Mahiaddin angkuh, cuba tegak benang basah


AMANAH menyifatkan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin bersikap angkuh dan cuba menegakkan benang basah terhadap Yang Dipertuan Agong ketika membalas kenyataan Istana Negara semalam.

Sehubungan itu, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya hari ini menuntut agar Mahiaddin dan kabinetnya meletakkan jawatan dan memohon ampun dari Yang Dipertuan Agong.

“Parti Amanah Negara amat kesal dengan sikap YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sepertimana yang dizahirkan melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO Office) pada malam tadi.

“Kenyataan YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mempamerkan keangkuhan beliau dan seluruh Jemaah Menteri terhadap teguran dan pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan Baginda petang semalam.

“Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan kabinetnya cuba menegakkan benang yang basah dengan mendakwa beliau dan Jemaah Menteri telah menjalankan tugas mereka dengan teratur dalam soal pembatalan Ordinan Darurat yang menjadi pertikaian dalam sekarang,” kata bekas Menteri Pertahanan itu.

Bagi beliau, kenyataan Mahiaddin seolah-olah membayangkan bahawa KDYMM YDPA tidak memahami keadaan sebenarnya dan tersilap apabila menyatakan Baginda amat dukacita dengan tindakan Jemaah Menteri.

“Tan Sri Mahiaddin Md Yassin seterusnya cuba menyalahkan pembangkang seolah-olah kami semua menimbulkan kekeliruan dalam persoalan ini,” kata Mohamad.

Hakikatnya, katanya, dari awal lagi Jemaah Menteri engkar dengan saranan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang telah menitahkan dalam Perutusan Media sejurus selepas Perbincangan Khas Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Walaupun akhirnya Parlimen telah mengadakan Sidang Khas bermula pada 26hb Julai yang lalu, apa yang cuba disembunyikan adalah percubaan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk mengelak dari sebarang perbahasan di dalamnya berhubung Ordinan Darurat,” katanya.

Dengan itu, katanya, Mahiaddin telah bertindak membelakangkan titah Seri Paduka Baginda dengan mencari ruang tafsiran undang-undang yang menyeleweng dari semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi yang diamalkan negara.

“Apabila ditegur DYMM YDPA, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin memilih untuk menempelak Baginda dan memperlekehkan Sidang Parlimen hari ini dengan menempuhkan persidangan pada asalnya dari jam 12.45 kepada 2.30 petang dan pada 2.30 petang ditempuhkan pula kepada 5.15 petang dan pada 5.15 petang ditempuhkan pula kepada Isnin depan,” katanya.

Dalam usaha untuk kekal berkuasa, katanya, Mahiaddin dan seluruh Jemaah Menteri telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara dengan membelakangkan dan menghina institusi YDPA, Parlimen serta Perlembagaan Negara.

“Dalam suasana rakyat sedang berdepan dengan krisis wabak dan ekonomi, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan seluruh kabinetnya yang terdiri dari Ahli Parlimen Bersatu, UMNO, PAS, GPS dan lain lain telah memilih untuk menimbulkan krisis politik demi menutup kegagalan mereka,” katanya.

AMANAH, kata ahli Parlimen Kota Raja itu, menjunjung kasih terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda mempertahankan Perlembagaan Negara, Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Kami berjanji akan berdiri teguh bersama YDPA dalam usaha Baginda mempertahankan ketiga-tiga teras dan prinsip kenegaraan Malaysia ini.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya semua pihak yang ingin memperlekehkan dan membelakangkan ketiga-tiga teras dan prinsip ini,” katanya.

Sehubungan itu, AMANAH menuntut Mahiaddin untuk bertanggungjawab terhadap tindakan penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan atas segala kecurangan Jemaah Menteri terhadap keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan institusi Parlimen.

“Oleh itu, AMANAH menuntut Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletak jawatan serta merta dan memohon sembah ampun dari KDYMM Seri Paduka Baginda,” katanya.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan