Aduhai Kelantan, aduhai...


Oleh Imlan Adabi

 Tahun ini sambutan Syawal di Kelantan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selepas dua tahun perantau tidak dapat menyambut Aidilftiri di bumi Serambi Mekah itu, tahun ini ratusan ribu orang bersesak-sesak untuk menikmati bulan kemenangan di tanah kelahiran ramai ulama.

Perantau tidak lagi risau akan Covid-19 kerana hari raya adalah hari balik kampung walaupun khabarnya masih ramai ibu bapa dan sanak saudara di Kelantan belum mengambil vaksin dan dos penggalak.

Anak rantau tidak lagi takut virus kerana Kelantan diyakini negeri naungan tuhan di bawah pimpinan ulama sejak 1990.

Selama 32 tahun di bawah pentabiran kerajaan Islam versi PAS, kira-kira 1.9 juta rakyat Kelantan sudah seronok dengan cerita Islam yang disurahkan pada majlis ceramah dan sembang kedai kopi.

Pembangunan Islam ala Kelantan bukanlah seperti yang orang selalu faham kerana Islam itu bermaksud kemajuan dan pembangunan yang seimbang. Tetapi di Kelantan isu-isu rakyat seperti jalan tidak sempurna, 'sumpahan' bekalan air yang berlumpur yang seakan tiada kesudahan terus menghantui.

Pun begitu kesetiaan rakyat kepada PAS nampaknya setakat ini kekal.

Mereka difahamkan bahawa jika tiada PAS maka tiadalah Islam di Kelantan.

Pada 'lebai' dan ustaz sudah banyak kali bersurah tentang hal itu agar bani Melayu di tepi Laut China Selatan itu menghafalnya. Ia juga terus diulang-ulang pada majlis ceramah dan kuliah di masjid dan surau.

Tiga dekad dah berlalu

Ramai juga yang percaya bahawa jika tiada PAS di Kelantan maka tiadalah lagi Islam di Malaysia kerana orang pantai timur sudah lama mendakwa ulama, ustaz dan lebai popular di negeri lain wajib ada kaitan dengan Kelantan.

Keyakinan itu akhirnya menjadi mitos, kononnya orang Kelantan lebih Islam berbanding Melayu di negeri lain. Orang Kelantan lebih alim, lebih zuhud dan salih berbanding Melayu negeri lain.

Setiap kali menjelang Aidilfitri, isu kesesakan jalan raya sengaja dicanangkan oleh 'musuh orang Islam Kelantan' untuk mengaitkan kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa selama tiga dekad.

Mujurlah seorang yang berhormat mempertahankan imej Kelantan dengan mengatakan negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak perlu jalan raya luas dan besar macam lebuh raya demi keamanan rakyat.

Ada yang mengaitkan perjuangan Islam tidak memerlukan jalan raya yang sempurna. Nabi Muhammad pun, katanya, hanya naik unta di padang pasir.

Justeru mungkin itu menjawab tanda tanya mengapa sehingga kini Kelantan tidak mempunyai lebuh raya seperti negeri lain dan rakyatnya biasa saja dengan kehidupan sederhana ala padang pasir.
Gambar hiasan

Apabila ada jalan raya yang sedikit lebar seperti laluan Kota Bharu ke Pasir Mas Salor, jalan itu disebut highway walaupun di situ juga ada simpang tempat lembu dan kambing melintas.

Idea pembinaan jalan raya mungkin dicetuskan oleh Husam Musa, exco era Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar dan dia meyakini laluan selebar dua lorong mampu menampung kesesakan pada musim perayaan.

Tercetuslah idea pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sejauh lebih 50 kilometer. Malangnya Husam bukan lagi barisan pimpinan kerajaan Kelantan kerana cara berfikirnya tidak selari dengan dasar ulama yang dikaitkan sebagai pewaris nabi.

Orang Kelantan cepat menyedari 'keimanan' Husam sebagai grup lebai semakin tipis dan akhirnya dihukum sekular semacam Mat Sabu. Kerana kesedaran itu jugalah Husam diasingkan daripada kerajaan negeri sehingga akhirnya menerajui Amanah di Kelantan.

Kesedaran Islam terhadap pola politik Kelantan tidak berubah. Tanpa Husam dan selepas kematian Nik Aziz, gerakan lebai menguasai kehidupan rakyat terus rancak dengan pelbagai idea dan teori yang kononnya Islamik.

Orang Kelantan memang beruntung kerana mempunyai pemimpin cerdik dan maksum. Ketika berlaku kebakaran di Jalan Berek 12 yang tidak jauh dari hospital di Kota Bharu, dia meredakan rakyat yang membentang sepanduk marahkan kerajaan negeri kerana kurang bekalan air untuk digunakan bomba memadam kebakaran.

Tarik beca kerja tetap

Memang rakyat Kelantan beruntung mempunyai barisan pimpinan negeri yang kreatif dan inovatif. Walaupun Kelantan menjadi antara tiga negeri termiskin di Malaysia selain Sabah dan Sarawak, ramai yang membarisi kerajaan negeri mempunyai tahap lateral thinking yang luar biasa.

Bagi menangani kemiskinan dan mengatasi jurang pendapatan lepasan universiti, seorang wakil rakyat yang genius mencadangkan mereka membuat dua pekerjaan bagi menampung kos kehidupan. Cadangan paling di luar janga ialah menjadi penarik beca selepas waktu kerja tetap.

Pandangan itu jangan dianggap sebagai lawak. Pandangan itu hanya dimiliki oleh lulusan Oxford dan Cambridge. Penarik beca bukan kerja hina walaupun P Ramlee pernah tayangkan kemiskinan tegar bangsa Melayu dekad 1950-an di Singapura.

Penarik beca ialah kerja seni untuk membawa budaya Kelantan ke tahap yang lebih tinggi. Beca adalah seni kerjaya Kelantan. Kemiskinan pun jika berusaha tidak dianggap kehinaan kerana orang Kelantan sudah lama terkenal dengan kerajinan.

Padangan supaya lepasan ijazah mengayuh beca sepatutnya dicatat oleh Guinness World Records kerana idea itu yang bernas dan cerdik. Malangnya idea itu senyap begitu sahaja kerana memang begitulah sikap orang luar terhadap Kelantan.

Kecerdikan, kealiman dan kelebaian ustaz jarang diperkatakan. Musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk melemahkan pimpinan Islam.

Setiap kali hari raya datang, kesesakan lalu lintas di Kelantan tidak dapat dielakkan. Negeri lain pun sesak juga. Tetapi kesesakan di Kelantan mengatasi negeri lain kerana jalan sempit, berlekok-lekok dan di beberapa tempat sudah lama tidak diturap.

Ada ustaz yang berpesan kepada perantau supaya  berhati-hati di jalan raya, mulakan perjalanan dengan doa dan harapan agar Allah selamatkan perjalanan pulang hingga kita selamat bertemu sanak saudara.

"Kepada yang sudah lama tidak pulang, ambo nak berikan satu pedoman... bila anda berasa kereta anda bergegar-gegar, stering sukar dikawal, jalan mula sempit, gelap dan terasa macam  berlubang-lubang, maka ketahuilah, itulah isyarat anda telah mula tiba atau memasuki sempadan Kelantan, insya-Allah selepas itu anda tidak lama lagi akan sampai ke destinasi yang terbayang-bayang di kepala.

"Apabila tiba di destinasi masing-masing, harapan ambo bertabahlah kalau anda mula merasai apa yang anda tidak pernah rasai di perantauan. Andainya air berkarat, atau terputus bekalan, atau air yang keluar terlalu perlahan, maka itulah yang sekian lama sudah kami alami.

"Andainya jalan yang anda lalui sesak, penuh penar sehingga nak bergerak pun payah, jem yang teruk, bersabarlah, kami pun terpaksa merasai sama apa yang anda rasai dan kami tidak tahu adakah penderitaan ini ada penghujungnya atau kami terpaksa lalui dengan penuh reda sepanjang hayat kami dan anak cucu nanti."

Ustaz itu menyambung pesanan:  "Kita hanya boleh mencipta perubahan kalau kita sedia berubah. Namun kalau kita masih ketagihan politik bersentimen agama dan kaum, bukan suatu yang ajaib jika kita terpaksa hidup dengan situasi tanpa boleh diagak bilakah penamatnya."

Bomba kena bawa air

Pada pilihan raya umum 2018, seramai 200,000 perantau mengundi di Kelantan. Mereka sanggup bersesak-sesak di jalan raya asalkan kerajaan negeri yang ada terus dikekalkan. Lalu sesudah itu mereka pun kembali ke ibu kota, atau ke mana-mana lokasi lain di luar Kelantan.

Walaupun mencipta kejayaan dan menggapai kesenangan di perantauan, Kelantan tetap menjadi pilihan mereka untuk membuang undi  kerana pelbagai faktor yang masih misteri.

Ada yang mahu bernostalgia dengan zaman lampau, justeru mengundi PAS adalah suatu kemestian. Ia menghantar mesej bahawa mereka mahu  Kelantan kekal berada dalam keadaan seperti puluhan tahun silam ketika negeri lain semakin jauh ke depan.

Nostalgik kata mereka.

"Kelik Kelate, tengok balik tempat menunggu bas zaman sekolah yang dah 20 tahun tapi masih tak berubah, menggamit memori," kata seorang rakan lama. "Biarlah  Kelantan  kekal  seperti adanya saja. Cuma bas SKMK (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan) dan kereta sewa (teksi) dah mula pupus."

Kalau Kelantan  berubah membangun, nilai nostalgia dah hilang bagi mereka. Untuk cari makan, mereka merantau. Untuk bernostalgia mereka kembali ke Kelantan dan mengundi PAS agar parti itu kekal menjadi kerajaan.

Bagi pelancong pula, ada yang suka berada di Kelantan kerana ianya laid-back dan seperti berada pada  dekad 1980-an dahulu.

Seorang hamba Allah mencatat kes kebakaran di Berek 12 yang viral baru-baru ini:  "Kebakaran yang berlaku di depan rumah pada pukul 9.45 pagi, mulanya hanya sebuah rumah akhirnya merebak ke kawasan sekitar. Aku call bomba dan mereka tiba dalam 15 minit.

"Hatiku berbisik:  macam mana bomba nak padam api dengan ketiadaan air di kawasan Berek 12 ni. Akhirnya betul tekaan aku, air memang tak ada. Paip bomba pun tak ada air. Bomba terpaksa bawa lori air untuk padam kebakaran.

"Begitulah kami ini rakyat Kelantan. Rumah aku sendiri dah sebelas  hari tak ada air. Akhirnya terpaksa buat paip sendiri upah kontraktor untuk buat paip baru. Sebab saluran paip lama dah tak boleh guna. Semua ini kerja Air Kelantan Official tapi begitulah rakyat ini tidak diendahkan. Complaint  macam mana pun mereka hanya akan jawab tak ada air."

Mantan profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Agus Yusoff mencatatkan:  "Setiap kali raya, tiga perkara inilah yang menjadi topik perbincangan utama: air, sampah dan jalan. Teruk sangatkah tiga masalah di atas? Jawapannya amat teruk. Huraiannya panjang, tetapi biarlah saya noktahkan setakat itu dahulu.

"Mengapa tidak boleh selesai sedangkan PAS sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat? Dua faktornya. Pertama, kepemimpinan kerajaan negeri lemah dan tidak ada idea. Kedua, pemimpin kerajaan tidak ada keazaman politik untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Mereka hanya suka berceramah, berpolitik dan ada ketikanya membodohkan rakyat dengan projek mempolitikkan Islamnya, bukan mengislamkan politik."

Agus juga menggariskan beberapa masalah yang melanda Kelantan.  

"Paling besar ialah pembalakan, pengurusan hutan, penyalahgunaan kuasa, dan kelemahan governans. Umno, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), Amanah, Save Kelantan, dan PKR telah banyak bersyarah tentang hal ini. Tetapi masih ramai rakyat Kelantan yang setia pada kerajaan PAS.

"Tiga sebab. Pertama, tertarik dengan retorik agama PAS. Kedua, pemimpin PAS kawasan pandai menjaga penyokongnya. Ketiga, pasukan pembangkang tidak bersatu."

Pandangan Agus disanggah oleh beberapa rakan di Kelantan.

"Dia tak faham pimpinan ulama," kata mereka. Justeru jangan difitnah kerajaan Islam.

Islam, Melayu dan lebai di Kelantan lain macam sikit. Perbezaan pendapat adalah permusuhan. Fikiran yang bertentangan boleh dianggap perseteruan peribadi.

Betul, bukan semua orang Kelantan berperangai demikian. Malah, lebih ramai yang melihat tradisi lebai adalah jelmaan orang politik yang menghalalkan cara.

Ketika pemimpin negeri menayangkan deretan Mercedes dan rumah agam, rakyat Kelantan masih bernostalgia tentang tradisi wayang kulit, menora dan dikir barat. Perantau pulang beraya, adakah tradisi yang mahu dilihat atau kehidupan kekeluargaan yang lebih?

Orang Kelantan perlu berfikir. Jangan biarkan lebai berfikir untuk mereka. Ini fikrah manusia! Inilah fadilat Syawal yang sepatutnya untuk kita berfikir!

IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan