Ubah Reka Bentuk Kapal LCS Dan 10 Surat Panglima TLDM Tak Dilayan - Kenapa Najib Tidak Pernah Mengulas Isu Ini ?


Oleh Shahbudin Husin

Kalau kita lihat ulasan-ulasan Najib Razak di laman FB beliau sejak isu kapal perang LCS yang tidak siap ini meletus menjadi isu besar dalam negara, hampir semua aspek digebangnya.

Tujuannya tidak lain ialah untuk menunjukkan beliau sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan ketika itu dan Zahid Hamidi yang kini Presiden UMNO selaku Menteri Pertahanan di ketika kontrak LCS ditandatangani pada 2011 tidak terkait dan boleh disisihkan daripada skandal tersebut.

Terbaru, sebagai satu lagi usaha ke arah itu, Najib turut memuatkan sejarah pengkorporatan Limbungan TLDM pada 1991 ketika era Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang mana daripada situlah didakwanya bermula masalah hutang menimpa BNS, syarikat yang diberi kontrak membekalkan kapal pegang LCS.

Selain itu, hampir semua kritikan atau pendedahan pelbagai pihak berkaitan kegagalan projek LCS juga akan segera dijawab dan disanggahnya.

Ternampak hebat dan serba tahu Najib nampaknya, walaupun ketika di mahkamah banyak jawapan tidak tahu telah diberikannya.

Iyalah…di mahkamah dia sendiri kena hadir, tetapi di FB ramai admin yang membantunya.

Tetapi, dalam hebat dan gebang kencang itu, jika diperhati dengan teliti, ada dua isu yang sehingga sekarang Najib tidak pernah menyentuhnya sama sekali.

Pertama, berkenaan perubahan reka bentuk kapal LCS daripada jenis Sigma kepada Gowind, sedangkan di sinilah masalah banyak bermula.

Perubahan rekabentuk itu dicatatkan berlaku hanya dua bulan setelah sebelum itu Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan bersetuju dengan reka bentuk Sigma.

Perubahan kepada Gowind adalah atas cadangan BNS bersama DCNS iaitu syarikat yang pernah membekalkan kapal selam Scorpene ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Yang dipertikaikan ialah bagaimana Zahid Hamidi boleh bersetuju dengan cadangan menukar reka bentuk LCS daripada Sigma kepada Gowind oleh BNS dan DCNS, walhal dua bulan sebelum itu telah bersetuju dengan reka bentuk Sigma?

Bila reka bentuk ditukar, ia bermakna fungsinya juga turut berubah daripada kapal tempur kepada kapal peronda yang sekaligus bermakna kosnya tentulah tidak lagi sama.

Contoh mudah, masa kontrak ditandatangani, kereta yang nak dibeli ialah Ford Ranger Raptor 4 x 4, tetapi apabila projek sudah diluluskan, yang nak dibeli ditukar kepada Proton X70 dengan kos harga yang sama.

Jadi, dalam hal ini bagaimana Najib selaku Menteri Kewangan boleh meluluskan pertukaran rekabentuk itu?

Apakah Najib tidak meneliti dengan mendalam perubahan itu atau adakah oleh kerana Zahid Hamidi yang menjadi Menteri Pertahanan ketika itu adalah bekas Setiausaha Politiknya sebelum ini, maka ia dipersetujui begitu saja?

Kedua, tentang 10 surat bantahan atau teguran yang dihantar oleh bekas Panglima TLDM, Dr Abdul Aziz Jaafar berkenaan LCS tapi langsung tidak dilayan atau dibalas.

Memetik kenyataan Abdul Aziz kepada media, beliau dilaporkan telah menghantar sekurang-kurangnya 10 surat teguran dan rasa tidak puas hati serta pendirian TLDM berhubung tatacara perolehan projek LCS.

Surat rasmi berkenaan dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan juga Perdana Menteri.

Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kenapa Najib hanya berdiam diri dan tidak memberi sebarang respon kepada 10 surat tersebut?

Kalau satu surat, mungkin boleh diterima jika alasannya tidak perasan, tetapi bagaimana jika sampai 10 surat yang dibantar?

Sebagai Perdana Menteri, kenapa tidak merujuk kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan untuk memberi respon, lagi pun yang menghantar surat itu bukan calang-calang orang, tetapi seorang Panglima TLDM yang bergelar Tan Sri?

Sekarang ini, terlanjur Najib tengah banyak gebang kencang, apa kata beliau secara sendirian atau bersama Zahid Hamidi memberi jawapan kepada dua hal berkenaan?

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan