Pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat: Bersatu Johor tolak Ahmad Maslan

 


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sebulat suara menolak pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, penolakan itu dibuat kerana mempertahankan pendirian parti tersebut yang tidak mendukung pemimpin integritinya diragui.

“Selaku Ketua Penerangan Bersatu Negeri Johor dan juga Timbalan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Johor, bersama-sama ahli Bersatu yang lain menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Dalam konteks sebagai calon Timbalan Speaker, saya bersependapat dengan Bersatu Pusat bahawa kita tidak bersetuju untuk mengambil mereka yang masih terlibat dalam perbicaraan kes-kes mahkamah menjadi calon kepada Menteri, Timbalan Menteri ataupun Timbalan Speaker,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung Umno itu sedang berdepan kes mahkamah membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta.

Wang sebanyak itu didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, Solihan menegaskan lagi Bersatu mesti mencari pemimpin yang berintegriti, amanah dan bebas rasuah sejajar dengan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Baru-baru ini, Umno mengesahkan Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Dalam masa sama, blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming sebagai wakil Pakatan Harapan (PH).

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan