Ada lagi restoran makanan segera bakal perkenal Menu Rahmah


KANGAR - Beberapa restoran makanan segera menyatakan minat untuk turut sama mengambil bahagian dalam inisiatif yang menawarkan Menu Rahmah bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, selepas dua minggu program itu dilancarkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga menarik minat beberapa syarikat gergasi untuk terlibat sama.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar.

Salahuddin berkata, beberapa syarikat besar restoran makanan segera antarabangsa akan memberi kata putus berhubung inisiatif itu pada minggu hadapan.

"Mereka bercadang untuk memperkenalkan burger sebagai Menu Rahmah kerana ia lebih mudah untuk pelanggan khususnya bagi golongan muda,” katanya.

Burger King menjadi restoran makanan segera pertama yang menyahut inisiatif kerajaan dalam menyediakan menu makanan pada harga sederhana melalui pelaksanaan program Menu Rahmah dengan menawarkan burger ayam atau daging, berserta sayur dan sebotol air mineral.

Selain sektor makanan, Salahuddin berkata, beberapa pemain industri antaranya tekstil dan perubatan turut menyatakan minat untuk menyertai program berkonsepkan Rahmah.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan