Bersih desak Muhyiddin segera buktikan sokongan majoriti

 


KETIDAKSTABILAN politik akan terus berpanjangan sementara menunggu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menguji sokongan terhadapnya di Parlimen pada September, kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.

Muhyiddin sepatutnya memanggil Dewan Rakyat bersidang dengan segera sekiranya yakin mempunyai sokongan majoriti, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Penangguhan ini hanya akan memperpanjang ketidakstabilan politik apabila parti-parti akan mencari sokongan ahli Parlimen melalui janji habuan dilantik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau jawatan dalam Kabinet, atau menyalahgunakan badan penguatkuasa seperti SPRM, LHDN, PDRM dan peguam negara untuk menyiasat serta mendakwa mereka yang tidak selari dengan kerajaan. 

“Taktik ini telah kita saksikan sejak Langkah Sheraton yang menaikkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Bersih. 

Dalam perutusan khas secara langsung di televisyen tengah hari tadi, Muhyiddin berkata beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan namun akan merujuk keabsahannya di Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang September ini.

Pada persidangan itu nanti, satu usul percaya akan dibawa terhadapnya untuk ditentukan oleh anggota Dewan Rakyat, katanya.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai perdana menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.”

Kedudukan kerajaan PN dan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri jadi persoalan selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan mereka.

Zahid semalam umum bahawa 11 ahli Parlimen dari partinya menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan surat perakuan sudah dihantar ke Istana Negara.

Bagaimanapun, dalam perutusan khasnya Muhyiddin berkata hanya lapan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadapnya.

Bersih berkata pengakuan Muhyiddin itu jelas menunjukkan beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti melainkan perdana menteri telah ataupun sedang merancang pengkhianatan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Skim politik sebegini tidak boleh dibenarkan mengambil tempat.”

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak juga berkata Muhyiddin tidak perlu menunggu sidang Dewan Rakyat pada September untuk membuktikan sokongan majoriti.

“Dia kata dia percaya bahawa dia masih ada sokongan majoriti. Tapi dia berjanji pada Yang di-Pertuan Agong akan usulkan undi percaya terhadap dia pada sesi Parlimen bulan September. 

“Kenapa pula bukan sekarang memandangkan kita baru masuk bulan Ogos? ” tulisnya di Facebook hari ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan