Jangan percaya pakatan sulit Anwar, Zahid Hamidi tidak mungkin berlaku


Oleh 

Ketika ini ramai yang berbicara, bahkan seolah-olah mula percaya bahawa wujud pakatan sulit antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Zahid Hamidi.

Yang membawa cerita berkata, pakatan itu ialah untuk kelangsungan masa depan PH dan BN dengan cara membentuk kerajaan campuran melibatkan kedua-dua gabungan selepas PRU15 akan datang.

Kononnya, jika PH tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, maka BN akan mencukupkannya.

Begitu juga sebaliknya, jika BN tidak cukup kerusi, maka PH akan tampil menjadikannya cukup.

Sebab itu, kata mereka, baik Anwar atau Zahid Hamidi, walaupun secara zahir kedua-duanya selalu melahirkan keyakinan untuk membentuk kerajaan secara sendrian melalui kemenangan, tetapi tidak ternampak mereka pernah menunjukkan kebimbangan jika berlaku kekalahan.

Pokoknya, tambah mereka, menang atau kalah, PH dan BN tetap menjadi kerajaan melalui pakatan sulit itu.

Menyedapkan lagi cerita, mereka mendakwa, Anwar dan Zahid Hamidi juga sebenarnya sudah beberapa kali bertemu bagi membincangkan perkara tersebut.

Benarkah pakatan sulit itu wujud dan kerajaan PH/BN boleh terbentuk?

Kalau kita lihat beberapa kenyataan Anwar, keyakinan beliau ialah PH mampu membentuk kerajaan secara sendirian tanpa bergabung dengan BN atau PN.

Terbaru sekali, keyakinan Anwar ialah PH mampu menang sekurang-kurangnya 100 kerusi Parlimen.

Pihak yang mungkin dirundingi untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 hanyalah parti daripada Sabah dan Sarawak sebagai lambang bahawa kerajaan yang menang nanti adalah mewakili Malaysia secara keseluruhannya.

Lagi pun, demi kepentingan Sabah dan Sarawak itu sendiri, parti domestik di kedua-dua negeri itu biasanya akan bersama dengan siapa saja gabungan di Semenanjung yang berjaya membentuk kerajaan.

Tidak pernah terselit waima walau sekali tentang keinginan Anwar untuk mendapatkan bantuan Zahid Hamidi bagi PH membentuk kerajaan.

Tambahan lagi di dalam PH, jika pun Anwar cuba digambarkan mahu bekerjasama dengan BN, terutama kerana hubungan cikgu dan murid antara beliau dengan Zahid Hamidi, jangan lupa bahawa ada DAP dan Amanah yang pasti menentangnya berdasarkan serangan mereka sejak sekian lama bahawa Umno adalah parti kleptokrat, penyamun dan banyak mencuri duit rakyat.

Begitu juga di pihak BN, keinginan Zahid Hamidi dan lain-lain pimpinannya ialah untuk membentuk kerajaan sendiri atas nama BN tanpa sokongan parti lain.

Dengan keyakinan GPS di Sarawak akan bersama mereka, begitu juga GRS di Sabah, sasaran BN ialah memenangi antara 85 hingga 100 kerusi Parlimen di Semenanjung bagi memungkinkan sebuah kerajaan atas nama BN dapat diwujudkan.

Sama seperti PH yang ada DAP dan Amanah sebagai penghalang, kalau pun BN ingin bekerjasama dengan PH, halangan terbesar Umno ialah kerana ada DAP di dalam gabungan tersebut.

Mana mungkin Umno sedia duduk sekelambu dengan PH yang ada DAP bersamanya.

Dengan itu, cerita-cerita kerjasama dan wujudnya pakatan itu sama sekali tidak logik dan tak masuk akal.

Ia tidak lebih merupakan mainan “psywar” pihak ketiga yang berharap dapat mengaut laba jika akhirnya pengundi menolak PH dan BN melalui gambaran wujudnya pakatan sulit membentuk kerajaan antara kedua-dua gabungan itu kerana yakin pengundi akan menolak kerjasama tersebut.

Terakhir sekali, yang paling berkuasa untuk menentukan sama ada kerjasama PH dengan BN itu boleh menjadi kenyataan atau sebaliknya adalah terletak di tangan pengundi pada 19 November nanti.

Mereka boleh menghalang, andainya tidak setuju dan tidak mahu wujud kerjasama PH dan BN itu dengan cara tidak membenarkan PH atau BN memiliki tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Pastikan, baik PH atau BN, memperolehi cukup 112 kerusi atau lagi baik jika lebih daripada itu secara sendirian agar mereka boleh membentuk kerajaan tanpa perlu bantuan atau bekerjasama dengan pihak lain.

Salah satu caranya ialah dengan pengundi mesti keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka, selain petugas parti masing-masing hendaklah bekerja lebih gigih mulai sekarang, kurangkan tidur dan buangkan jauh-jauh sifat malas dengan wajib memastikan peratusan keluar mengundi sebaiknya melebihi 82 peratus.

Jika itu dapat dilakukan, yakinlah, kerajaan yang terbentuk nanti pasti sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan tidak berdiri atas sokongan parti lain, tidak kira sama ada ianya PH atau BN.

Gabungan selain PH dan BN, rasa-rasanya, tiada harapan langsung untuk membentuk kerajaan kali ini dan dengan itu, jangan sesekali bazirkan undi anda.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan