'Kalau dah dapat sokongan rakyat, kenapa PM khuatir buka parlimen'


Beberapa pemimpin Umno mencadangkan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengukur sokongan terhadapnya melalui persidangan parlimen atau pun pilihan raya umum (PRU).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, berkata jika benar Muhyiddin mendapat sokongan seperti mana didakwa badan yang membuat kajian, tiada alasan untuk kerajaan tidak memanggil sidang parlimen.

"Sekiranya Muhyiddin sudah disokong rakyat, beliau juga tidak perlu khuatir untuk mengadakan sidang parlimen.

"Beliau kena yakin dengan sistem demokrasi, apabila membaca kajian ini, jelas rakyat Malaysia menunjukkan pendapatan menurun dan 57 peratus, ramai pakar juga menjangkakan ekonomi negara tidak akan bertambah baik sekira darurat diteruskan.

"Kalau tidak mahu mengadakan pilihan raya kerana Covid-19 meningkat, negara ini perlu kembali kepada sistem parlimen yang lebih di bermaruah dan diyakini," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Pusat tinjauan bebas Merdeka Center mendapati 67 peratus rakyat di Semenanjung Malaysia berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan menyifatkan penilaian itu sebagai stabil.

Tahap sokongan terhadap Muhyiddin yang dicatatkan oleh Merdeka Center adalah 74 peratus antara bulan Jun dan Julai tahun lalu. Tahap terendah dicatatkan pula adalah 63 peratus pada bulan Januari lalu.

Sebilangan besar responden Melayu (83 peratus) menyokong Muhyiddin, berbanding 30 peratus Cina dan 66 peratus responden India.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah pula ini adalah masa yang baik bagi Munyiddin memanggil sidang parlimen.

"Saya nak ucapkan tahniah pada Muhyiddin Yassin kerana mendapat respon yang cukup baik daripada kajian Merdeka Center.

"Jadi bagi pandangan saya adalah baik untuk buka kembali sesi parlimen untuk bersidang bagi ahli-ahli parlimen semua parti mengucapkan tahniah pada beliau dan seterusnya membincangkan isu terkini negara," katanya.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata sokongan sebenar rakyat kepada Muhyiddin akan terjawab jika PRU diadakan.

"Bagi saya, sokongan rakyat kepada Muhyiddin dan keupayaan memimpin negara hanya terjawab dalam pilihan raya.

"Kalau parti pimpinannya menang dalam pilihan raya umum akan datang bermakna memang benar dia mendapat sokongan rakyat.

"Selagi pilihan raya tidak diadakan bagi saya ia bukan ukuran," katanya kepada Malaysiakini.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan