Oleh ABDUL HADI AWANG
ALLAH S.W.T berfirman:
إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي
لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ
ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا
كَبِيرٗا ٩ الإسراء
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul
(Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang
beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala
yang besar” (Surah al-Isra’: 9)
Ayat ini ditafsirkan oleh hadis Rasulullah S.A.W.:
عن علي رضي الله عنه : قال : أما إنى
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول " :ألا إنها ستكون فتنة ، فقلت :
ما المخرج منها يا رسول الله ؟ قال :كتاب الله فيه نبأ ما قبلكم ، وخبر ما
بعدكم وحكم ما بينكم ، وهو الفصل ليس بالهزل من تركه من جبار يعصمه الله ،
ومن ابتغى الهدى في غيره أضله الله ، وهو حبل الله المتين ، وهو الذكر
الحكيم، وهو الصراط المستقيم ، وهو الذى لا يزيغ به الاهواء ، ولا تلتبس به
الالسنة ، ولا يشبع منه العلماء ، ولا يخلق عن كثرة الرد ، ولا تنقضي
عجائبه ، هو الذى لم تنته الجن إذ سمعته حتى قالوا : إنا سمعنا قرآنا عجبا
يهدى إلى الرشد فآمنا به ، من قال به صدق ، ومن عمل به أجر ، ومن حكم به
عدل ، ومن دعا إليه هدى إلى صراط مستقيم . (الترمذي والدارمي) مستيك حديث
جزؤ1.
“Dari Ali R.A. katanya: Ingatlah aku pernah
mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Awas! Sesungguhnya akan berlaku
fitnah (kekacauan dan bala bencana yang besar). Aku bertanya: “Apakah
caranya untuk menyelamatkan diri daripadanya?” Sabdanya: “Berpegang
teguh dengan Kitab Allah (Al-Quran yang menjadi penyelesaiannya). Di
dalamnya cerita umat terdahulu (untuk menjadi iktibar), perkara yang
akan datang berlaku dan hukum mengenai apa yang berlaku kalangan kamu,
yang menjadi pemutus (di antara yang benar dan salah), bukannya
olok-olok. Sesiapa yang rasa berkuasa berlaku sombong meninggalkannya
dibinasakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari petunjuk lain daripadanya
disesatkan (daripada petunjuk Allah yang sebenar). Dialah tali Allah
yang sangat kukuh, pengajaran paling bijaksana, jalan yang betul.
(Dengan sebab berpegang teguh dengannya) menjadikan hawa nafsu tidak
terpesong. Dialah kitab yang tidak bercampur aduk (dengan kata-kata yang
lain daripada Allah). Para ulama pula tidak merasa puas dan habis
daripada mengkajinya (sepanjang zaman), walaupun berulang-ulang membaca
dan mengkajinya. Kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan
sehingga sekumpulan jin apabila mendengarnya berkata: “Sesungguhnya kami
telah mendengar bacaan Al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke
jalan yang benar, lalu kami beriman (percaya dengan yakin kepadanya)”.
Sesiapa yang berkata sesuatu berdasarkannya, benarlah dia. Sesiapa yang
beramal dengan (bacaan dan ajarannya), diberi pahala. Sesiapa yang
berhukum dengannya, adillah dia. Dan sesiapa yang berdakwah (mengajak)
kepada ajarannya, sudah pasti diberi hidayah ke jalan yang betul”.
(Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)
Perlembagaan PAS menegaskan bahawa Al-Quran, Hadis, Ijma’ para ulama’
dan Qias adalah hukum tertinggi. Maka apa-apa keputusan yang bercanggah
dengannya dibatalkan. Majlis Syura ‘Ulamak yang dilantik di kalangan
pemimpin PAS yang berkepakaran dalam bidangnya diamanahkan untuk
memelihara segala yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan menjaga segala
batas sempadan, langkah dan tindakan PAS dalam perjalanannya
memperjuangkan kedudukan Islam yang menjadi penyelesaian terhadap
masalah negara dan umat.
Ahli-ahli dan penyokong PAS wajib memberi kepercayaan betapa PAS
terus beristiqamah dan konsisten dalam perjuangannya yang penuh cabaran.
Sehingga kini terus hidup subur tanpa terjejas dengan keputusan pilihan
raya yang hanya menjadi salah satu daripada ukuran kemajuan dalam
lapangan yang lebih luas daripadanya.
PAS adalah parti yang paling banyak mengalami kalah dan menang,
menjadi kerajaan dan pembangkang, sehingga ada negeri yang masih kosong
dari segi keputusan pilihan raya, tetapi terus hidup di mana ada manusia
yang menjadi sasaran dakwah dan politik, walaupun di cawangan hanya
keseorangan. Kini PAS berada di kampung, kementerian, jabatan, pusat
pengajian kerajaan dan swasta. Inilah akar umbi PAS yang tidak mati
dipotong dahannya, bahkan menumbuhkan cabang yang lebih bayak.
Berpijak di atas Undang-undang Tubuhnya, PAS tidak boleh diarah oleh
mana-mana parti atau pihak supaya mengubah haluan dan hala tujunya.
Hanya mereka yang terus buta Al-Quran meninggalkan PAS kerana
terpengaruh dengan politik yang melayar bahtera mengikut angin dan
gelombang isu semasa dan wawasan yang tidak sampai ke Hari Akhirat.
Hanya berlakon politik seperti lakonan filem yang tamat ceritanya
apabila hero sudah mati atau tidak berfungsi lagi.
PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi menyelamatkan negara
dan rakyat tanpa meninggalkan Al-Quran dan segala rangkaiannya yang
disebut dalam Fasal 7, Perlembagaan PAS. Perjuangan PAS berteraskan
aqidah yang ditanam di dalam hati ahli-ahli PAS yang melakukan gerak
kerja yang disaksikan oleh Allah dengan pegangan Islam yang sempurna,
bukan sekadar slogan yang dilaungkan dan ditulis pada sepanduk atau cara
hidup yang dianggap bebas daripada syariat Allah yang mencipta dan
memerintah alam seluruhnya.
PAS tidak boleh berpisah dengan Al-Quran, bukan sekadar dibaca
sahaja, bahkan diimani untuk menjadi petunjuk sepanjang perjalanan hidup
di dunia sehingga bertemu Allah. PAS tidak boleh berpisah dengan Sunnah
Rasulullah S.A.W. yang melaksanakan petunjuk Al-Quran itu, bukan sahaja
cara ibadatnya, bahkan dalam urusan perjuangan untuk menegakkan negara.
Walaupun perjuangannya dikepung di seluruh penjuru dunia, namun
meninggalkan warisan dan pusaka ilmu yang diwarisi oleh para khalifah
yang adil dan para ‘ulamak yang setia bersama Islam, sehingga meneruskan
obor perjuangan yang tidak boleh dipadamkan cahayanya sehingga kini.
Maka
PAS yang menyambung perjuangan ini wajib menolak mereka yang terbuka
menentangnya atau menipu untuk mengalih hala tujunya. Sepatutnya mereka
boleh mengenali PAS, di mana ada ahlinya yang boleh mempertahankan
aqidah perjuangan keseorangan di tengah masyarakat yang mengepungnya,
bukan sekadar cawangannya sahaja.
Kami percaya bahawa kami gagal ditipu sepanjang perjalanan, walaupun
menghulur tangan kepada sesiapa sahaja yang bersama Islam dan berdamai
terhadap Islam, dengan menghayati firman Allah:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ
لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١
وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ
ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ
قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ
بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ
عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣ الأنفال.
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu
juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika
mereka bertujuan hendak menipu kamu, maka sesungguhnya cukuplah Allah
(menjaga dan memberikan perlindungan) kepada kamu. Dialah yang
menguatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang
yang beriman. (62) Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati
mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta
benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan
di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di
antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(63) (Surah Al-Anfal: 61-63)
Ayat ini menegaskan bahawa perkara pertama adalah menyatukan
hati-hati orang yang beriman yang menjadi tonggak negara dan mengajak
mereka yang tidak beriman menyaksikan penyelesaian Islam.
Adapun urusan menipu berada dalam ilmu Allah, sesiapa yang menipu
celakalah dia, termasuk kita sendiri sekiranya menipu. Kalau mereka
ikhlas tetapi kita menolaknya, celakalah pula kita kerana menolak orang
yang ikhlas. Jangan campur urusan Allah yang menjamin bahawa Islam tetap
dipelihara dan sesiapa bersama Islam pasti selamat. Semuanya diyakini
oleh orang yang tidak buta Al-Quran.
Setiap penganut Islam wajib mengerti bahawa buta Al-Quran itu lebih
besar akibatnya daripada buta huruf dan perlu menyedari orang yang boleh
membaca, menulis, berpendidikan tinggi dan mendapat ijazah berjela-jela
dan gelaran ilmiah tetapi buta Al-Quran, ramalannya tanpa cahaya
hidayah yang tidak membawa kepada wawasan kita.
PAS tidak boleh menjadi sekadar tempat persinggahan kepada mereka
yang merasa dirinya sangat bijak untuk mempergunakan PAS mengikut
nawaitunya yang tidak ikhlas dan tidak bersuluh dengan cahaya petunjuk
Al-Quran, maka terjunlah mereka ke mana sahaja mengikut pandangannya
yang tersirat, namun tidak boleh mengheret PAS bersama mereka, termasuk
ahli PAS yang buta huruf tetapi tidak buta Al-Quran akan tetap selamat
bersama petunjuk ke arah wawasan Al-Quran, walaupun jauh perjalanan dan
memakan masa beberapa generasi.
Ahli PAS yang setia tidak boleh bersama mereka yang lemas tanpa
petunjuk Al-Quran dan memeluk apa sahaja untuk menyelamatkan diri
termasuk batu yang lebih meneggelamkannya atau meraba kepala tahi yang
dibawa arus sungai yang menghanyutkan.
Akhirnya hanya Islam mampu menyelesaikan semua kekusutan dan
pertelingkahan dengan petunjuk Al-Quran Kalam Allah, Ilmu dan
Kebijaksanaan-nya mengikut tunjuk ajar Rasul pilihan yang diwarisi
ilmunya yang tetap dipelihara oleh Allah.
“Sejahtera Bersama Islam”
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan