Oleh LIM HONG SIANG
Mungkinkah
Liow Tiong Lai kekal menyandang jawatan menteri pengangkutan
seandainya MCA keluar dari BN dan memutuskan hubungannya dengan Umno?
Jawapannya pasti tidak.
DS Najib menggariskan
empat faktor Umno sentiasa bertambah kukuh, Pertama Umno tidak pernah
meninggalkan asas perjuangan parti iaitu berpaksikan Islam, Melayu
Bumiputera dan negara Malaysia.
Andainya senario ini dibolehkan, sudah tentu hubungan antara MCA dengan Umno dicincang hingga lumat sejak awal lagi.
Ia
bukan sekadar soal maruah, tetapi lebih kepada peraturan dalam sistem
politik negara. Apabila PAS memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP, ia
bermakna PAS tidak lagi sehaluan dengan PKR dan DAP.
Persoalannya,
bagaimana PAS yang tidak berkongsi muafakat dengan PKR dan DAP, boleh
berada dalam sesebuah kerajaan negeri yang dianggotai PKR dan DAP?
Hatta
Datuk Seri Najib Razak tidak melantik Datuk Seri Abdul Hadi Awang
sebagai menteri dalam kabinet, sungguhpun PAS kini berkongsi lebih
muafakat bersama Umno daripada DAP, dan barangkali juga PKR.
Bahkan
Umno mungkin lebih memerlukan PAS daripada MCA dan MIC buat masa ini.
Jadi, mengapa pemimpin PAS tidak dilantik ke dalam kabinet BN? Ini
kerana tiada hubungan rasmi yang terjalin antara PAS dengan Umno-BN.
Keadaan di Selangor
Apakah
kerajaan negeri Selangor sedia ada mampu bertahan selepas PAS
memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR? Dengan menguasai 29 daripada 56
kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, kerajaan Pakatan Harapan
kini bertahan dengan majoriti yang tipis tanpa PAS.
Ia mungkin
pertimbangan utama Pakatan Harapan pada saat-saat ini, untuk
mengekalkan kestabilan kerajaan negeri Selangor. Namun status quo ini
boleh mengundang pertikaian dan ketidaktentuan pada masa depan.
Bagaimana jika Selena Gomez berkonsert lagi?
Misalnya,
bagaimana jikalau Selena Gomez mengadakan konsertnya untuk kali kedua
di Selangor? Apakah pandangan exco PAS harus diambil kira? Pada masa
yang sama exco PKR dan DAP juga perlu berdepan dengan penyokongnya.
Apakah
adil andainya kerajaan Pakatan Harapan membuat satu keputusan yang
mengingkari hasrat penyokongnya, semata-mata untuk menyedapkan hati
PAS, yang sudah memutuskan hubungannya dengan PKR dan DAP?
Jadi,
jikalau Selena Gomez diberi lampu hijau oleh kerajaan negeri untuk
kembali berkonsert, apakah Iskandar Samad akan dipersalahkan PAS?
Persoalannya, mengapa PAS tidak mengarahkan ketiga-tiga exconya untuk
meletak jawatan, sebaik sahaja tahaluf siyasi diputuskan dengan sebulat
suara?
Desakan ini bukan untuk menyindir PAS, tetapi untuk
mengelakkan dilema yang bakal dihadapi PAS ketika PRU14. Apakah PAS
ingin berkempen untuk menghentam Pakatan Harapan kerana dasar kerajaan
negeri, atau memujinya?
Antara pujian dan kutukan
Bagaimana
PAS memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Harapan, sedangkan
dirinya kekal bersama dalam mesyuarat exco sehingga DUN dibubarkan?
Sebaliknya,
bagaimana pula PAS boleh memuji kerajaan negeri Selangor, kerana
pengundi akan tertanya-tanya, jikalau begitu baik prestasi negeri
Selangor, mengapa PAS putuskan hubungan dengan mereka?
Lain
katalah jikalau sesiapa yang bertebal muka untuk mendakwa segala yang
baik datang dari PAS, dan segala yang buruk datang dari PKR, DAP dan
AMANAH.
Itupun belum lagi jikalau exco PAS melakukan kesilapan
pada masa depan. Di Malaysia, prinsip tanggungjawab bersama diamalkan
dalam kabinet di peringkat persekutuan, dan majlis mesyuarat kerajaan
(exco) di peringkat negeri.
Apakah kerajaan negeri Pakatan
Harapan harus memikul tanggungjawab lantaran kenyataan mahupun tindakan
exco PAS? Lebih dahsyat, ia mencungkil pertikaian yang kekok untuk
kedua-dua pihak.
Jikalau exco PAS melakukan sesuatu yang
bercanggah dengan dasar Pakatan Harapan, apakah ia sabotaj daripada
PAS, ataupun ia kesilapan yang tidak disengajakan?
Bukankah ia
amat kekok apabila rahsia strategi kerajaan negeri dibocorkan pada masa
depan, dan sudah tentu exco PAS paling dicurigai meskipun mereka
mungkin bukan dalang di sebaliknya?
Saya kurang pasti sama ada
persoalan-persoalan di atas dipertimbangkan pemimpin PAS sebelum
mengambil keputusan drastik untuk menamatkan hubungan kerjasama dengan
PKR.
Itupun sekadar isu perjalanan sesebuah kerajaan negeri,
belum memasuki bab kesannya yang lebih mendalam terhadap senario
politik dan masyarakat Malaysia.
Kesan pepecahan pembangkang
Pakatan
Rakyat ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2008, selepas gelombang
kuasa rakyat mencetuskan tsunami politik dalam PRU12. Gandingan PKR,
PAS dan DAP menjadikan pakatan pembangkang lebih mantap apabila
penyokong masing-masing digabungkan di atas satu wadah.
Jikalau
dikaji spektrum dan lanskap politik sebelum 8 Mac 2008, BN berjaya
memecahkan parti pembangkang dengan 'dasar pecah dan perintah'.
Di satu hujungnya, PAS ditampilkan sebagai pelampau agama Islam untuk menakut-nakutkan pengundi bukan muslim.
Di
satu hujung yang lain pula, DAP dilabel sebagai anti-Melayu/Islam
untuk menakut-nakutkan pengundi muslim. BN memposisikan diri di
tengah-tengah, merangkum seramai mungkin pengundi dalam arus perdana
yang menyokong “kesederhanaan”.
Pembangkang cukup sedar dengan
strategi ini dan ianya hanya boleh ditangkis andainya pengundi bukan
muslim tidak takut lagi kepada PAS, dan pengundi muslim tidak takut
lagi kepada DAP.
Teori ini diuji dan teruji. PR menang tujuh
pilihan raya kecil berturut-turut di Semenanjung selepas 8 Mac 2008,
sebelum disekat Umno-BN di Bagan Pinang pada Oktober 2009.
PR
merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu daripada Umno-BN selepas
kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh dengan majoriti
lebih besar.
Paling klasik apabila 85 peratus pengundi Cina
memberi sokongan kepada calon PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam
PRK Bukit Gantang, empat hari selepas Najib mengambil alih tampuk
sebagai perdana menteri.
Semangat ini menggugat BN. Perpaduan
pembangkang bukan sahaja melonjakkan prestasi pembangkang, tetapi juga
mencelarukan langkah percaturan Umno-BN.
Pergelutan dalaman Umno
bermula selepas tsunami politik 8 Mac 2008 melanda. Tun Abdullah Ahmad
Badawi didesak untuk berundur. Malah apabila ISA digunakan ke atas
musuh politik, menteri kabinetnya pula meletak jawatan sebagai tanda
protes.
Ringkasnya, pemerintah seolah-olah hilang kawalannya.
Penggantinya, Najib Razak melakukan segala yang mampu tetapi tidak kena
pada tempatnya, sebagaimana intonasinya ketika berucap.
Ketuanan
Melayu-nya tembus diserang Ketuanan Rakyat, 1Malaysia-nya
dipertikaikan. Penampilan Najib untuk membawa perubahan tidak diyakini,
peranan Timbalannya ketika itu, Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan
sokongan tradisi Umno mengundang lebih impak negatif daripada positif.
Sebaliknya,
Allahyarham Nik Aziz yang dahulunya dilihat sebagai konservatif dari
kaca mata non-muslim, dinilai semula dan diterima sebagai pemimpin yang
bersih dari rasuah. Almarhum membela Elizabeth Wong, Datuk Zaid
Ibrahim, malah Anwar apabila pemimpin pembangkang ini terjerat dalam
pertikaian moral dan agama yang ditimbulkan Umno.
Almarhum juga tampil meleraikan pertikaian agama yang melibatkan Teo Nie Ching dan Nga Kor Ming dari DAP.
Langkah
ini penting agar politik kita tidak terbelenggu dengan isu moral
peribadi, atau pemahaman agama yang sempit, sebaliknya ia ditumpukan
kepada rasuah, salahguna kuasa dan kepincangan sistem politik.
Begitu
juga dengan mendiang Karpal Singh. Jikalau dahulu mendiang dilabel
sebagai anti-Islam dengan pendirian tegas dalam isu hudud, kini beliau
disanjung sebagai pemimpin yang berprinsip oleh penyokong PAS.
Tindakan
mendiang Karpal membela imam Hoslan Hussin yang membaling selipar ke
arah hakim memperlihatkan satu dimensi bahawa perjuangannya konsisten
untuk mempertahankan hak semua orang tanpa mengira kaum dan agama di
dalam kerangka sistem perundangan.
Ia menganjurkan satu
perspektif bahawa sesungguhnya kita berbeza pandangan dalam bab agama,
tetapi politik menuntut kita untuk membina satu sistem yang adil untuk
semua.
Parti dan perpaduan masyarakat
Pakatan
Rakyat bukan sahaja gandingan parti politik pembangkang, tetapi
memberi makna yang lebih besar apabila menyatupadukan masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa.
Hakikatnya,
perkembangan masyarakat sivil dengan agenda seperti rasuah, kebebasan
media dan sebagainya agak terbantut di Malaysia. Kaum dan agama masih
slogan yang paling lantang, dan masyarakat secara umumnya masih
berkiblatkan parti politik.
Tetapi gandingan Pakatan Rakyat
berjaya mematahkan serangan yang bersenjatakan kaum dan agama untuk
satu tempoh tertentu. Contoh terbaik apabila kontroversi kalimah Allah
dilanjutkan dengan serangan ke atas rumah ibadat.
Pendirian PAS
untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim ketika
itu, meredakan konflik yang cuba dicetuskan. Api yang dilontarkan ke
gereja berjaya dipadamkan. Muslim tidak dimusuhi, non-muslim tidak
dikambing-hitamkan apabila masyarakat umum menyedari bahawa ini mainan
politik semata-mata.
Paling kemuncak apabila semangat solidariti
membara dalam himpunan BERSIH 2 dan BERSIH 3.
Kejadian yang terlipat
dalam ingatan generasi 709 (9 Julai 2011) ini meyakinkan warga Malaysia
bahawa tragedi 13 Mei tidak akan lagi berulang.
Ia merobohkan
tembok ketakutan masyarakat Cina khususnya, yang dihantui dengan bayang
rusuhan 1998 di Indonesia yang memangsakan kaum Cina akhirnya.
Sementara itu, masyarakat Melayu mengubah persepsinya terhadap kaum
Cina.
Cina bukan puak yang mementingkan diri sebagaimana imej
stereotaipnya, tetapi juga berprihatin dan mencurahkan ketaatannya untuk
mempertahankan tanahair ini.
Tinggal nostalgia sahaja
Segala-gala
ini tergulung sebagai nostalgia apabila hubungan pembangkang mula
dirobekkan. Dari segi politik parti, jikalau dahulu pemimpin Umno
terpaksa berdepan dengan serangan musuh luar, dan berwas-was dengan
musuh dari dalam; kini pemimpin pembangkang pula ditikam dengan keris
di luar daging, dan ditusuk duri dalam daging.
Kalau dahulu PAS
tampil membela DAP apabila dituduh anti-Islam, kini PAS lebih hebat
menuduh DAP sebagai anti-Islam, daripada Umno.
Situasi yang sama
apabila PAS dibela DAP seketika dahulu apabila berdepan dengan serangan
MCA, kini DAP tidak kurang hebatnya untuk menyerang PAS, kerana cuba
menonjolkan dirinya tidak lagi sehaluan dengan PAS.
Dari dimensi
masyarakat pula, kalau dahulu isu kaum dan agama boleh dipatahkan
dengan mudah sebagai mainan politik, kini retoriknya berubah. Label
“hina Islam” dilontar sewenang-wenangnya, maka umat Islam perlu bersatu
untuk mempertahankan martabat agama.
Dengan spontan ia
mengundang reaksi bahawa bukan Islam juga perlu bersatu untuk
mempertahankan hak minoriti yang semakin terhakis. Kita seolah-olah
undur ke belakang, dan dibonsaikan dalam bingkai-bingkai lama.
Malah,
perpecahan ini melemahkan semangat rakyat untuk terus melawan. Isunya
dialih dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan yang ditentang
secara bersama, kepada kaum dan agama yang memecah-belahkan.
Himpunan
BERSIH 4 misalnya, suara ratusan ribu manusia ditenggelam secara
mudah, hanya dengan aksi Jamal dan geng yang semerah baju dengannya di
Jalan Petaling.
Apakah tidak pernah terlintas dalam otak
pembangkang kita, jikalau manusia berbaju ungu himpunan RUU355
digabungkan dengan manusia berbaju kuning dalam himpunan BERSIH 5 –
apakah Najib masih mampu bertahan sehingga hari ini?
Akuilah,
bahawa regim Najib kekal sehingga hari ini sungguhpun terpalit dengan
skandal 1MDB – kerana perpecahan di kalangan parti pembangkang.
Apabila
pembangkang berpecah dari atas ke bawah, ia gagal memberi tekanan yang
berkesan untuk mendesak regim korup. Malah apabila regim ini mengambil
tindakan ke atas pembangkang dan aktivis satu persatu, sama ada dengan
Akta Hasutan mahupun akta yang lain, kita gagal mematahkan serangan
itu.
Semua berasa keseorangan kerana solidariti seketika dahulu,
semakin terhakis. Apabila diselubungi rasa bersendirian, rasa pasrah
pula mencengkam. Siapa lagi yang berani dan bersemangat untuk berjuang
habis-habisan?
Demikianlah kesudahannya apabila pembangkang
belajar sejarah dengan mengulangi sejarah. Mereka gagal menyelamatkan
Pakatan Rakyat, tetapi beria-ia untuk menyelamatkan Malaysia.
Populariti Lim Kit Siang di kalangan orang Islam kekal rendah, Hadi pula dikartunkan sebagai kera dalam kalangan Cina.
Kita
pernah berada di ambang kemenangan, dan kini kita kembali semula ke
persimpangan. Masa tidak menunggu. Sama ada kita terjerat dalam
perbalahan yang tidak berpenghujung, atau kita bertolak untuk
sekurang-kurangnya memulakan perjalanan baru.
Semoga semua
pembangkang bertambah matang pada masa depan, sejajar dengan usianya.
Jangan hancurkan apa yang terbina, kerana inilah warisan yang anda
tinggalkan untuk diperingati generasi seterusnya.
LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan