Enam Hakikat Tahaluf Yang Perlu Difahami

Oleh Alang Ibn Shukrimun

1. TAHALUF BUKAN BERGABUNG

Tahaluf adalah bermaksud perjanjian bersama atau kerjasama. Ia bermaksud beberapa pihak yang berbeza bersatu atas titik-titik yang dipersetujui bersama dalam perjanjian.

Maka tahaluf tidak bermaksud mereka adalah sebahagian dari kita dan kita sebahagian dari mereka.

Kita cuma bergerak bersama dalam satu kenderaan untuk ke destinasi tertentu. Bila sampai di destinasi yang dimaksudkan, masing-masing akan teruskan dengan agenda masing-masing.

Prinsip agree to disagree adalah satu kemestian dalam tahaluf. Kita tak boleh perjuangkan apa yang mereka perjuangkan, dan kita tak boleh minta mereka bersetuju dengan semua agenda kita.

Kalau buang prinsip ini, maka tiada lagi erti tahaluf. Ia sudah bertukar kepada indhimam atau indimaj bererti bergabung dan menyertai. Perjuangan kita dan perjuangan mereka jadi sama. Kalau mereka beragenda meminggirkan agama dari politik, Adakah kita sanggup melaksanakan agenda sama?

2. TAHALUF BUKAN SEKADAR DALAM PERKARA POLITIK

Secara umumnya orang faham tahaluf itu adalah kerjasama politik. Tapi bukan semua tahaluf itu bersifat siasi dan bukan juga semua tahaluf siasi itu bermatlamat siasah walaupun anggotanya adalah institusi politik.

Boleh jadi objektif utama tahaluf siasi lebih kepada dakwah. Contohnya matlamat kerjasama dengan parti dominasi bukan Islam sebenarnya untuk menembusi kelompok bukan Islam supaya Islam sampai kepada mereka. Dengan tahaluf siasi, kita boleh dijemput ke pentas parti bukan Islam dan berkenalan dengan sasaran mereka. Sudah tentu ia menguntung dakwah.

Boleh jadi juga tahaluf antara parti politik bermatlamat kebajikan. Contohnya bertahaluf dengan parti yang memiliki kuasa atau yang memiliki pengikut ramai. Tujuannya adalah supaya agenda kebajikan dapat dilakukan melalui kuasa yang mereka ada ataupun dengan pengaruh mereka terhadap pengikutnya.

3. TAHALUF BUKAN SEKADAR UNTUK PILIHANRAYA

Apa yang berlaku di Malaysia, parti-parti politik cuma bergabung hanya untuk menghadapi pilihanraya. Wacana yang sering diketengahkan untuk menjustifikasikan tujuan pakatan atau kerjasama yang dibuat hanyalah supaya dapat memenangi pilihanraya.

Keadaan ini telah menyebabkan banyak parti politik yang bercerai berai usai pilihanraya. Apabila sudah dapat kuasa yang dikehendaki, mulalah mereka buat hal kepada rakan tahaluf kerana merasakan rakan itu tidak lagi diperlukan untuk pilihanraya akan datang, atau mengganggu agenda sebenar mereka.

Ini sekaligus adalah bentuk pembodohan terhadap rakyat. Rakyat mengundi satu-satu pihak adalah bertujuan untuk dipimpin oleh mereka. Kalau selepas PRU mereka ubah haluan atau bentuk kerjasama, maka mereka telah melakukan pengkhianatan terhadap kepercayaan dan undi rakyat.

Sebaliknya dengan bertahaluf selepas pilihanraya, ianya adalah satu perkara yang baik. Masing-masing membawa kekuatan tersendiri hasil sokongan rakyat terhadap ideologi perjuangannya dan bekerjasama untuk menguruskan politik negara, samada menjadi pemerintah bersama atau pembangkang bersama.

Model tahaluf sebegini lebih profesional dan rasional untuk kebaikan rakyat. Ia boleh jadi sebagai unity government ataupun government coalition. Turki, UK, Palestin dan Tunisia antara negara yang mengamalkannya.

4. TIDAK BERTAHALUF TIDAK BERERTI TIDAK BOLEH BERSAMA

Tidak ada sebarang persefahaman politik tidak bermakna bermusuhan. Jika bermusuhan sekalipun, tidak bermakna tidak boleh langsung duduk sekali. Hatta jika ada ketetapan untuk tidak terlibat dengan sebarang akitiviti parti tertentu sekalipun, ia masih tidak bermakna tidak bertegur sapa dan menjauhi terus ahli parti tersebut.

Tahaluf hanya untuk mencapai matlamat bersama dalam beberapa perkara. Tanpa berkongsi matlamat yang sama sekalipun, perbezaan wadah politik sama sekali tidak boleh menafikan hubungan sesama insan.

5. TAHALUF ANTARA PARTI DAN TAHALUF SESAMA ORGAN NEGARA

Perlu dibezakan antara kerjasama sesama parti politik dan kerjasama dengan kerajaan, NGO, syarikat atau mana-mana individu undang-undang (legal person). Meminta kerjasama JKKK ahli Umno untuk menandatangani borang permohonan ahli PAS tidak bermakna PAS telah bekerjasama politik dengan Umno.

Berapa ramai ahli PAS yang menjadi guru di sekolah-sekolah kerajaan? Berapa ramai ahli PKR yang bekerja sebagai penjawat awam? Semua mereka secara adalah kakitangan kepada kerajaan, yang mana ketuanya adalah Perdana Menteri Malaysia. Bukan ahli Umno. Dia presiden Umno!

6. TAHALUF BUKAN SATU-SATUNYA BENTUK PERHUBUNGAN

Dalam fiqh dakwah dan siasah Islam, tahaluf bukan hanya satu bentuk jalinan yang boleh diadakan antara institusi Islam dan pihak lain. Perlu difahami bahawa di sana terdapat konsep lain seperti Taawun, Himayah, Sulh, Muahadah dan sebagainya.

Jika tidak dapat mencapai syarat-syarat tahaluf, maka tidak semestinya tidak boleh ada langsung hubungan dalam bentuk yang lain. Boleh dilihat konsep-konsep yang lain untuk diterapkan mengikut syarat-syarat khususnya.

Walaupun ditakdirkan antara PKR dan PAS tidak lagi memiliki tahaluf, maka tidak semestinya PAS wajib memisahkan diri dari semua negeri yang diterajui PKR. Perlu dilihat dari sudut undang-undang, kesan dan ruang yang ada bagaimana boleh untuk meneruskan agenda agama dan rakyat melalui kuasa yang ada tanpa mempedulikan hubungan politik yang dingin.

(Alang Ibn Shukrimun)
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan