Perlu berani, lantang beri idea dalam Majlis Presiden, Mahfuz beritahu Rafizi

 


PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah berharap Rafizi Ramli yang menang jawatan timbalan presiden PKR berani berhujah dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), termasuk dalam isu pendekatan “khemah besar”.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, bekas ahli Parlimen Pandan itu sememangnya diketahui menolak pendekatan “khemah besar” yang mahu menggabungkan kalangan parti pembangkang, namun perkara itu perlu menjadi dasar PKR.

“Pada hari ini, tiada perubahan dasar PKR dalam memperkukuhkan PH dan PKR sendiri setuju untuk jalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kerajaan yang ada ketika ini dapat dikalahkan.

“Soal kebebasan atau kelantangan Rafizi, itu hak dia dan pihak dalam PH perlu ada keberanian menghujahkan idea. Paling penting kena duduk berunding, berbincang dalam Majlis Presiden bagi memastikan hala tuju (PH) jelas,” katanya .

Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mengulangi pendirian supaya pendekatan “khemah besar” PH diperkasakan di sebalik kedudukan PKR yang bakal menyaksikan rombakan kepimpinan susulan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Jelasnya, Amanah akan terus menjalin kerjasama dengan PKR dan berharap kepemimpinan baharunya dapat memperkukuhkan PH sekali gus membawa semula gabungan itu ke Putrajaya.

“Kita tidak boleh tunggu (lebih lama) lagi untuk ke Putrajaya… kena sasar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk kembali ke Putrajaya,” katanya.

Istilah “khemah besar” digunakan untuk menggambarkan keutamaan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam menyatukan semua parti pembangkang untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Namun Rafizi pada April menentang cadangan itu dengan berkata, Langkah Sheraton pada Mac 2020 menunjukkan gabungan itu boleh dikhianati oleh parti komponennya sendiri seperti yang dilakukan oleh Bersatu.

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu berkata, dengan Rafizi menjadi orang nombor dua dalam PKR, diharapkan hubungannya dengan parti komponen dalam PH akan dapat dirapatkan.

Katanya, semangat dan idea lantang yang dibawa oleh Rafizi mampu mengukuhkan kembali gabungan itu selepas dilihat “kaku” dan lemah sejak beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang lepas.

“Saya percaya Rafizi sentiasa mementingkan peranan PH dalam perjuangan politik demi reformasi. (Demi) kepentingan rakyat dia akan menjalinkan hubungan yang lebih rapat daripada dulu dengan DAP dan Amanah selepas dipilih sebagai orang nombor dua dalam PKR.

“PH sekarang dalam keadaan dan kedudukan yang agak lemah selepas mengalami kekalahan pada PRN. PH perlu pemimpin yang penuh semangat dan idea seperti Rafizi,” katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan