Rupanya Tun M Punya Saham Juga Dalam Jatuhnya Kerajaan PH


Oleh Hayar Hassan

Ceramah Timbalan Presiden PKR, Saudara Rafizi Ramli akhir-akhir ini cukup menarik perhatian ramai. Dengan mengambil kira keadaan politik semasa Malaysia dan episod-episod awal penubuhan Kerajaan PH selepas PRU 14, hujah serta naratif beliau sukar untuk dinafikan. Walaupun awalnya ianya dilihat sebagai satu andaian, akhirnya menjadi seperti suatu realiti juga !

Setelah PH memenangi PRU 14, semua orang terkejut gembira. Semua pimpinan utama parti-parti dalam gabungan PH yang tidak punya pengalaman memimpin Kerajaan Pusat dilihat memberikan kepercayaan secara total kepada Tun M untuk membentuk Kabinet Kerajaan PH tanpa rundingan yang serious dan rapi. Katanya semua keputusan Majlis Presiden PH akan dibuat secara konsensus. Tetapi seakan-akan tidak seperti itu sewaktu Tun M telah menjadi Perdana Menteri ke 7! Waktu itu sosok yang mempunyai banyak pengalaman berkaitan pentadbiran negara dan dapat memahami sepak terajang serta kelicikan Tun M adalah DSAI.

Malang sekali, beliau masih berada dalam Penjara Sungai Buloh. Jadinya Tun M mempunyai peluang terbuka luas @ free hand untuk menubuhkan dan mencorakkan kabinet tanpa mendapat konsensus daripada Majlis Presiden PH ! Dato’ Seri Wan Azizah (DSWA), Haji Muhamad Sabu, Saudara Lim Guan Eng dan yang lain-lain sepertinya tergamam dan penuh gembira apabila Tun M melantik mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan. Itulah kata orang tua-tua, pengalaman-pengalaman itu amat berharga supaya kita tidak alpa, terpedaya dan khilaf dalam membuat keputusan dan langkah seterusnya.

Ramai orang tidak dapat memahami apa motif sebenar Tun M dalam langkah pertamanya melantik Saudara P Waytha Moorthy, pemimpin HINDRAF sebagai Menteri Perpaduan. Beliau bukannya Ahli Parlimen dan tidak mempunyai parti yang bergabung dalam PH. HINDRAF rasanya hanyalah sekadar sebuah NGO yang sukar diterima kewujudannya oleh orang-orang Melayu Islam ! Ramai berpendapat tiada keperluan atas perlantikannya sebagai menteri dalam kabinet PH ketika itu. Ianya umpama sengaja menanam benih bibit-bibit keresahan masyarakat Melayu kepada Kerajaan PH.

Katanya, P Waytha Moorthylah sosok yang kuat memperjuangkan ratifikasi Statut Roma dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum ( ICERD) yang cukup sensitif kepada masyarakat Melayu. Pihak pembangkang waktu itu menyatakan bahawa isu ini membuktikan bahawa PH bersikap anti Islam dan anti Melayu! Akhirnya Kerajaan PH tidak pun meratifikasinya.

Realitinya, semasa merayakan Deepavali baru-baru ini P Waytha Moorthy telah menyatakan bahawa dia sekarang ini menyokong BN. Isu Statut Roma dan ICERD ini sebenarnya bukanlah agenda Kerajaan PH, tetapi PH telah terfitnah ! Seterusnya, langkah kontroversi kedua Tun M adalah melantik Saudara Tomy Thomas, seorang peguam terkenal sebagai Peguam Negara tanpa terlebih dahulu berunding dan mendapatkan persetujuan Majlis Presiden PH. Apabila pendakwaan-pendakwaan dibuat ke atas ramai pimpinan UMNO seperti DSNR, DSZH, DS Aziz Rahim, DS Tengku Adnan, DS Mazlan dan lain-lain lagi, pimpinan atasan UMNO mula menggerakkan peperangan siber untuk menggugat Kerajaan PH.

Mereka mendakwa bahawa pertuduhan-pertuduhan ke atas pimpinan utama UMNO adalah bersifat pendakwaan terpilih. Mereka lupa bahawa penyiasatan adalah dijalankan oleh SPRM dan PDRM, bukannya aktivis-aktivis PH.

Peguam Negara hanya akan bersetuju untuk membuat pendakwaan selepas melihat fakta-fakta kes dan mempunyai bukti-bukti yang melampaui sebarang keraguan. Kata orang, mesti ada bukti-bukti kukuh@prima fasie. Adalah amat tidak beretika dan berbaloi seandainya sebarang pendakwaan itu gagal untuk mendapatkan sabitan di mahkamah. Imej Peguam Negara serta pegawai- pegawainya akan tercemar dan dipandang rendah oleh rakyat kalau kebanyakan kes-kes yang dibawa menemui kegagalan sabitan di mahkamah.

Ketiga, pada awal Tun M menjadi Perdana Menteri ke 7, kalau kita masih ingat, beliau telah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai oleh tokoh- tokoh negara seperti Tun Daim Zainuddin, orang kepercayaan Tun M, Tan Sri Kouk, tokoh korporat yang menetap di Hong Kong, Dr Jomo Sundram, pakar ekonomi dan lain-lain lagi. Katanya, ini adalah bertujuan untuk memperbaiki kerosakan pentadbiran dan ekonomi negara yang telah ditinggalkan oleh Kerajaan BN. Adalah juga dipercayai bahawa penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan ini tidak dibincangkan dengan Majlis Presiden PH.

Ini seolah-olah menafikan kemampuan dan keupayaan menteri-menteri dalam Kabinet PH untuk mentadbir Negara ! Secara halus menteri-menteri PH telah diremehkan oleh Tun M.

Perkara ke 4 yang telah dibuat oleh Tun M tanpa berbincang dengan pimpinan PH adalah mempelawa, menawarkan dan membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO memasuki PBBM(BERSATU). Ini adalah bertujuan untuk menambah bilangan Ahli-Ahli Parlimen BERSATU daripada 11 menjadi 35. Matlamatnya adalah untuk mengimbangi bilangan Ahli-Ahli Parlimen PKR dan DAP dalam PH.

Tun M seolah-olah memang menggalakkan budaya lompat parti!

Menurut Saudara Rafizi Ramli, 4 keputusan dan tindakan di atas adalah tidak dibincangkan dan dipersetujui dalam Majlis Presiden PH. YB Nurul Izzah dan Saudara Rafizi Ramli telah mula mempertikaikan tindakan-tindakan Tun M. Namun apakan daya, kecurigaan mereka berdua ini tidak dirasai dan disambut baik oleh tokoh-tokoh lain dalam PH.

Akhirnya YB Nurul Izah dan Rafizi Ramli seperti mendiamkan diri dan tidak aktif dalam berpolitik. Rafizi Ramli kembali aktif dalam perniagaannya sehinggalah peristiwa Langkah Sheraton terjadi pada bulan Februari 2020.

Memang benar, kejatuhan Kerajaan PH adalah kerana pengkhianatan oleh Ahli- Ahli Parlimen PH sendiri. Namun demikian, kini semakin jelas lagi bahawa Tun M sendiri juga tidak mahu DSAI diangkat menjadi Perdana Menteri. Kalau tidak apa perlunya, Tun M telah dengan mudah sekali tanpa berunding dengan Majlis Presiden dan pimpinan PH meletak jawatan sebagai PM ke 7. Di sinilah keikhlasan Tun M banyak dipertikaikan oleh ramai orang terutama para penyokong PH. Tun M acapkali membelakangkan Majlis Presiden PH dalam membuat beberapa keputusan penting.

Tun M juga seringkali dilihat untuk tidak berusaha bersungguh-sungguh bagi menunaikan semua janji-janji Manifesto PH PRU 14.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekarang ini banyak pimpinan PKR lebih berhati-hati dengan sebarang pelawaan kerjasama dengan Tun M. Mereka tidak mahu terjerlus masuk ke dalam lubang biawak untuk kali ke 2.

Sekarang ini selepas penjelasan-penjelasan yang telah diberikan oleh Saudara Rafizi Ramli, adalah lebih mudah untuk menangkis serangan-serangan seteru PH dalam PRU 15 ini. Pimpinan PH yang ada sekarang ini tidak terlibat dengan isu-isu sensitif seperti ICERD , Statut Roma, pendakwaan terpilih dan lain-lain lagi. Isu- isu sensitif itu tidak lagi menjadi beban dan liabiliti pemimpin PH yang ada sekarang.

Semoga semua pengundi-pengundi dalam PRU 15 ini , khususnya orang-orang Melayu dan Islam akan dapat merenung dan menilai duduk perkara sebenar semua isu yang diutarakan dengan penuh bijaksana sebelum memberikan undi- undi mereka. Mengundi berdasarkan perasaan marah serta emosi adalah tidak dituntut oleh Islam.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan