PRU14: Pas hilang peluang jadi parti paling berpengaruh

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN 

Tidak mudah untuk membaca gerak politik pasca PRU13. Menggariskan unjuran berdasarkan keputusan pilihan raya empat tahun lalu mungkin agak mengelirukan. Banyak faktor, termasuk pemain utamanya sudah berubah.

Anwar Ibrahim dipenjarakan semula sejak dua tahun lalu. Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat sudah tiada lagi. Pas turut tidak menjadi komponen penting gabungan baru pembangkang, Pakatan Harapan.


Namun, ia diimbangi dengan pembabitan proaktif Dr Mahathir Mohamad dan kemunculan parti Bersatu, pecahan daripada Umno. AMANAH, satu lagi parti Islam, cuba mengisi kekosongan Pas, dengan pendekatan inklusif dan progresif.

Begitulah selalu yang terjadi. Situasi selepas sesuatu pilihan raya seringkali sukar untuk diramal. BN mencatatkan kejayaan gemilang pada 1995. Siapa sangka pilihan raya berikutnya, pada 1999, isu mata lebam Anwar melonjakkan prestasi pembangkang Melayu walaupun Semangat 46 sudah berkubur. Pembangkang buat kali pertama, termasuk Pas dan DAP -- parti berbeda kutub -- dapat bersemuka dan menjalin kerjasama formal dalam PRU10.

Tahun 2004, Barisan Alternatif goyah tanpa DAP dan Abdullah Ahmad Badawi membawa BN ke puncak. Lebih 90 peratus kerusi Parlimen dikuasai. Terengganu diambil balik daripada Pas. Kelantan yang dikuasai parti Islam itu sejak 1990 hampir tumbang, hanya dibedakan satu kerusi. Tiada petunjuk pilihan raya 2008 akan berlaku kejutan. Kempen PRU12 nampak hambar dan sukar. Siapa sangka, realitinya, majoriti dua pertiga BN dinafikan. Lima negeri tumbang. Tsunami politik menggemparkan.

Pemerhati dan penganalisis mula menjangkakan kerajaan bertukar dalam PRU13. Bagaimanapun ada kalangan yang lebih berhati-hati. Kata mereka, "momentum mungkin ada, tapi perubahan sebenar akan berlaku dalam PRU14." Ya, peratusan undi Pakatan Rakyat bertambah, melebihi 50 peratus tapi bilangan kerusi belum mencukupi untuk membentuk kerajaan. Tambah mengecewakan, Kedah kembali ditawan BN dan Perak hilang terus.

Pakatan Rakyat bubar. Pas terbelah. Namun Umno tidak juga tambah kuat, malah berada dalam posisi paling teruk dalam sejarahnya. Wibawa perdana menteri tidak pernah seburuk itu. Isterinya menjadi ejekan dan bahan cemuh. Muncul pelbagai istilah yang menjengkelkan. Tambah jelik, reputasi negara di pentas antarabangsa jatuh menjunam.

Rasuah bukan lagi pada skala dulu. Ribuan juta ringgit tidak mengejutkan lagi. Wang hasil tumbuk rusuk dijumpai di mana-mana, di bawah katil, dalam almari, di belakang dinding. Bukan sahaja rumah agam, kondominium lumayan, kereta mewah, kapal pesiar, pesawat mahal, barang kemas berguni. malah jongkong emas bersepah. Perdana menteri menunjuk teladan!

Ia berlaku dalam suasana rakyat terpaksa mengikat perut. Ringgit menjunam. Harga barangan mencanak naik. Kos perkhidmatan meningkat. GST tambah membebankan. Gelisah dan resah rakyat memuncak. Bagai ada cahaya di hujung terowong. Agenda perubahan yang sekian lama tertangguh seperti bakal terlaksana.

Benteng terakhir BN-Najib, yakni pengundi Melayu kampung tradisi dan penempatan Felda, mula robek. Terdedah ada pengkhianatan besar -- atau sekurang-kurangnya urustadbir yang begitu lemah -- dalam pengurusan strategik institusi yang menjadi kebanggaan orang Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Felda.

Ceramah dan rapat politik pembangkang kembali mendapat sambutan memberangsangkan. Rata-rata program penerangan dan pendedahan Pakatan Harapan bersama Bersatu disiarkan secara langsung melalui internet. Dr Mahathir Mohamad, dalam usia 92 tahun, bagai tokoh muda bertenaga luar biasa, masuk keluar kampung, berceramah hingga larut malam, ditemani isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Saya jarang sekali dapat hadir disebabkan sekatan kesihatan dan rutin rawatan. Cukup dengan mengikuti dari jauh, dengan mengikuti live streaming yang sering terganggu tetapi sudah dapat merasai gelora kebangkitan rakyat yang mahu menamatkan era kegelapan ini. Rata-rata khalayak yang terpapar wajah mereka menunjukkan sebahagiannya adalah audien baru pembangkang.

Mereka cuma mengharapkan kebijaksanaan pemimpin untuk mengemudi dan memandu arah, serta mengelak daripada perangkap samar yang mengelirukan. Terbatas dengan khalayak seperti di hospital dan tempat-tempat awam misalnya sewaktu menguruskan bil bulanan serta kaunter perkhidmatan, saya terkesan dengan rasa kecewa yang menular. Tidak dapat lari daripada masalah pendirian semasa Pas, juga kesepaduan semua parti pembangkang merealisasikan impian murni rakyat..

Seorang petugas DBKL bertanya ketika saya melangsaikan denda parkir kereta, November 2016: "Bang, betulkah Pas nak berbaik-baik dengan Najib? Pelik sangat kalau betul macam tu." Saya tanya balik: "Tahu dari mana?" Jawabnya, "Tak susah nak baca bang, tonton berita tv dan baca akhbar pun sudah dapat teka."

Malah seorang sarjana politik terkemuka tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya bila bertemu saya, selepas begitu lama kami tidak berjumpa. "Paling kecewa saya dengan sikap Pas, seolah-olah beri tongkat kepada Najib, dan mengendurkan marah orang Islam kepada perasuah besar itu," pantas sekali dia berbicara sebaik bertanya khabar.

"Cuba Lutfi bayangkan, kalau Pas seperti dulu, apa nasib Najib sekarang? Walaupun Umno pecah, tapi dia ada sikit rasa selesa sebab Pas seperti berada bersamanya."

"Tapi prof, Pas sentiasa menafikan dakwaan itu. Fitnah semuanya. Tak ada kerjasama, tak ada persefahaman dengan Umno, cuma pendekatan sahaja berbeda ... politik matang dan sejahtera," saya cuba mengumpannya agar lebih selesa bersembang.

"Memang tak perlu buat secara rasmi. Politik ini, orang dapat baca dan tafsir. Dan saya rasa tak semua pimpinan Pas selesa dengan gaya sekarang. Mereka dalam dilema dan tidak cukup kuat untuk bantah. Nanti kena label pula seperti geng Erdogan dulu. Jebonlah. Parasitlah.

"Saya sendiri duduk dalam beberapa jawatankuasa, ada yang dipengerusikan TPM dan menteri, rimas melihat gelagat wakil Pas yang ada bersama," kata sarjana politik itu lagi. "Saya cukup sesak nafas bila Pas juga terpengaruh dengan mainan sentimen Melayu-Cina ini, cukuplah ..."

"Lagi satu, memang benar Pas bawa prinsip Islam. tapi nampak sangat dia mahu parti pembangkang lain ikut dia saja. Pas mahu jadi ketua. Betul, dia paling tua, paling lama, paling diuji, tapi bukan itu caranya untuk berpakat," sambungnya sambil berceloteh panjang. Saya tahu rakan saya ini dalam mood marah, jadi saya biarkan saja dia mengomel, sekurang-kurangnya dapat meredakan keresahannya.

Malah bagi saya, Pas kehilangan peluang untuk menempati kedudukan parti pembangkang paling berpengaruh dan terkuat kerana kesilapan sendiri walaupun segala ramuan dan rencah sudah ada padanya. Hal ini akan saya jelaskan kemudian, dalam tulisan berikutnya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan