UMNO tutup buku sebab Pas khianat


KUALA LUMPUR: Ketika Pas mengulangi pendirian untuk meneruskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN), UMNO bagaimanapun tidak mempedulikan usaha tersebut kerana Pas secara jelas didakwa telah mengkhianati parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Mohamed Nordin berkata, pengkhianatan itu berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sekali gus menunjukkan Pas tidak ikhlas untuk bersama UMNO.

Berikutan itu, katanya, beliau tidak peduli sebarang usaha Pas mahupun sebarang kenyataan yang dikeluarkan untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Hak dia (Pas) nak cakap apa pun dalam muktamarnya. Dia lupa dia khianat UMNO bila janji tak masuk Perikatan Nasional (PN) tapi dia sama-sama tubuhkan PN dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Dia tunjuk tak ikhlas bila tolak tawaran UMNO di beberapa kerusi di Melaka kerana percaya BN akan kalah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu bergerak ke depan kerana Pas hanya menawarkan kerjasama politik disifatkan ‘dangkal’ dalam MN.

Ahmad Zahid berkata, kestabilan, keyakinan dan kerjasama dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi Pas menjalinkan hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.

Namun Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, meski­pun dianggap ‘makan dua kolam’, parti itu tetap mahu bersama UMNO dan Bersatu demi agenda penyatuan ummah.
Katanya, jika berlaku perpecahan undi Melayu, keada­an sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berulang.

“Walau dicerca dan diperli dengan pelbagai kata-kata negatif, Pas tetap dengan keputusan memilih UMNO serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa berhasrat me­ninggalkan salah satu daripada parti tersebut,’’ katanya.

Naratif

Katanya, sehingga kini Pas tetap dengan naratif tersebut dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilai­an.

“Pada masa ini kita tidak bercakap tentang masa depan saya, anda atau pimpinan parti yang ada di sini tetapi bercakap tentang masa depan politik anak cucu pada masa akan datang.

“Kalau cakap tentang pere­butan kuasa dan jawatan, maka apa akan terjadi kepada anak cucu kita di masa akan datang? Kami pilih kedua-duanya dan setakat ini itulah naratif serta keputusan yang ada,’’ katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pula berkata, semua keputusan rasmi oleh UMNO diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bukannya keputusan peribadi Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti yang didakwa pemimpin Pas.

“Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pernah membuat keputusan bersendirian dan ini saya boleh sahkan,’’ katanya.

Menurutnya, sebelum sebarang keputusan dan kenyataan berkaitan parti dibuat, Ahmad Zahid akan bertemu dengan Perdana Menteri, diikuti de­ngan pertemuan lima pimpinan tertinggi parti sebelum dibawa ke mesyuarat Biro Politik sete­rusnya ke MKT UMNO.

“Itu amalannya, jadi bagaimana dikatakan kalau beliau (Ahmad Zahid) sebut itu (kenyataan berkaitan parti) sebagai pendirian beliau seorang,” katanya. – UTUSAN

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan