Noktahkan segera kerakusan kuasa

 


Oleh ATRIZA UMAR

‘Drama-drama’ yang ditayangkan pihak kerajaan sepanjang tempoh ‘pengambilan kuasa’ sejak Mac tahun 2020 sangat memberikan kesan yang tidak baik kepada negara, apalagi kesannya sangat dirasai semua ketika rakyat bergelut melawan Covid-19 yang belum tampak kesudahannya.

Ketika Ahli Parlimen sudah pun duduk di kerusi Dewan, maka baru saja diketahui sekalian rakyat jelata bahawa kerajaan sudah menarik balik semua Ordinan Darurat berkenaan sejak 21 Julai lalu.

Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit, sebagaimana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Pengumuman besar negara itu bukan disampaikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sedangkan beliau hadir dan berada di Dewan Rakyat itu juga.

Tiba-tiba menteri itu tidak mahu menjawab persoalan berkaitan pembatalan itu dan akan menjawabnya pada hari Isnin depan. Ia menimbulkan lebih banyak persoalan, sedangkan jawapannya hanya semudah ya atau tidak.

Sebagaimana pertanyaan netizen bernama Adeysham Nor di laman Facebooknya:

“Dah dapat perkenan Agong ke belum? Kalau dah kata dah. Kalau belum kata belum. Apa yang susah sangat nak jawab sampai nak kena tunggu hari Isnin depan?”. Tambahnya lagi, berkatalah benar walaupun pahit.

Sedangkan sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah agar Parlimen dibuka segera supaya Proklamasi Darurat dan semua ordinan berkaitan Darurat dibahaskan di parlimen.

Tapi jelas menteri-menteri PN memperolok-olok dan memperbudak-budakkan rakyat senegara. Apa cerita sebenarnya wahai pak menteri? Jujurlah agar tidak kalian digelar ‘menteri penipu’.

Jelas kegagalannya?

Pelbagai isu yang terpaksa dihadapi rakyat, apatah lagi dalam keadaan ‘paksa rela’ duduk di rumah dan tidak boleh ke mana-mana. Maka isu yang menular, sekali lagi terpaksa didepani.

Isu kelaparan, kesempitan hidup, pendidikan juga masalah sosial rakyat yang masih belum berakhir. Para menteri semudahnya ke sini sana, tidak mematuhi SOP yang diperintahkan.

Rakyat terus dibebani dengan hukuman yang tidak masuk akal. Tetapi golongan atasan dan kayangan, bebas berkeliaran seakan-akan virus itu sangat kebal untuk tembus kepada diri mereka.

Kita semua ingin kembalikan bumi Malaysia ini sifar kes Covid-19 dan dapat menjalani kehidupan normal. Namun apakan daya, angka-angka kes makin meningkat setiap hari.

Barangkali ada yang tidak sedar, sudah cecah 1 juta kes di Malaysia ini! Di mana kepedulian pemimpin yang berkuasa kini hingga angka-angka itu tidak dapat diturunkan lagi?

Sebanyak mana masa lagi yang kerajaan ini perlukan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada mereka? Secara jelasnya, sekalian rakyat sudah serik dengan ‘wayang’ yang disiarkan pemimpin negara ini.

Lihat sahajalah, pada Isnin juga telah berlangsungnya himpunan Hartal Doktor Kontrak.

Kebajikan barisan hadapan ini tidak dapat diberikan jaminannya walaupun mereka sangat setia melayani dan merawat pesakit bukan sahaja ketika pandemik ini.

Suara-suara para doktor terus kedengaran di bawah pimpinan kerajaan kali ini, namun ia tetap tidak diambil peduli hinggalah tercetusnya himpunan semalam dan diketahui rakyat. Seperti kata seorang pensyarah, Puan Syahidatul Munirah:

“Hartal daripada penjawat awam ini mencipta sejarah baharu di Malaysia. Belum pernah terjadi, tapi memang perlu dilakukan. Sebab apa? Sebab pengurusan tertinggi mana-mana jabatan dalam Malaysia ini, sudah terbiasa dengan ketidakpedulian, korupsi, main duit, tidak peduli kebajikan staf, sikap buli membuli walhal dia tak buat kerja pun sebab sibuk ‘kipas punggung’ ahli politik untuk kekalkan kedudukan sebagai bos.”

Semua ini berlaku di mana-mana daripada peringkat tertinggi sehingga staf integriti dan sumber manusia akan ikut bersekali, rata-ratanya untuk selamatkan periuk nasi mereka.

Mereka yang berkuasa itu pula ada akses langsung dengan badut-badut politik yang lagilah teruk mempermainkan rakyat.

“Jadi, hartal ini penting untuk memberi ‘wake up call’ bahawasanya rakyat atau pekerja yang ditindas tidak bodoh, tidak lembik dan takkan selamanya takut dengan permainan kuasa mereka yang tak buat kerja pun tapi sibuk main kuasa,” tegasnya lagi.

Secara jelasnya, pihak kerajaan perlu peka dan mengambil sikap yang sewajarnya terhadap doktor kontrak dan mereka diberikan ganjaran yang adil berasaskan prestasi juga kompetensi yang mereka miliki. Walaupun isu ini bukanlah baharu, tetapi tanggungjawab itu perlulah berbalik kepada kerajaan yang memerintah.

Sedarkah kalian wahai pemimpin negara dan kita semua, tentunya mereka ingin sekali memberi khidmat yang terbaik kepada sektor kesihatan negara, apatah lagi pada waktu yang sangat kritikal dan perlu punya kesabaran dan kekuatan yang tinggi mendepani pesakit Covid-19 ini.

Memetik kata Ustaz Furqan Abdullah:
“Jika kewangan adalah kekangan dan masalah utama, kecilkan saiz kabinet, menteri, timbalan menteri, duta-duta khas bertaraf menteri dan lain-lain jawatan yang sudah tentu memakan belanja pengurusan yang maha besar”.

Menurutnya lagi, belum dikira lantikan-lantikan politik lagi. “Seperti biasa, ‘hujah’ yang memenangkan kelompok elit, kaya dan berkuasa amat mudah diketengahkan untuk mengugut dan menindas kelompok bawahan”. Begitukah?

Ketelusan itu penting

Beberapa hari ini, timbul pula isu berkaitan integriti dan kompetensi dalam kalangan mereka yang ‘punya nama,’ yang menjadi pemerhatinya adalah rakyat atau dengan kata lainnya, netizen.

Begitu ramai yang menyokong seseorang itu, maka pelbagai tamsilan diberikan. Tidak terkecuali, mereka yang menentang influencer itu dan melabelkan bermacam-macam.

Namun, tetap ada yang terus menegakkan yang hak (kebenaran) antara kedua-dua mereka itu.Ada yang taasub dan terlampau mengagungkan hingga kebenaran pun terhijab. Begitu juga yang menegakkan kebenaran tetap ada dengan bahasa-bahasa yang baik dan hikmah.

Rakyatlah perlu menelusuri dan menilai kebenaran yang telah disingkapkan. Sebelumnya, isu OKU yang didera hangat juga diperkatakan, namun seakan tenggelam dek kerana netizen beralih arah membincangkan isu influencer itu.

Tentunya kita sebagai rakyat Malaysia mengharapkan agar isu influencer ini tidak terus menenggelamkan isu utama negara, iaitu integriti dan kompetensi kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini.

Sewajarnya kita mengambil sikap yang jelas dalam menangani sesuatu isu. Letakkan sesuatu itu pada tempatnya, bukan pukul rata. Perlunya meletakkan isu yang ingin diselesaikan, bukan mengaitkan pula dengan kebaikan yang dibuatnya hingga menutup segala kemungkaran yang dilakukan, tidak kira siapa pun orangnya.

Maka, teruskan herdikan kita sebagai rakyat, agar segala isu yang berlaku ini dipandang serius oleh pihak yang sepatutnya terutama kerajaan negara ini. Seperti kata Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti menerusi artikelnya, “Dalam keikhlasan perlu ketelusan, barulah hati beroleh ketenangan”.

Moga negara kita yang tercinta ini kembali ke arah yang lebih baik, tanpa Covid-19, tanpa rasuah, tanpa penunggang agama, tanpa maksiat, tanpa penindasan, tanpa pembohongan dan tanpa keburukan yang tidak diingini.

———————

Penulis merupakan Pegawai Penerangan dan Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan