DUN Melaka bubar, pilihan raya negeri diadakan

 


PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan pilihan raya negeri akan diadakan selepas Menteri Besar Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti ADUN negeri itu.

Pembubaran itu diumumkan Yang Dipertua DUN Ab Rauf Yusoh sebentar tadi, sehari selepas empat ADUN Melaka termasuk bekas Ketua Menteri Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Pembubaran itu yang dipersetujui oleh Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam, dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik berkenaan dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya.

“Susulan sidang media penarikan sokongan semalam, ketua menteri Melaka telah utus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk memaklumkan bahawa empat orang Ahli Yang Berhormat tersebut telah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Melaka.

“Seterusnya pada masa sama minta perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk bubarkan DUN Melaka yang ke-14.

“Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah buat pertimbangan dan setuju untuk bubar DUN Melaka ke-14. Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 akan diwartakan hari ini,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Sementata itu, Rauf berkata tempoh untuk diadakan PRN Melaka diserahkan kepada SPR.

Beliau juga berkata, terpulang kepada SPR untuk mencadangkan kaedah prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengadakan PRN di Melaka.

“Buat masa ini kerajaan negeri sedia ada akan jadi ‘caretaker’ sehingga PRN diadakan,” katanya.

Semalam, kerajaan negeri Melaka yang diketuai Ketua Menteri Sulaiman Md Ali tumbang.

Dalam satu sidang media, bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron daripada Umno bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Tiga lagi ADUN yang dilihat hadir pada sidang media adalah ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan.

Terdahulu, FMT melaporkan spekulasi kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang bertiup kencang selepas empat ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan Bersatu didakwa akan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada FMT, sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, perbincangan antara PH dan empat ADUN itu berlangsung sejak dua bulan lalu ketika ketegangan antara Umno dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencapai kemuncak.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan