Undi 18 tahun akan dilaksana sebelum tamat sidang Dewan Rakyat


Kerajaan akan melaksanakan undi 18 tahun sebelum tamat sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, kerajaan tiada pilihan lain selain akur terhadap perintah mahkamah yang telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini

“Bagi undi 18 kita tak ada pilihan sebenarnya. Rang undang-undang ini mesti dilaksana sebelum tamatnya persidangan ini.

“Oleh kerana Hakim telah menetapkan… Kalau kita tidak laksanakan, maknanya perdana menteri dan kerajaan Malaysia akan didakwa atas ‘contempt of court’,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang menggesa kerajaan untuk segera menangani masalah teknikal berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam penggubalan undi 18.

Beliau berkata, pelaksanaan undi 18 tidak boleh dilengahkan dan perlu diluluskan pada sesi Parlimen pada December.

Justeru itu, Wan Junaidi berkata, dua minggu dari hari ini jemaah menteri akan membentangkan pindaan melaksanakan undi 18.

“Jadi dengan sendirinya perundangan itu mesti dibuat. Saya dah bagitahu jemaah menteri, dua minggu daripada sekarang kita akan bentangkan dia punya pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Usul kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan mendapat sokongan 211 daripada 222 Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen ketika itu secara majoriti menyokong pindaan perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan untuk menurunkan umur warganegara layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia termasuk meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan untuk menurunkan umur seseorang warganegara layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan