Kisah Ustaz Ahmad Awang Dengan Kuliah- Kuliahnya

Oleh HAYAR HASSAN

Di persada politik Malaysia, Nama Ustaz Ahmad Awang tidak lah sepopular nama Perdana Menteri sekarang ini, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Tun Dr Mahathir, TG Dato’ Seri Hadi Awang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain tokoh politik.

 Namun demikian, akhir-akhir ini Penasihat Umum Parti Amanah Negara(Amanah) ini semacam diberikan perhatian juga oleh media setelah diberitakan bahawa beliau dihalang daripada memberikan kuliah-kuliah agama di beberapa buah masjid di Selangor.

Alasan yang diberikan adalah mungkin Ahli Jawatan Kuasa masjid-masjid berkaitan tidak berkenan dengan Ustaz Ahmad Awang.

Lazimnya perkataan “berkenan” digunakan dipersekitaran istana. Perkataan ini sering diucapkan oleh orang-orang besar Istana sewaktu menulis lambaran warkah atau berbicara dalam majlis-majlis resmi istana. Agak melucukan dan menghairankan apabila alasan sebegini rupa diberikan untuk menghalang seorang berkelulusan Sarjana Syariah daripada Universiti Al Azhar daripada memberikan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid.

Ustaz Ahmad Awang adalah mantan Presiden Persatuan Ulamak Malaysia selama 17 tahun serta pernah menganggotai Panel Syariah Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia dan RHB. Bukan itu sahaja, di peringkat antarabangsa, beliau pernah menjadi Ahli Senat Universiti Islam Baghdad Iraq dan Ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya. Untuk dalam Negara pula beliau adalah mantan Pengarah Dakwah & Latihan Islam, Jakim Malaysia.

 Dari sudut politik pula, beliau adalah mantan Pesuruhjaya Pas Perak semasa negeri itu pernah jatuh ke tangan PR pada PRU ke 12. Begitu lah warna warni kehidupan seorang insan bernama Ustaz Ahmad Awang yang telah berusia 81 tahun.

Suatu masa dahulu, alasan utama yang digunapakai untuk menyekat ustaz-ustaz daripada memberikan kuliah-kuliah di masjid-masjid adalah “tiada tauliah” diberikan oleh majlis agama sesebuah negeri.

Alasan “mengajar tanpa tauliah” ini juga diberitakan telah menyebabkan seorang ustaz di Johor dipenjarakan. Amat sedih sekali apabila dikenangkan seorang guru agama yang berniat memberikan pencerahan ilmu agama Islam kepada masyarakatnya yang masih dahagakan ilmu agama terpenjara. Diberitakan juga bahawa SS Dato’ Mufti Perlis pernah didakwa atas alasan ini . Namun tuduhan itu telah ditarik balik dan perbicaraan tidak diteruskan .

Fenomena “tidak berkenan” ini adalah sesuatu yang baru diciptakan di Selangor,yang ditadbir oleh PR. Saya tidak pasti sama ada tepat kalau dikatakan negeri Selangor pada waktu ini ditadbir oleh Pakatan Harapan juga ! Ini adalah disebabkan pada waktu ini Pas sudah memutuskan Tahaluf Siyasi dengan PKR dan DAP. Namun demikian 3 ADUN Pas masih kekal sebagai exco dan dikatakan sekitar 5,000 aktivis Pas masih memegang pelbagai jawatan dengan Kerajaan Negeri Selangor.

Apakah rasionalnya muktamar Pas rioh rendah berdebat soal memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP, hujung-hujungnya ahli-ahlinya masih memegang begitu banyak sekali jawatan dalam Kerajaan Negeri Selangor ! Masyarakat keliru dan bingung dibuatnya. Apakah tepat makna yang dilontarkan oleh YB Dato’ Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena bahawa Pas mengamalkan budaya makan keliling .Mungkin bagi sesetengah orang, ini lah yang dinamakan dinamika politik masa kini.

Kembali kepada persoalan asal berkaitan halangan kepada Ustaz Ahmad Awang daripada memberikan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid. Adakah tindakan itu wajar ? Adakah tepat mengatakan seorang lulusan agama yang menganggotai parti politik perlu disekat daripada memberikan kuliah-kuliah agama ?

Seingat saya ramai daripada lulusan bidang agama dan aktif dalam parti politik di negara ini juga turut memberikan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid . Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Almarhum Tuan Guru Dato’ Harun Din akan dijemput memberikan kuliah-kuliah di masjid apabila diketahui mereka berada di sesuatu kawasan.

Di Pulau Pinang, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri, Almarhum-Almarhum itu sering dijemput memberikan tazkirah seusai solat maghrib tanpa dirancang lebih awal. Pengerusi Qaryah serta AJK Qaryah membuat keputusan secara spontan memberikan slot kuliah maghrib kepada dua tokoh tersebut yang secara kebetulan singgah untuk solat berjamaah maghrib di masjid mereka ! Pada waktu itu kebanyakan masjid-masjid di Pulau Pinang dikuasai oleh aktivis-aktivis PAS.

Perlu diakui bahawa aktivis-aktivis Pas pada waktu ini banyak menjadi AJK Qaryah masjid-masjid di Pulau Pinang selepas PRU ke 12. Hampir semua masjid berjaya diimarahkan dengan kuliah-kuliah maghrib. Jamaah semakin bertambah ketika solat fardhu dan banyak program-program dijalankan di masjid-masjid. Di Serang Perai Tengah, Pulau Pinang khususnya, masjid-masjid memang diimarahkan.

Sebelum itu ustaz-ustaz Pas yang agak ramai di utara Malaysia hanya mampu mengajar di Masjid Batu Kampong Pertama, Seberang Perai Tengah sahaja. Nama Masjid Batu masyhur ke seluruh Negara kerana ia menjadi satu-satunya masjid dimana ustaz-ustaz Pas boleh berkuliah dengan lantang dan penuh bersemangat ,walhal Kerajaan Negeri adalah dibawah Kerajaan Barisan Nasional !

Namun demikian, setelah Ustaz Ahmad Awang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Pas melawan TG Dato’ Seri Haji Hadi Awang, kuliah-kuliahnya di negeri-negeri yang ditadbir sendiri oleh Pakatan Rakyat mula disekat. Ini suatu yang cukup mendukacitakan! Adakah ini sengaja dirancang ? Adakah pemikiran dan kefahaman berpolitik aktivis-aktivis Pas begitu cepat berubah ? Adakah prinsip wala kepada pemimpin itu menjadi suatu kewajipan kepada mereka berbanding dengan kebijaksanaan strategi politik ?

Selama ini penceramah-penceramah Pas mudah sekali mencari kelemahan-kelemahan pihak lain.
Apabila mereka sendiri menghadapi suasana memilih antara habuan dunia dan idelisma perjuangan, mereka lebih mementingkan kehendak peribadi. Betul lah kata orang bijak pandai, “ Berucap itu mudah, tetapi melaksanakan maksud yang diucapkan itu susah “. Mengambil pula komen terkini oleh Prof Dr Aziz Bari. Beliau mengatakan bahawa pimpinan Pas ketika ini adalah “hipokrit”.

Semoga Ustaz Ahmad Awang tidak putus asa dalam kerja dakwahnya. Niat yang ikhlas itu pastinya akan mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT. Mehnah dan rintangan dalam kerja dakwah Islam itu adalah sunnahtullah. Semoga ada cahaya yang tetap akan bersinar di hujung pengembaraan beliau dalam kerja-kerja dakwah. Bersabar lah Ustaz.

Sekian, Terima Kasih.

HAYAR HASSAN
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan