MUDA sambut baik jemputan Anwar sertai Sekretariat Kerajaan Perpaduan


KUALA LUMPUR:
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada parti itu untuk menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
 
Beliau berkata bagaimanapun setakat ini, belum ada sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut.

"Saya ambil jawapan Datuk Seri Anwar secara positif, akan ada perbincangan dan kita cuba selesaikan dan uruskan (perkara ini) sebaik mungkin khususnya bagi memastikan rakyat diberikan keutamaan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini. 
 
Anwar sebelum ini berkata MUDA dan parti lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan dijemput menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan dalam mesyuarat pertama sekretariat itu pada 7 Feb lepas.
Dilaporkan MUDA menyuarakan rasa terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat itu.
 
Setiausaha Agung MUDA Amir Abd Hadi berkata parti itu tidak menerima sebarang jemputan termasuk melalui surat, mesej atau e-mel.
 
Pada mesyuarat yang diadakan di Menara Dato' Onn itu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi Plilhan Raya Negeri.
Dua lagi ialah Jawatankuasa Strategi serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
-- BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan