Tak banyak Annuar boleh tawarkan kepada PN, kata penganalisis

 


PETALING JAYA: Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa tidak dapat memberikan banyak tawaran kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding bekas rakannya dalam parti, Shahidan Kassim, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, PN perlu memikat bekas pemimpin Umno berpengaruh “besar” yang dapat membantu gabungan itu memenangi lebih banyak undi Melayu di peringkat nasional, sesuatu yang menurutnya tidak ada pada Annuar.

Beliau memberitahu FMT, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu hanya berupaya menarik penyokong Umno di Kelantan untuk menyokong PAS, yang menguasai negeri itu lebih tiga dekad.

Katanya, apa yang PN dan PAS perlukan adalah bekas pemimpin Umno berpengaruh dari pantai barat untuk membantu mereka meluaskan asas sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, yang tidak dapat dilakukan Annuar.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, pengaruh Annuar di Kelantan lebih lemah berbanding pengaruh Shahidan di Perlis yang disifatkannya “institusi politik” di negeri utara itu.

Shahidan menyertai PN selepas dipecat Umno tahun lepas. Beliau dipuji kerana membantu PN merampas Perlis daripada Barisan Nasional (BN) buat julung kali.

Tunku Mohar berkata, PN sedang bekerja keras memikat bekas pemimpin Umno menyertai gabungan itu untuk menjadi “parti de facto orang Melayu”.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan Annuar dalam PAS lebih menguntungkan bekas menteri itu berbanding parti Islam berkenaan.

Sabtu lalu, Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, penyertaan Annuar dalam PAS sangat dialu-alukan kerana beberapa ahli politik lain juga akan menyertai parti itu.

Katanya, tokoh politik berpengalaman seperti Annuar boleh memainkan peranan untuk membantu mengukuhkan PAS.

Februari lalu, Annuar berkata, beliau “serius mempertimbangkan” untuk menyertai parti politik baharu yang sepadan dengan nilai politiknya, iaitu “melindungi Islam, orang Melayu dan negara”.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan