai. Dan kejayaan Bersih adalah satu manhaj yang perlu diteruskan. Begitu juga dengan pendekatan ‘hukumiah’ kepada manhaj ‘maqasid syariah’ yang lebih demokratik dan universal telah dipopularkan dalam pendekatan politik Pas semasa golongan progresif menerajui kepimpinan Pas.

Eksperimental politik yang dilakukan oleh pimpinan Amanah semasa dalam Pas berterusan hingga kini. Hasilnya mungkin belum terserlah tetapi usaha meneroka seribu kemungkinan politik tetap diteruskan.

Ini tugas politik yang sangat berat bagi AMANAH yang masih baru. Perlu diakui AMANAH tidak mempunyai kekuatan akar umbi sebagaimana Pas dengan Umno. Hatta PKR yang sudah berusia 20 tahunpun masih mempunyai masalah di peringkat akar umbi. Tiada jalan mudah. Tiada jalan singkat kecuali membina kekuatan daripada akar umbi juga.

Selain daripada faktor masa, percaturan politik juga menjadi faktor terpenting bagi AMANAH mengumpulkan kekuatan..

Idealisme

Salah satu cabaran AMANAH adalah menterjemahkan idealisme perjuangan dalam realiti semasa. Sewaktu tanahair di bawah penjajah Inggeris, idea ‘merdeka’ adalah asing dan pelik. Masyarakat tidak dapat menerima idea tersebut. Bahkan kebanyakan masyarakat masih tidak faham tentang tanahair mereka dijajah dan perlu merdeka. Oleh sebab itu, para pejuang kemerdekaan dahulu dilabel sebagai penderhaka, pemberontak dan dipenjara, dibuang daerah dan sebagainya. Mereka dihukum sebagai penjenayah. Ini kerana idea merdeka itu tidak membumi.

Hatta ketika Umno ditubuhkan, slogan mereka adalah ‘hidup Melayu’ yang sebenarnya kosong pengertian. Tiada nada melawan. Seolah-olah orang Melayu telah mati. Namun slogan itu berjaya menarik sokongan orang Melayu kerana kepintaran Datuk Onn memanfaatkan sentimen orang Melayu yang marah kepada pendatang dan kehidupan mereka yang miskin berbanding dengan pendatang.

Lama kelamaan sesuatu idea yang diperjuangkan itu akan akhirnya diterima oleh masyarakat. Idea merdeka adalah satu contoh klasik dalam politik negara kita.

Hakikatnya AMANAH telahpun memimpin landskap politik Malaysia. AMANAH menjadi katalis pembentukan PH dan kerajaan PH. AMANAH sanggup mempertaruhkan banyak perkara bagi memastikan PH memimpin. Sewaktu masalah pembahagian kerusi. AMANAH mengalah demi menjamin keutuhan sebuah pakatan politik yang boleh menjatuhkan BN. Nyata berhasil.

Hatta hingga kini, AMANAH terus kekal bersama PH walaupun ada masalah antara DSAI dengan Tun Mahathir. Pendekatan yang akan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Bukan pendekatan yang mensia-siakan perjuangan reformasi sekian lama.

Keupayaan AMANAH mencorakkan landskap politik tanahair telah terbukti dengan pembentukan pakatan politik yang sangat strategik. Oleh kerana itu, AMANAH sanggup mengorbankan beberapa kepentingannya demi kelangsungan momentum politik PH.

Pengorbanan yang dilakukan oleh AMANAH akan hilang dalam persaingan politik sesama sendiri. Ini kerana politik tidak pernah bersimpati kepada sejarah atau kenangan. Negara sangat memerlukan tunjang dalam mempertahankan kepentingan mereka secara lebih saksama dan adil.

Dalam epistemologi Melayu, tunjang negara dapat dilihat daripada tulisan Ibrahim Munsyi, ‘Kitab Pemimpin Johor’ yang merupakan sebuah buku bahasa. Istilah bahasa ini bukan sekadar tatabahasa, ejaan atau pembinaan kata tetapi meliputi pembinaan kebudayaan yang lebih menyeluruh. Ia bermula dengan penguasaan bahasa sebagai kunci makna segala perhubungan sesama ahli masyarakat.

Saya kira, tunjang negara pertama adalah proses kebudayaan yang digerakkan oleh setiap warga negaranya. Kita wajib mewujudkan satu bahasa yang sifatnya menghargai sejarah dan masa hadapan pembinaan negara. Itulah tunjang negara yang kukuh.

Oleh itu, pemimpin mesti memiliki bahasa yang merentasi pelbagai sempadan dan batas politik. Rasuah bukan bahasa politik kita. Khianat bukan bahasa kita. Mementingkan diri sendiri, bukan bahasa kita. Bahasa kita adalah bermasyarakat. Bahasa kita adalah bergotong royong membina tanahair tercinta ini. Jalan inilah bahasa yang Amanah pilih dan tawarkan kepada masyarakat. Idealisme ini tidak boleh mati atau kalah. Inilah tunjang negara.

 Penulis adalah Ahli Pimpinan Amanah Nasional merangkap Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Amanah Nasional dan Naib Pengerusi Amanah Perak.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan