'Hadapi era keempat gerakan Islam

Oleh Abu Firdaus
Sejarah gerakan Islam boleh dibahagi kepada empat era. Pertama, era tradisional, iaitu dikira dari zaman Rasulullah s.a.w hinggalah mansuhnya Kekhilafahan Usmaniah. Kedua, era moden, iaitu dikira dari penubuhan Republik Turki hinggalah kepada Revolusi Islam di Iran. 

Ketiga, era Islamisme, iaitu dari penubuhan Republik Islam Iran hinggalah kepada tumbangnya kerajaan Mujahidin di Afghanistan. Keempat, iaitu era sekarang ialah pasca-Islamisme, bermula dengan penguasaan Taliban ke atas Afghanistan.
Pembahagian era ini dibuat secara arbitrari bagi memudahkan perbincangan dengan pemahaman terhadap apa yang telah dan sedang berlaku. Ia boleh diubah menurut penelitian sesiapa yang membuat perhatian.

 Umpamanya era pasca-Islamisme ini boleh dikira daripada pelbagai tarikh yang sesuai, tidak semesti semasa kejatuhan Mujahidin di Afghanistan. Ia boleh dikira juga sebagai bermula dari Peristiawa 11 September atau kebangkitan Arab Spring di Tunisia. Namun kejatuhan kerajaan Mujahidin menandakan berakhirnya suatu idealisme yang datang bersama Revolusi Islam Iran dahulu. Begitu juga dengan istilah Islamisme dan pasca-Islamisme. Istilah ini pun boleh dipersoalkan namun untuk permudahkan perbincangan, lebih mudah menggunakan istilah ini. 
Islamisme berbeza daripada Islam. Isme dalam perkataan itu merujukkan Islam sebagai ideologi politik. Ada orang menggunakan istilah political Islam, atau sebelum ini juga dirujuk sebagai fundamentalisme. Mungkin Islamisme lebih tepat, iaitu bila digunakan untuk dibandingkan dengan ideologi politik seperti sosialisme dan kapitalisme.
Era pertama gerakan Islam yang merupakan tawarikh Islam mudah difahami kerana ia merupakan penelitian ilmu sejarah. Tetapi apabila masuk ke era kedua, ia sudah mengambil kira bukan saja sejarah semata-mata tetapi juga geopolitik dan politik kontemporari. Ini kerana ia melibatkan zaman moden yang memiliki pelbagai ilmu sains dan sains sosial, yang muncul seiringan dengan Revolusi Industri, Sains dan Teknologi yang tidak wujud sebelum ini.
Dalam era kedua ini, iaitu setelah kehilangan kekhalifahan, sebahagian besar umat Islam berada dalam penjajahan oleh sebahagian daripada negara-negara Eropah. Bagaimanapun, wilayah teras Kekhalifahan Usmaniah iaitu di Istanbul dan Anatolia berjaya terus merdeka tetapi menjadi sebuah negara sekular Eropah bernama Republik Turki.
Maka gerakan Islam yang utamanya digerakkan oleh pergerakan Khilafat di India dan fahaman Pan-Islamisme anjuran Jamaluddin Al-Afghani. Tiga matlamatnya ialah pembebasan wilayah-wilayah Islam daripada penjajahan, menubuhkan semula kekhalifahan dan memajukan sains dan teknologi dalam dunia Islam supaya dapat bersaing dengan Barat.
Antara pertubuhan-pertubuhan Islam penting dalam era ini ialah Ikhwanul Muslim, Jamaati Islami dan Masyumi. Di Malaya, tertubuhlah Hizbul Muslimin dan kemudiannya PAS.
Tetapi setelah 50 tahun, banyak negara Islam yang merdeka. Ada dua negara yang ditubuhkan atas nama Islam iaitu Republik Islam Pakistan dan Kedirajaan Arab Saudi. Tetapi gerakan Islam ini tidak berjaya menegakkan khalifah, malah tidak mampu untuk bersaing dengan Barat dalam kemajuan sains dan teknologi.
Keadaan ini menuntut kebangkitan baharu dan ia membawa kepada Revolusi Islam dan penubuhan Republik Islam Iran. Dalam era ini jugalah perjuangan Mujahidin Afghanistan dan usaha Sudan untuk menjadi negara Islam. Bagaimanapun usaha-usaha ini tidak menampakkan hasil yang dapat dibanggakan umat Islam.
Paling ketara ialah Afghanistan. Mujahidin berkelahi sesama sendiri dan gagal menubuhkan negara yang stabil walaupun komunis telah tumbang. Akibatnya Taliban ambil kuasa dan gerakan Islam berpecah tiga jalan.
Ini membawa kepada era keempat gerakan Islam. Iaitu pasca-Islamisme. Gerakan Islam berpecah tiga. Pertama, ada yang menjadi ekstrem dan ganas. Inilah jalan yang diambil oleh Al-Qaeda hingga membawa kepada Peristiwa 11 September dan munculnya Daesh dan teroris yang lain.
Kedua, kumpulan Islam yang tidak militan. Antaranya juga menyertai demokrasi. Tetapi pemikiran dan fahaman mereka juga menjadi sempit dan kaku. Mereka bersikap eksklusif hingga meminggirkan orang yang tidak sefahaman dengan mereka. Islam mereka bukanlah universal tetapi berbentuk nasionalisme umat.
Sementara kumpulan ketiga mengambil jalan  demokratik, bersifat inklusif dengan Islam yang difahaminya sebagai universal. Kumpulan ini dikatakan progresif. Ia berlaku di Turki dan ia merupakan pemikiran yang bergerak semasa Arab Spring. Ia kelihatan berlaku di Tunisia tetapi dipatahkan apabila diusahakan di Mesir. Di Malaysia, Amanah mewakili fahaman ini.
Tiga aliran ini sedang bertarung untuk mewakili umat Islam dan sejarah akan membuktikan siapa kelak yang akan membawa gerakan Islam kepada era kelima.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan