Beranikah PH batal MOU dengan kerajaan PN/BN?


 Jika Pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja yang dibentangkan pada 11 April nanti, ia tidak akan membawa makna apa-apa sekiranya RUU ALP tidak dibentang sama di parlimen.

Pilihanraya Umum ke-15 akan diadakan dalam masa empat atau lima bulan akan datang. Tanpa ada Akta Anti-Lompat Parti berkuatkuasa maka gejala lompat-melompat parti akan berulang lagi.

Yang boleh mencegah kejadian ahli parlimen dari melakukan lompat parti ialah jika ada undang-undang yang keras dan tegas mencegahnya dalam bentuk Akta Anti-Lompat Parti.

Sekadar pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (c) atau Perkara 48(6) tidak akan menakutkan ahli-ahli parlimen yang oporcunis untuk melompat parti. Mereka hanya akan takut sekiranya ada Akta Anti-Lompat Parti yang sedia untuk bertindak dan berkuatkuasa terhadap mereka.

Kerajaan BN/PN pimpinan Ismail Sabri Yaakob nampaknya berdolak-dalik. Mereka tidak serius dan tidak ada komitmen ikhlas untuk mencegah gejala lompat-melompat parti. Yang kelihatan jelas bersungguh-sungguh membawa agenda rakyat untuk membanteras perbuatan politik tidak beretika melompat parti ialah Pakatan Harapan (PH) dan ahli-ahli parlimen pembangkang lainnya.

Sudah dua kali RUU ALP gagal dibentangkan oleh kerajaan di parlimen. Pertama gagal pada sidang mesyuarat penggal yang lalu berakhir pada 24 Mac 2022.

Kali ini, kali kedua pada sidang khas 11 April juga RUU ALP gagal dibentangkan, walaupun sebelum ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan de facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi lantang memukul canang bahawa RUU ALP akan dibentang di parlimen.

Kegagalan kerajaan membawa RUU ALP ke parlimen kali ini walaupun masa yang cukup telah diberikan menunjukkan perdana menteri telah gagal memimpin kabinetnya supaya bersetuju dengannya.

Yang jadi masalah sehingga RUU ALP gagal dibentang di parlimen pada 11 April ini hanyalah berkisar kepada satu isu sahaja iaitu isu tafsiran apa itu yang dimaksudkan dengan perkataan “lompat”. Soal istilah, soal tafsiran yang jadi masalah besar nampaknya.

Sebenarnya itu alasan sahaja untuk menggagalkan usaha mengwujudkan Akta Anti-Lompat Parti di Malaysia. Kerajaan BN/PN sebenarnya tidak ada keazaman poliitik (political will) untuk membanteras gejala pengkhianatan mandat rakyat dalam bentuk melompat parti.

Alasan mencari tafsiran yang tepat apa yang dimaksudkan oleh istilah “lompat” adalah alasan tidak menasabah yang diada-adakan. Betullah kata bidalan Melayu,“hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih.”

JIka kerajaan bersungguh-sungguh komited, maka RUU ALP patut dibentangkan dengan tafsiran “lompat” yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman antara kerajaan dengan PH (MOU) yang dipercayai telah diperhalusi oleh Peguam Negara.

Sila bawa RUU ALP itu di parlimen dengan segala tafsiran yang ada. RUU itu boleh dipinda semasa perbahasan di parlimen pada peringkat dasar dan juga jawatankuasa.

Jika RUU ALP ini tidak dibawa ke parlimen sekarang dan pilihan raya umum berlangsung dalam masa terdekat maka rakyat dan negara akan terlepas satu peluang akan wujudnya satu instrumen undang-undang yang penting untuk mencegah gejala lompat parti.

Tidak ada undang-undang buatan manusia ini yang sempurna seratus peratus dan kalis kesilapan atau kecacatan. Proses semakan, ulang kaji atau pindaan boleh dilakukan dari semasa ke semasa di parlimen untuk memperbaiki Akta Anti-Lompat Parti sekiranya ia berjaya digubal sekarang.

Masalah tafsiran apa itu “lompat” boleh diperbaiki, dikemas dan diperhalusi dari semasa ke semasa melalui pindaan akta biasa di parlimen. Bukanlah sesuatu yang rumit. Yang penting wujudkan segera Akta Anti-Lompat parti sekarang.

Bukan esok, bukan Lusa. Berlengah-lengah itu sebenarnya adalah dalih untuk mengelak undang-undang antilompat parti berjaya digubal di negara ini.

‘Seperti mak bapa bunuh anak’

Puak-puak di dalam kerajaan khususnya di kalangan anggota kabinet tidak mahu blok pembangkang khususnya PH dilihat menang sekiranya RUU ALP berjaya dibawa di parlimen dan diluluskan.

Ada di kalangan mereka di dalam kerajaan yang ingin membalas dendam atas kekalahan kerajaan dalam usul berkenaan Akta Sosma baru-baru ini yang ditentang sepenuhnya oleh ahli parlimen pembangkang.

Kali ini di pihak kerajaan pula ingin melihat RUU ALP digagalkan dari dibawa ke parlimen. Perbuatan mereka sepertilah "ibu bapa yang membunuh anak sendiri."

Jadi Pakatan Harapan (PH) khususnya perlu mengkaji semula tentang komitmennya terhadap MOU. RUU ALP adalah teras dan intipati dalam MOU. Majlis Presiden PH pernah menyatakan kepada umum bahawa jika kerajaan gagal melaksanakan RUU ALP, maka MOU akan dibatalkan.

Jadi, sekarang adalah “moment of truth” kepada Majlis Presiden PH. Adakah mereka masih berpegang dengan pendirian berani mereka itu?


HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan