Rakyat tunggu bila ahli agama hendak tegur pemimpin zalim


Oleh Mohd Syazreen Abdullah

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin pernah menyifatkan bahawa rakyat yang hidup di zaman pandemik ini seperti hidup di zaman perang.

Perang melawan ancaman pandemik covid-19. Beliau menyarankan kepada rakyat agar melindungi diri setiap masa, duduk di rumah bagi menyelamatkan nyawa.

Sehingga kini, segala arahan dan peraturan telah dipatuhi rakyat tetapi bilangan kes harian Covid-19 tidak pernah nampak surut. Malah kes semakin naik.

Justeru kita bukan lagi berperang dengan bahaya Covid-19, sebaliknya rakyat sedang berperang dengan kebodohan dan kezaliman penguasa negara.

Rakyat kini lebih risaukan kerajaan gagal dalam mengawal pandemik. Demikian ia bukan lagi jihad melawan Covid-19, tetapi ia jihad tentang melawan kebebalan penguasa zalim.

Manakan tidak rakyat bangkit, marah dan melawan; lihatlah situasi di lapangan hari ini. Amat teruk dan menakutkan.

Sektor kesihatan sudah hampir lumpuh. Saban hari semakin banyak kematian akibat Covid-19. Para barisan hadapan kesihatan sudah letih dan luntur motivasi.

Sudah bertahun kita menghadapi pandemik namun masih tidak ada sinar di hadapan. Akhirnya fasiliti kesihatan bakal punah.

Turunlah dan lihat keadaan di hospital kesihatan.

Ada yang sudah tidak ada ventilator, lalu nyawa menjadi taruhan. Pesakit yang kadar oksigennya rendah harus dilakukan intubasi, namun terpaksa dilepaskan sehingga nafas terakhir.

Manakala di rawatan kecemasan, setiap hari sesak dan penuh menghadapi beban rawatan pesakit. Pesakit tidak ada katil akibat kepadatan pesakit untuk menampung. Inilah realiti yang berlaku.

Apakah ini belum cukup menakutkan? Bayangkan sekiranya situasi ini berlaku kepada ibu, ayah dan orang yang kita sayangi.

Pasti kita berasa sedih, sakit, pedih dan marah, sehingga kita bertanyakan kepada pemimpin di atas apakah nilai nyawa rakyat sudah tidak lagi berharga di sisi penguasa negara?

Begitulah, masyarakat makin diseksa. Rakyat sudah mengalami depresi, bunuh diri dan tiada bekalan sumber pendapatan. Kos sara hidup semakin naik. Adakalanya mereka terpaksa angkat bendera putih demi sesuap nasi.

Ini bukan cerita rekaan negara lain, inilah hakikat yang terjadi di negara tercinta kita sendiri Malaysia hari ini.

Kita tidak pernah membayangkan bahawa kehidupan seteruk ini akan berlaku.

Hal ini cukup menyeksakan ditambah sikap penguasa yang tidak punya hati, gagal memimpin dan tidak perikemanusiaan.

Rakyat buntu dan sudah penat dikurung. Mereka penat melayani sikap zalim pemerintah.

Sehingga rakyat bukan lagi penat tetapi sudah sedih melihat perkembangan politik penguasa yang tidak pernah insaf, tamak haloba dan tidak peduli terhadap penderitaan rakyat. Ibarat negara ini seperti tidak ada pemimpin.

Dan, pemimpin negara ini buat apa?

Tegur pemerintah

Di tengah kesusahan ini, penguasa seolah-olah tidak mahu memandang serius terhadap nasib penderitaan rakyat.

Pemimpin masih sibuk menjaga kuasa masing-masing. Turunlah ke lapangan. Saksikan penderitaan rakyat. Lihatlah kerosakan yang telah kamu lakukan sehingga rakyat menanggung derita sedahsyat ini.

Betapa negara ini sedang diambang kehancuran di tangan penguasa lemah, zalim dan gagal.

Akibat kelemahan mentadbir, banyak orang telah meninggal kerana Covid-19 tetapi reaksi pemimpin seperti tidak ada apa yang berlaku. Malah, masih sibuk bermain politik gila kekuasaan.

Justeru, sudah masanya sikap mereka ini harus ditegur oleh para agamawan.

Menteri agama dan para mufti tegurlah dan berikan ancaman kepada mereka. Agamawan harus mengecam dan memberi peringatan keras kepada mereka bahawa kembali kepada Tuhan dan pangkal jalan.  

Begitulah para mufti – jangan pandai memberikan fatwa kepada rakyat kecil sahaja. Sebaliknya tegur pemimpin di atas dengan keras. Bukan nasihat bisik-bisik.

Biar semua rakyat tahu tindakan penguasa hari ini sudah bertentangan dengan ajaran Islam.

Pemimpin hari ini sangat teruk. Mereka sudah terbukti gagal tetapi tidak mahu berundur.

Mereka tidak layak untuk memerintah negara ini. Pemerintahan mereka tidak memberi kebaikan sedikit pun. Kemaslahatan rakyat tidak dijaga. Bahkan memberi kemudaratan.

Sebaliknya sikap mereka yang tamak kekuasaan telah menyebabkan rakyat semakin derita. Mereka menguruskan negara seolah-olah tidak ada negeri abadi.

Justeru menteri agama, para mufti dan sesiapa pun, sudah masanya untuk menegur dan keluarkan fatwa kepada penguasa yang zalim ini. Tiadalah fungsi agama lagi jika masih takut untuk menegur kemungkaran yang nyata.

Penguasa harus sedar bahawa mereka sedang melakukan kemungkaran.

Justeru, di manakah hadis, Quran dan hukum-hakam untuk menegur mereka?

Menuju kehancuran

Perkara yang paling menakutkan ialah apabila Tuhan sudah menutupi hijab hamba-Nya dalam melihat kemungkaran.

Menteri agama janganlah berselindung di sebalik amal jariah dan rekod kad penilaian kerja. Tunjukkan kepada rakyat bahawa amalan penguasa hari ini sudah jauh terpesong.

Masyarakat minta peranan agama menegur penguasa yang gagal, tamak dan zalim terhadap rakyat.

Menteri agama harus berani dan cepat arahkan fatwa mengenai hal ini. Biar seluruh alam tahu bahawa kita dipimpin oleh penguasa yang gagal bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan Allah untuk memimpin.

Sedarkan kepada mereka yang hanyut. Beritahu kepada penguasa bahawa kegagalan dalam mentadbir tetapi masih gilakan kuasa di saat rakyat susah adalah sifat dibenci Nabi.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa pemimpin gagal yang gila kuasa tidak boleh diberikan jawatan.

Perkara ini dijelaskan ketika Baginda ditanya mengenai orang yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah menjawab: “Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gila kan jawatan kepimpinan.” (Sahih al-Bukhari, no: 7149)

Bahkan dikatakan oleh Abu Daud al-Sijistani bahawa sifat ini adalah salah satu daripada penyakit atau menggelarkannya sebagai syahwat tersembunyi iaitu sikap yang cintakan kuasa.

Amanah kuasa

Penyakit gila kuasa ini ditakuti ulama dan salafusoleh. Mereka bimbang syahwat tersembunyi itu mematikan pandangan kemanusiaan dan kebenaran sehingga buta dalam melihat pandangan kebenaran.

Oleh kerana itu para salafusoleh terdahulu berhati-hati terhadap penyakit cintakan dunia dan kekuasaan.

Kerana mereka tahu ia adalah amanah cukup berat dan akan ditanyakan Tuhan di akhirat kelak.

Justeru berhati-hati dengan jawatan kepimpinan. Jangan pikul amanah besar ini andai tidak layak. Apatah lagi kuasa ini memudaratkan kehidupan rakyat.

Janganlah menjadi pemimpin yang membunuh rakyat. Betapa buta dan kerasnya hati penguasa hari ini.

Sufyan al-Thauri pernah menulis surat kepada ‘Abbad bin ‘Abbad:

“Hendaklah engkau menjauhi sifat cintakan jawatan, sesungguhnya seorang lelaki (yang ditimpa penyakit ini) akan lebih cintakan jawatan lebih daripada dia mencintai emas dan perak. Ia adalah perkara (penyakit) yang sangat tersembunyi yang tidak dapat dilihat melainkan mereka yang diberikan basirah (penelitian yang mendalam) dari kalangan ulama. Maka periksalah dirimu (agar ia tidak dihinggapi penyakit ini) dan beramallah dengan niat (yang ikhlas). (Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya)

Nabi SAW pernah mengingatkan lagi bahawa pemimpin tidak layak pasti menuju kehancuran.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Jika amanah telah disia-siakan, tunggu sahaja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya: ‘Bagaimana maksud amanah disia-siakan?’ Nabi menjawab: “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (HR Al-Bukhari)

Demikianlah, rakyat mahukan kerajaan amanah, bukan kerajaan yang membunuh rakyat.

Janganlah sikap penguasa yang zalim dan agamawan yang tidak berani menegur kemungkaran akhirnya kita sama-sama menuju kehancuran.

Ingatlah, pemimpin hari ini dan agamawan yang mendiamkan diri ke atas musibah ini, setiap nyawa yang hilang kerana kezaliman dan kelalaian kamu lakukan hari ini akan ditanya Tuhan di Padang Mahsyar!

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan