Semua negara berkomplot jatuhkan k’jaan Najib?

Oleh Raja Kamarul Bahrin Shah   

Banyak kenyataan telah dibuat tentang pengumuman siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas ‘Malaysia Official 1' (MO1) dalam isu 1MDB.

Ada yang meminta kerajaan Malaysia mengambil tindakan sepatutnya untuk mendapatkan kembali hasil yang dikatakan hak rakyat yang telah diselewengkan.

Ada juga pihak pemerintah serta ahli kerajaan dan penyokong dari golongan awam dan juga para penasihat agamawan yang menafikan tuduhan serta meminta tabayun dahulu.

Sememangnya tabayun itu dituntut oleh Islam tetapi pihak yang menuntut bertabayun itu mestilah juga berbuat perkara sama pada siasatan dan tuduhan itu. Tabayun mestilah datang dari semua pihak untuk membuat kesimpulan yang tepat dan adil.

Dakwaan kuasa asing Amerika hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia mesti dikutuk sekeras-kerasnya jika ia benar, namun perlu diketahui bahawa bukan hanya Amerika sahaja mengambil tindakan undang-undang sedemikian rupa ke atas Malaysia.

Turut berbuat demikian adalah negara-negara seperti Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Luxembourg, Hong Kong dan beberapa negara Eropah lain.

Adakah negara-negara Arab, Eropah, Asean dan Asia ini semua ini pun berhasrat menjatuhkan kerajaan Malaysia juga?

Perlu diingat semua negara yang disebut merupakan Pusat Kewangan Dunia terkemuka di mana reputasi perniagaan kewangan dan bank mereka dihormati dunia termasuk oleh Malaysia.

Kalau tindakan mereka salah, maka Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang sekaligus mampu merosakkan nama baik sistem kewangan serta bank mereka.

Maka persoalannya, apa motif negara yang lebih kaya dari Malaysia hendak menjatuhkan Malaysia?
Abu Dhabi, Singapura dan Switzerland, selain dari Amerika, telah menutup beberapa bank utama yang besar dan menangkap serta menghukum beberapa tokoh bank, kewangan dalam kalangan rakyat mereka sendiri kerana isu 1MDB.

Ini adalah tindakan yang amat serius yang boleh menjejaskan sistem bank mereka sekiranya tidak betul langkah tersebut.

Perlu juga difahami bahawa mereka telah bertindak di dalam sistem negara mereka sahaja untuk menjaga sistem kewangan mereka kerana wang haram dari Malaysia dibawa ke sana dan adalah satu kekeliruan jika mendakwa mereka hendak masuk campur dalam sistem Malaysia.

Malahan di Amerika mereka merampas wang serta harta haram untuk dikembalikan kepada rakyat Malaysia yang berhak menerimanya. Samalah di Malaysia, kita juga mempunyai sistem undang-undang anti penggubalan wang haram.

Perlu diingat Jho Low adalah seorang rakyat Malaysia yang merupakan rakan kongsi niaga yang rapat dengan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membawa wang 1MDB ke Amerika, Abu Dhabi, Singapura; Switzerland dan Hong Kong.

Najib adalah MO1 dalam 1MDB seperti yang diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Negara-negara ini berhak menyiasat dan menghukum perbuatan haram di negara mereka seperti kita juga berhak menghukum mati pengedar dadah asing yang melakukan jenayah tersebut di Malaysia mengikut undang-undang kita.
Negara asing tidak boleh masuk campur tindakan mahkamah Malaysia ke atas warga mereka kerana jenayah berlaku di negara kita.

Saya menasihati pihak berkenaan dari golongan awam dan juga agamawan, jangan emosi dan bersikap nasionalistik sebaliknya menilai situasi ini secara objektif dari sudut perundangan.
Bukan orang lain sahaja mesti bertabayun, mereka sendiri terdahulu mesti bertabayun juga.

Adakah masuk akal Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Amerika semuanya hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia?

Kenapa kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan mahkamah atau membuat bantahan rasmi terhadap negara-negara ini?

Sepatutnya penyokong serta para agamawan penasihat kerajaan mendesak Malaysia menyaman kerajaan-kerajaan negara asing berkenaan untuk mendapat lebih maklumat terperinci bagi melengkapkan proses "tabayun" mereka sebelum mencapai satu kesimpulan yang tepat.

Bertabayunlah sendiri terdahulu sebelum menuntut orang lain berbuat demikian. Rakyat Malaysia hari ini sebenarnya jauh lebih cerdik dari yang mereka sangka.

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD adalah anggota parlimen Kuala Terengganu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan