Perikatan tangguh Undi 18 kerana mungkin akan kalah, kata Najib


 PERIKATAN Nasional (PN) menangguhkan pelaksanaan membenarkan rakyat berusia 18 tahun mengundi kerana khuatir langkah itu merugikan dalam pilihan raya, kata Najib Razak.

Walhal secara prinsip, ahli Parlimen sebulat suara bersetuju dengan pelaksanaan perkara itu dan golongan muda juga berharap dapat mengundi dalam pilihan raya, kata bekas perdana menteri.

“Nampak macam itu pandapat umumnya, (Undi18 tak sebelahi PN),” kata Najib.

“Pada prinsipnya, mana-mana yang telah diluluskan Parlimen, lebih-lebih lagi atas sebulat suara patut dihormati dan dilaksanakan.

“Itu pendapat saya dan rata-rata orang muda mengharapkan dan menunggu peluang untuk mengundi dan sudah tentu mereka rasa amat kecewa kalau tidak diberi peluang,” kata Najib.

Tambahnya, penangguhan pelaksanaan itu juga seolah-olah menidakkan kuasa Parlimen kerana sudahpun diputuskan.

“Kita kena hormati keputusan Parlimen sebab keputusan Parlimen dibuat berdasarkan persetujuan semua parti.

“Masa itu Pakatan Harapan berkuasa, BN pun bersetuju, bila bersetuju sebulat suara kuasa mutlak Parlimen, tak boleh kita menidakkan kuasa Parlimen,” kata Najib lagi.

Najib bercakap kepada pemberita sewaktu ditemui di Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Parlimen meluluskan pindaan bagi pelaksanaan tersebut pada Julai 2019 dan kemudian mewartakannya pada September 2019.

Suruhanjaya Pilihan Raya bagaimanapun pada Khamis mengumumkan Undi18 hanya akan dilaksanakan pada September 2022, yang dibantah pembangkang dan NGO reformasi pilihan raya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan