Menjadi orang beragama bukan ‘lesen’ untuk hina, hukum

Oleh Rahman Imuda

Sejak akhir-akhir ini, saya perhatikan ramai netizen yang beranggapan mereka merupakan utusan Tuhan mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti sedang dirasuk oleh ‘syaitan’ di alam maya.
Seharusnya mereka yang mengakui faqih tentang agama adalah orang pertama menunjukkan sifat-sifat berakhlak dan terpuji kerana hampir semua agama di dunia ini mengajarkan prinsip-prinsip kebaikan.

Ironinya ada beberapa tokoh agamawan dan pengikut-pengikut setia mereka begitu bengis dalam mendepani kelompok yang tidak sehaluan dengan mereka, sehingga tahap mengeluarkan kata-kata yang berunsur kebencian dan cacian. Persoalan yang terbuku di hati saya, adakah dengan meyakini kita berada di jalan yang benar memberikan kita lessen untuk berkata sesuka hati tanpa memikirkan impak daripada perbuatan kita itu?

Puisi Jumaat Mufti!

Pertama sekali kita harus mengakui bahawa mufti yang saya maksudkan ini merupakan seorang sarjana Islam yang disegani dan mempunyai sumbangan yang besar pada agama Islam di Malaysia.

Jumaat lepas beliau telah memuat naik satu puisi di laman sosial yang bagi saya kurang ‘cantik’ kerana berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu.

Pada pemerhatian saya, puisi itu telah menimbulkan ‘fitnah’ terhadap diri beliau dan agama Islam itu sendiri. Beliau telah memberikan justifikasi terhadap puisi yang beliau tulis dan menegaskan bahawa puisi itu ditujukan kepada Kerajaan India yang menindas umat Islam akibat memakan lembu. Untuk berlaku adil kepada beliau, kemarahan yang tercetus akibat isu ini dan tekanan terhadap Dr Zakir Naik ada asasnya, namun mengeluarkan puisi sedemikian lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan pada hemat saya.

Kita wajar marah apabila ada manusia yang tertindas, lebih-lebih lagi umat Islam. Tetapi mengeluarkan puisi seperti itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Semua manusia melakukan kesilapan, mungkin ketika itu beliau sedikit beremosi atau kurang mengambil pertimbangan yang wajar sehingga tercetus puisi seperti itu.

Wajar jika beliau meminta maaf kepad penganut agama Hindu. Bukan bermaksud Islam tunduk kepada agama lain, tapi menggambarkan betapa Islam mengajarkan kita untuk memohon maaf jika tersalah langkah kerana seperti yang saya sebutkan tadi; kita hanya manusia biasa yang terdedah pada kesilapan.


Menisbahkan sesuatu agama terhadap keganasan atau penindasan umpama kita menisbahkan militant Islamic State (IS) kepada Islam. Pasti kita marah jika ada penganut agama lain menisbahkan keseluruhan ummat Islam sebagai pengganas atau mengatakan kita adalah penyembah kotak hitam di kota suci Mekah. Al-Quran mengajarkan kita untuk tidak menghina kepercayaan agama menerusi ayat:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (QS AL An’am:108)”

Ulama tidak maksum

Para pengikut mana-mana ulama atau tokoh perlu menerima hakikat bahawa manusia yang mereka ikuti terdedah kepada kesilapan kerana selepas nabi, tiada siapa yang hidup sebagai manusia maksum. Penting hal ini disedari untuk mengelakkan para pengikut bersifat fanatik terhadap tokoh yang mereka sanjungi sehingga menghalalkan apa sahaja perbuatan yang dilakukan oleh tokoh tersebut walaupun ia bercanggah dengan garis agama atau undang-undang.

Berhujah dengan pengikut-pengikut yang terlalu fanatik adalah umpama mencurah air ke daun keladi kerana mereka hanya melihat tokoh mereka sahaja yang benar dan semua pandangan yang bertentangan dengan tokoh mereka adalah salah sama sekali. Pengikut yang baik bukanlah sekadar membenarkan semua kelakuan, tetapi perlu menegur dan memberi kesedaran orang yang mereka ikuti melakukan kesilapan.

Para ulama juga harus terbuka dan menimbang teguran daripada orang awam. Jika didapati teguran itu benar, maka mereka harus bermuhasabah diri lantas memperbaiki kesilapan yang mereka lakukan. Apabila proses ini berlaku, maka kita akan memiliki kesinambungan yang baik untuk agama, orang awam tidak akan mengikut seseorang tokoh secara membuta tuli, dan ulama sentiasa akan memperbaiki diri mereka untuk umat Islam.

Apabila merasakan diri sentiasa didampingi oleh tuhan, sangat wajar jika kita mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan kebencian dan kecelaruan. Aneh apabila mereka yang mengakui diri sebagai Dai’e tuhan menjadi orang yang paling bengis apabila berhadapan dengan orang yang dikatakan tidak faham agama. Jari-jari mereka pantas menghukum atau menghantar seseorang ke neraka tanpa menyelidiki ‘orang-orang berdosa’ di mata mereka. Kita seharusnya bertegas dengan isu-isu yang melibatkan agama, pendirian kita harus terpacak kukuh tanpa gentar.

Namun, sikap menghukum sesuka hati atau mempromosikan ‘hate speech’ tidak akan menjadikan agama kita kelihatan lebih mulia dan sama-sekali tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam.

Jika benar kita mahu orang kembali kepada agama, maka berhikmahlah. Jika
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan