Eloklah jangan dikunci pintu PAS, bahkan ajak semua balik ke pangkuan PAS

Oleh Subky Latif 

ORANG-orang yang marahkan PAS dan lari ramai-ramai membuat kumpulan baharu sudah ada pengalaman selama dua tahun.Kita pun mungkin marah kepada mereka, satu reaksi yang bukan luar biasa bagi mana-mana manusia tak terkecuali orang beriman yang terkawal sabar.

Tetapi marah tidak mendatangkan kebaikan. Orang-orang yang tinggi daya sabarnya mudah mengendalikan marahnya. Tidak elok marah berlama-lama.

Jika hendak marah juga, biarlah paling lama dua minggu. Itupun sudah lama bagi orang-orang yang tinggi kesedaran politiknya.

Seelok-eloknya bendung marah itu sebelum seminggu. Jika kita marah juga berlamalama, samalah kita dengan orangorang yang marah yang melarikan diri dari PAS itu.

Semua kita tahu yang lari itu dan marah itu adalah tidak sabar, entah mengapa kecewa, tetapi marah dan kecewa jangan sampai berputus asa. Kita boleh marah, boleh hilang sabar dan mungkin boleh kecewa, tetapi jangan sampai putus asa. Putus asa bukan sebahagian dari ajaran Islam. Putus asa adalah pengaruh makhluk yang meninggalkan Allah apabila Adam dicipta.

Mungkin ada eloknya PAS ditinggalkan supaya ia jadi PAS pure yakni tulrn. Tetapi tidak eloknya banyak juga. Tidak arif kita hendak memastikan elok PAS ditinggalkan atau tak elok. Ditakuti tak elok lebih banyak.

Jangan kata PAS tak rugi bila ramai ahlinya lari, mungkin rugi itu tidak lama, tetapi yang lari itu  rugi juga, bahkan lebih banyak rugi dari untung.

Bukanlah baru dua tahun ini PAS ditinggalkan orang-orangnya. Sejak PAS ditubuhkan dua presidennya lari.

 Antara yang lari itu ada yang dikekalkan jadi menteri besar dan sekejap jadi menteri. Seorang ulama muda PAS membantu menubuhkan parti serpihan.

Jadilah dia profesor, tetapi ke tepi tidak, ke tengah pun tidak. Yang rugi bukan PAS. Masingmasing rugi seumur hidup. Mungkin PAS rugi sekejap. Hilang kuasanya setelah 19 tahun berkuasa di Kelantan. Tetapi 11 tahun kemudian ia untung semula hingga hari ini. Yang rugi ialah yang lari.

Di samping kita ada pengalaman sedih, tetapi kita sedih juga akan kerugian yang dialami oleh orang yang pernah jadi PAS itu.

Jika boleh dalam budaya politik matang dan sejahtera ini, jangan biarkan orang-orang kita dulu itu terus rugi. Tidak kita dapat sekat kerugian mereka jika mereka terus marah, masih tak sabar dan masih tidak menyesal.

Maka sempena rahmat Ramadan yang mubarak ini, sesuai dengan kebiasaan ampun mengampun dengan kedatangan Syawal, eloklah jangan dikunci pintu PAS, bahkan ajak semua balik ke pangkuan PAS. Tiada rugi apa PAS jika semuanya kembali ke panguan PAS di tempat masing-masing.

Ikut hati saya, tidak dikira merajuk mereka hilang keanggotaan PAS mereka. Bawa balik seolah-olah mereka tidak pernah tinggalkan PAS. Apa ruginya PAS membuat tawaran itu? Bukanlah sama ia dengan tawaran beramairamai Tunku kepada komunis yang mahu menyerah diri dulu.

Kita buat tawaran itu kepada suku sakat kita yang pernah berjasa besar kepada PAS.

Masalahnya mereka pernah tidak sabar dan terburu-buru. Apabila setelah dua tahun meninggalkan tentulah ada rindu dan menyesalnya. Ibarat anak yang kahwin lari tinggalkan ibu bapa.

Bukan main marah lagi ibu bapa sampai tak mengaku anak, tetapi setelah dua tahun, sudah ada anak, rindu ada, menyesal pun ada.

Kebanyakan balik ke pangkuan ibunda bersama anak dan menantu yang tidak direstui dulu. Biasanya jarang ibu bapa menolak kepulangan anaknya.

Kecualilah mereka yang dipecat. Orang kena pecat tiada pengampunan beramai-ramai. Mereka kena merayu dulu. Jika merayu pun enggan, biarkan mereka! Tidak sama yang dipecat dengan yang melarikan diri. Yang dipecat kerana ada pelanggarannya, yang lari itu kerana marah, tak sabar dan terburu-buru ssaja. Bila hilang marahnya, reda kesabarannya, jangan malu rujuk semula. Tiada apa yang dimalukan dan jika pun malu, paling lama dua minggu saja.

Kekeliruan masing-masing kerana percaya PAS hendak bersekongkol dengan Umno, dan kedua marah PAS putus dengan DAP.

Seolah-olah percaya kepada DAP itu melebihi percaya kepada PAS. Cinta kepada PAS adalah ibarat cinta kepada suami. Berkasih dengan DAP adalah sebagai kekasih saja. Mana lebih setia kepada suami atau kepada kekasih? Yang lebih mengasihi kawan dari suami, ada tak betulnya.

Nak tahu PAS berkawan dengan Umno, tunggu PRU nanti. PAS tak bertanding dengan Umnokah atau bertanding degnan DAP saja di bandar-bandar. Di luar bandar Umno saja bertanding?

Maka menjelang raya puasa ini jika boleh baliklah kepada PAS. Janganlah yang balik itu diperli pula. Terima sebagai biasa. Seolah-olah mereka tak pernah tinggalkan PAS.

Mungkin orang lari dan menubuhkan parti itu adalah orang yang berani. Tetapi orang yang merasa silap dan sedia kembali adalah orang yang lebih berani.

Saya hanya boleh kata lebih sikit kepada PAS. Kepada yang lari itu tak boleh kata banyak. Eloklah PAS jangan tutup pintu dan jangan kata apa-apa lagi. Ajak saja balik di mana-mana saja.

Tetapi bukanlah hendak mengajak mereka balik. Inilah kerja yang paling susah hendak dibuat. Mereka sudah ada kedudukan. Ada jadi presiden, ada jadi timbalan. Masuk semula dalam PAS dapat apa?

Itu adalah pertanyaan oleh kebanyakan pemimpin Umno. Masuk PAS dapat apa? Bukan boleh jadi presiden dan ahli jawatankuasa pusat.

Dalam PAS orang tidak pernah tanya nak jadi apa. Buat macam dulu. Bila orang tengok Salahuddin Ayub dan Dato’ Mahfuz Omar macam dulu juga, tidak kira ada kedudukan atau tidak, maka sanjungan semua orang PAS kembali bertaut.

Yang menghalang mereka kembali ke pangkuan ialah rasa tidak bersalah dan tidak menyesal akan segala yang ditempuhi.

Bagi yang menyesal, jika ada senyum dari orang PAS, mereka akan senang kembali bersama PAS.
Menjadi orang PAS semula adalah sebesar-besar nikmat. Yang menyesal itu tentunya siang malam payah tidur jika tidak kembali kepada PAS.

Yang tidak menyesal, kita tidak boleh buat apa-apa. Hinggalah datang menyesalnya. Kita doakan saja supaya cepat mereka menyesal. Selagi mereka tidak menyesal, maka marahnya pada PAS mungkin lebih marah dari DAP marahkan PAS dan Umno marahkan PAS. Atau sama macam Tun Dr Mahathir Mohamad marahkan Umno.

Yang macam ini, biarkan saja. Biar mereka lawan PAS dalam PRU 14 nanti. Lepas PRU itu nanti, tentu ada pengalaman baharu yang berkemungkinan mendatangkan penyesalan. Jangan tanya mengapa menyesal. Tahu-tahu sajalah.

Menyesal masa itu tidak dikira lewat. Asal balik ke dalam PAS biarlah kita terpaksa tunggu 10 tahun atau lebih.

Tiada yang lebih untung bagi orang yang berpuluh-puluh tahun dalam PAS selain dari dapat kembali dalam PAS.

Inilah tawaran saya untuk semua dalam bulan Ramadan dan menyambut Aidilfitri.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan