Hadi: Ada pihak pelawa campur tangan asing demi menang PRU14

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang bimbang Malaysia akan jatuh ke tangan negara lain disebabkan tindakan pihak tertentu cuba mempelawa pihak luar campur tangan dalam masalah dalaman demi mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya yakin mereka yang mengundang pihak asing mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Surat Terbuka Kepada Parti Politik Malaysia”.

Sehubungan itu, presiden PAS itu mengingatkan semua parti politik tidak mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah negara seperti kes Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, negara asing akan bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaian oleh mahkamah di negara mereka.

“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri selesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.

“Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh.”

Kenyataan itu dipercayai merujuk tindakan terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil di California untuk menyita aset berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion), termasuk karya seni, kapal layar, barang kemas dan hak cipta 2 filem komedi yang didakwa dibeli dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Semalam, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan pembangkang mampu mempengaruhi DoJ untuk memfailkan tuntutan mengenai jenayah yang dilakukan di negara terbabit, melibatkan bank dan harta di sana.

Ketika menyifakan tuduhan itu sebagai “satu kebodohan luar biasa”, pengerusi PPBM itu menjelaskan keadaan di AS berbeza dengan Malaysia, di mana presidennya terpaksa menerima laporan berhubung salah laku sendiri daripada pegawai mereka.

Mengulas lanjut, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang menyatakan Al-Quran melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran.

“Akhirnya selesai dengan selamat kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga.”

Beliau memberi contoh sejarah kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol selama 8 abad, selepas raja mereka mempelawa pihak asing membantu menyelesaikan krisis dalaman, serta pihak tertentu menjemput penjajah menjatuhkan kerajaan Melayu Islam Melaka kerana kemungkinan wujud kesalahan atau kezaliman.

“Tetapi, akibatnya selepas itu seluruh rantau nusantara dijajah dan dibahagikan buminya oleh penjajah selepas hilangnya kedaulatan Islam.

“Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan