Oleh Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Pemimpin
parti politik tertentu sensitif apabila saya menyebut bahawa jangan
fikir keindahan Islam itu hanyalah apabila dipotong tangan pencuri,
direjam dengan batu penzina, dipancung orang yang dituduh murtad. Semua
hukuman itu memerlukan suasana, syarat dan ijtihad yang lebih luas.
Nabi
s.a.w dalam sirah baginda mendahului kebaikan rakyat sebelum hukuman.
Jangan hanya nanti sibuk hendak memotong tangan pencuri basikal tetapi
membisu pabila orang yang mencuri berjuta-juta harta awam.
Keindahan
Islam itu lahir dari keindahan akhlak, kebajikan rakyat, urus tadbir
yang baik, menjaga kebersihan, menjaga alam sekitar, menjaga hak rakyat,
hak kanak-kanak, hak wanita dan segala macam lagi.
Nas-nas
agama dalam hal-hal itu jauh lebih banyak dan diutamakan dibandingkan
sebahagian hukum yang cuba dibawa oleh mereka. Dunia Islam hari ini
dipandang hina bukan kerana pencuri tidak dipotong tangan, penzina tidak
direjam atau tidak dipancung orang murtad.
Dunia maju yang
bermatian pelarian muslim lari kepada mereka bukan kerana mereka
menjalankan undang-undang tersebut. Sebaliknya kerana mereka menjalankan
urus tadbir yang baik. Negara mereka indah sebab mereka tidak 'menebang
balak' sesuka hati.
Amanah harta pemimpin mereka jauh lebih
baik dari kebanyakan negara umat Islam. Rakyat mereka hidup dengan
banyak hak dan kebajikan dijaga. Sejak bertahun lamanya saya telah
memberikan pandangan yang sama. Bukan baru.
Dukacitanya, dalam
dunia umat Islam ada golongan yang tidak dapat melihat Islam melainkan
asyik tertumpu kepada isu hudud. Seakan itulah yang hendak ditonjolkan
oleh Nabi s.a.w. Mereka ini sebenarnya menjadikan dunia membenarkan
dakwaan Donald Trump.
Kata pemimpin tertentu parti berkenaan pandangan saya itu mengelirukan dan ada unsur liberal.
Saya ingin beritahu beliau, sebenarnya yang mengelirukan itu ialah
apabila agama dipolitikkan. Ataupun akidah umat dijadikan taruhan
politik.
Tahukah kamu apakah yang mengelirukan itu?
Yang
mengelirukan itu ialah apabila dahulu parti anda mengkafirkan orang
yang berbeza parti sehingga ada yang bercerai berai, tidak makanan
sembelihan, solat dua imam, bahkan sehingga ada yang mati terkorban
kononnya syahid menentang berbeza parti.
Kemudian, hari ini
semuanya sudah berbeza. Padahal parti yang dikafirkan itu tetap sama,
bahkan sebahagian besar pemimpin juga tetap sama.
Yang
mengelirukan ialah apabila parti anda menyebut 'perlembagaan kita adalah
perlembagaan penjajah, kafir dan jahiliah. Kemudian hari ini anda
menyebut kita menjunjung dan menghormati perlembagaan.
Betapa ramai yang telah menjadi korban oleh fatwa dan amanat parti anda itu?!
Yang mengelirukan ialah ketika anda berbaik dengan parti tertentu anda
memberi seribu dalil kelebihan parti-parti tersebut. Kemudian apabila
anda bertelagah anda menjadikan mereka munafik, keluar jamaah Islam mati
jahiliah, musuh Islam dan sebagainya.
Yang mengelirukan itu
ialah apabila ketika anda memenangi beberapa negeri dahulu anda
menyatakan hudud bukan keutamaan. Bahkan anda menyatakan 'selesai
masalah pengangguran dulu baru hudud'. Kemudian anda menyatakan sesat,
liberal ataupun anti-Islam sesiapa yang mengungkapkan hal yang sama.
Anda yang menuduh orang itu dan ini murtad, kemudian anda ingin buat undang-undang murtad?!! Berkepentingan!!!
Jika hendak disenaraikan yang mengelirukan memanglah banyak. Maka,
janganlah mempolitikkan agama yang luhur ini. Ia akan benar-benar
mengelirukan.
Hari ini anda sesatkan orang yang enggan menyokong
usul anda, esok mungkin anda jadikan dia jadi wali Allah pula apabila
'angin politik' anda berubah?!
Itu belum lagi kita bincang
ceramah parti anda yang penuh maki hamun, mengkafirkan, menuduh sesat,
kufur, tanam di kubur kafir, keluar parti keluar jamaah Islam maka
tercabut Islam dan lain-lain.
Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Mufti Negeri Perlis
13 Februari 2017.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan