Oleh Zin Mahmud
Kurang 2 minggu lagi bulan Ramadan tahun ini akan berlalu. Tetapi
sepanjang lebih 2 minggu lalu, beberapa kejadian di negara ini
menunjukkan umat Islam semakin sensitif, iaitu jika berbanding 40 tahun
lalu.
Bagi mereka yang masih pernah mengalami suasana tahun 1977 mungkin
dapat ingat betapa bezanya hubungan antara agama berbanding sekarang.
Kemungkinan pada 1977, kecenderongan masyarakat Islam pada agamanya
tidak sekuat seperti sekarang. Ketika itu tidak banyak wanita Islam
bertudung. Orang Islam makan di kedai bukan Islam bukanlah sesuatu yang
pelik. Terdapat banyak pergaulan antara orang Islam dan bukan Islam.
Masa itu tidak ada istilah tazkirah. Tadika Islam pun tidak ada.
Sekolah tahfiz pun tidak kedengaran. Tidak terdapat banyak acara agama
Islam. Ceramah agama hanya sekali sekali.
Rancangan agama di radio dan televisyen juga tidak banyak. Lagipun
televisyen pun hanya ada 2 saluran yang waktu siarannya terhad.
Proses kecenderongan agama
Dari 1977 hingga 2017, berlaku proses kecenderongan pada agama yang
besar dan luas. Ia juga beserta dengan perkembangan pesat komunikasi.
Siaran radio bertambah. Kini ada satu stesen radio khas untuk agama
iaitu IKIM.fm. Saluran televisyen juga bertambah dengan kandungan agama
juga meningkat. Stesen seperti TV Hijrah, TV9, Astro Oasis dan Salam
menyajikan kandungan agama.
Tetapi proses komunikasi yang paling mendadak memberi kesan pada
kecenderongan pada agama dalam masyarakat Islam ialah teknologi
maklumat. Internet, laman web, blog, Twitter, Facebook dan WhatsApp
meningkatkan ulasan mengenai agama daripada pelbagai pandangan tetapi
pada waktu sama ia meningkatkan perasaan sensitiviti dalam masyarakat
yang mempunyai tahap kefahaman agama berbeza.
Persaingan untuk sokongan Islam
Perubahan politik yang besar juga berlaku dari tahun 1977 hingga
2017. Umno dan Barisan Nasional (BN) pada 2017 tidak sekuat pada 1977.
Naratif agama tidak dimonopoli oleh kerajaan BN. Bukan saja PAS, naratif
agama dalam politik kepartian juga diutarakan oleh Amanah dan PKR.
Maka terdapat persaingan bagi mendapatkan sokongan masyarakat Islam yang kuat kecenderongan keagamaan.
Selain parti politik dan kerajaan yang menyumbang kepada pengolahan
perbahasan umum mengenai agama, terdapat juga persatuan berasaskan agama
yang masing-masing mempunyai pandangan dunia berbeza.
Maka berlakulah pertembungan antara pihak yang mempertahankan
pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pihak Salafi yang di dalamnya
juga terdapat Wahabi.
Pertembungan ini dapat dilihat secara umum melalui media sosial. Ia
menjadi sengit lagi apabila pada 2017 ini terdapat banyak lulusan aliran
agama yang berada dalam masyarakat berbanding pada tahun 1977. Mereka
turut mewarnai budaya masyarakat Islam untuk lebih cenderong pada agama.
Rasa terancam
Tetapi perkembangan ini menimbulkan reaksi pada mereka yang berasakan
ruang bagi kebebasan umum dalam masyarakat semakin sempit. Maka
timbullah orang Islam yang menganggap diri mereka golongan sederhana
mempertahan ruang demokratik negara yang dirasakan terancam. Golongan
ini pula dilihat sebagai liberal dan sekular oleh pihak yang cenderong
pada agama.
Sejak beberapa tahun kebelakang, khutbah Jumaat di banyak masjid
disudahi doa memohon supaya masyarakat Islam dijauhi bukan saja daripada
fahaman Qadiani, Syiah dan ekstremisme tetapi juga pluralisme dan
libralisme. Doa seperti ini tidak ada pada tahun 1977.
Sementara orang bukan Islam yang merupakan golongan minoriti negara
ini, tetapi mempunyai pengaruh ekonomi lebih besar berasa terancam
dengan perubahan masyarakat Islam.
Walaupun kebebasan beragama dijamin Perlembagaan, namun tafsiran
daripadanya menyebabkan mereka berasakan sifat sekularisme kian pudar.
Ini menyebabkan timbul kebimbangan bahawa ruang amalan kepelbagaian
agama semakin sempit kerana sensitiviti anggota masyarakat Islam yang
menunjukkan kemerosotan perasaan toleransi dan saling faham-memahami.
Reaksi daripada masyarakat bukan Islam yang dapat dilihat melalui
komen di media sosial menimbulkan tindak balas pula di kalangan netizen
orang Islam. Maka keadaan ini mengurangkan lagi hubungan selesa antara
penganut berlainan agama.
Perasaan sensitif berhubung kepercayaan seseorang adalah sesuatu yang
dapat difahami. Tetapi sensitif pada isu-isu yang dirasakan tidak
wajar, berdasarkan pada ketidakfahaman atau perkara remeh temeh boleh
mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah besar dan pokok dalam
kehidupan beragama.
Setiap individu tentu mempunyai pandangan atau perspektif mengenai
sesuatu isu yang berbeza di antara satu sama lain. Tetapi apabila
seseorang tidak mengawal diri sendiri, dan banyak orang mengikut serta
dalam perbincangan di media sosial, maka ia menjadi lebih besar daripada
sepatutnya.
Pada zaman sebelum Internet, hal seumpama ini mungkin hanya
dibincangkan di kedai kopi dan ia habis begitu saja. Tetapi kini ia
diluahkan dalam media sosial yang boleh dibaca di seluruh dunia dan isu
kecil menjadi besar, lebih daripada sepatutnya.
Ramadan yang sensitif
Mungkin kes yang berlaku sepanjang bulan Ramadan hanya merupakan
kejadian terpencil, atau faktor politik menjelang pilihan raya
menyebabkan ia sensitif.
Namun suasananya adalah ia menampakkan adanya peningkatan sensitiviti di kalangan umat Islam.
Awal Ramadan tahun ini menyaksikan isu muka depan akhbar The Star
yang dirasakan menyinggung perasaan orang Islam. Pada hari pertama
disiarkan ia tidak ada masalah. Tetapi ia jadi isu apabila ia disebarkan
dalam media sosial pada hari kedua dengan komen sensitif menyebabkan
Kementerian Dalam Negeri berasakan perlu bertindak.
Kemudian timbul bantahan terhadap orang bukan Islam berbuka puasa sama di masjid. Ia ditujukan kepada ahli politik.
Sejak negara ini mencapai kemerdekaan, tidak pernah timbul ada
larangan orang bukan Islam dan ahli politik berbuka puasa di masjid.
Pada masa itu, acara yang melibatkan orang bukan Islam berbuka puasa di
masjid dianggap sebagai usaha merapatkan muhibah antara penganut agama
berbeza.
Sementara acara berbuka puasa yang melibatkan ahli politik, sama ada
Islam atau bukan Islam dalam masjid selama ini dianggap sebagai wajar.
Ia dilakukan di banyak tempat di dunia dan ahli politik sebagai pemimpin
dalam masyarakat tanpa mengira apa parti politiknya. Ia dilihat sebagai
sebahagian daripada amalan kehidupan demokrasi.
Selain daripada kes itu, terdapat juga bantahan terhadap ahli politik
bukan Islam masuk masjid, bukan untuk berbuka puasa tetapi bagi acara
kemasyarakatan. Bantahan itu dipanjangkan hingga kepada pihak berkuasa
agama.
Akibatnya, ada pihak merasakan ruang keterbukaan dalam institusi
agama juga semakin sempit. Namun apa yang berlaku ini dapat dilihat dari
segi perkembangan politik.
Ketika PAS dan DAP bermesra dalam Pakatan Rakyat, isu ini tidak
timbul. Tetapi apabila PAS berpecah, barulah perkara seumpama ini
menjadi isu.
Kemudian timbul pula isu yang berkaitan dengan acara penganut satu
aliran agama Kristian yang dirancang diadakan dalam gereja. Ia tidak ada
kaitan dengan orang Islam. Ia juga tidak melibatkan aliran lain dalam
agama Kristian. Banyak orang pun tidak faham mengenai aliran ini.
Tetapi apabila keluar poster acara ini dengan simbol dan perkataan
yang berkaitan dengan Yahudi, maka ada netizen di kalangan umat Islam
membuat bantahan. Mereka sensitif kerana soal Yahudi dan Palestin.
Banyak persatuan Islam membuat laporan polis. Kerajaan negeri Melaka
pun bertindak dan penganjurnya setuju membatalkan acara itu.
Terdapat 2 lagi isu dalam bulan ini, ia pula dikaitkan dengan Bazaar
Ramadan, yang sememangnya ruang bebas untuk semua orang tanpa mengira
anutan agama mereka. Ia sepatutnya menjadi ruang bagi muhibah antara
agama. Tetapi ia juga jadi isu.
Yang pertama kerana soal tempat letak kereta. Kedua dan terbaru ialah
halangan kepada seorang ahli politik bukan Islam untuk mengedar
sumbangannya di Bazaar Ramadan.
Pada 1977, tidak ada istilah Bazaar Ramadan. Apa yang ada hanyalah gerai menjual juadah untuk berbuka puasa.
Kejadian ini menunjukkan sebahagian besar umat Islam negara ini
semakin sensitif pada perkara yang bagi sebahagian orang lain pula
berasa ia tidak perlu.
Mereka berasakan orang Islam patut mengalihkan perasaan sensitiviti
kepada perkara-perkara yang lebih konkrit !’dapat memberi kebaikan
kepada masyarakat umum.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan