Ramadhan Bulan Merapatkan Saliturahim, Bukan Bulan Memupuk Kekasaran

Oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KEADILAN kesal dengan tindakan sekelompok umat Islam yang telah menghalang malah menyerang Ahli Parlimen Kluang, YB Liew Chin Tong dan rakan-rakan sewaktu mereka mengedar kurma di sebuah pasar Ramadan di kawasan parlimen beliau.

Tindakan kelompok ini jelas tidak berasaskan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW, dan tidak selaras dengan semangat bulan Ramadan. Bulan ini merupakan bulan yang menyediakan ruang untuk mendalami pemahaman Islam - di kalangan yang beragama Islam mahupun bukan Islam - dan merupakan peluang terbaik untuk berdakwah dengan hikmah dan berhemah. Malangnya peluang ini telah dilepaskan akibat tindakan sekelompok yang tidak bertanggungjawab.

Niat Chin Tong untuk mengedar buah kurma adalah satu yang baik dan tidak wajar dihalang, kerana walaupun beliau bukan seorang yang beragama Islam namun beliau mahu menyantuni warga Muslim di sekitar Kluang. Malah mengedar buah kurma, bubur lambuk malah juga juadah lain telah menjadi kelaziman bukan sahaja bagi pimpinan politik malah juga NGO dan orang ramai.

Yang KEADILAN risaukan adalah beberapa kejadian kebelakangan ini, termasuk sebaran WhatsApp palsu YB Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Subang dan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh serta tohmahan terhadap buku YB Hannah Yeoh, Speaker Dewan Negeri Selangor, yang memberi gambaran bagai ada usaha pihak-pihak tertentu yang mahu mengadu domba dan menyemai salah faham agama dan perkauman untuk tujuan politik.

Ini bukan perkembangan yang sihat untuk masyarakat majmuk di negara kita. Oleh itu, KEADILAN menggesa semua pihak supaya menjaga keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat serta menolak budaya perkauman dan tindakan ekstremis.

Terima kasih kepada Polis Di-Raja Malaysia yang telah melakukan beberapa tangkapan berkait insiden tersebut. Saya percayai undang-undang sedia ada mampu mendakwa mereka yang terlibat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan