Oleh Mahdzir Ibrahim
KITA sudah melihat formasi pasukan Pakatan Harapan (PH) yang
dipersetujui bersama pimpinan tertinggi parti oposisi dalam
mempersiapkan pasukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada
bila-bila masa mulai sekarang. Selesai satu hal.
Kelebihan atau kekurangannya, akan kita hadapi bersama selepas ini.
Tiada benda yang sempurna, hanya "harapan" yang masih terus bulat di
hati rakyat.
Saya juga meneliti kerangka kerja sasaran 100 hari yang akan
dilaksanakan jika mendapat mandat rakyat menggantikan kerajaan
kleptokrasi Najib Razak.
Saya kira rangka kerja 100 ini adalah asas yang cukup jelas dan besar
maknanya. Namun, tugas paling besar dan mencabar adalah peranan Dr
Mahathir Mohamad, iaitu untuk memecahkan taboo pemikiran orang Melayu,
daripada ketakutan kepada berani, yakin dan melakukan perubahan.
Hakikatnya, tugas itu digalas oleh semua pemimpin, bukan Dr Mahathir seorang sahaja.
Sebaliknya, apa yang dimaksudkan ialah bagaimana Dr Mahathir sebagai
tokoh yang suatu ketika dahulu, sebagai perdana menteri paling lama
berkuasa dan presiden untuk dua parti (Umno 46 dan Umno Baru), membina
tembok hagemoni ketakutan kepada rakyat khususnya orang Melayu.
Ia bukan sahaja untuk mengekalkan status quo kuasa partinya tetapi
membina pemikiran yang percaya Umno adalah tiang seri kuasa politik
orang Melayu.
Itulah maksud saya.
Di sebalik misi besar 100 hari selepas mengambilalih kuasa kerajaan
kleptokrasi Najib, tugas memecah ketakutan orang Melayu inilah tugas
terbesar bagi Dr Mahathir khususnya, ketika ini.
Dalam berdepan hakikat pemikiran orang Melayu yang ditanamnya selama
ini, beliau pastinya berdepan tugas getir yang bukan semua pemimpin
sanggup dan mampu melaksanakannya.
Sewaktu beliau berkuasa, mencipta banyak undang-undang yang menyekat
kebebasan dengan maksud untuk menghalang sebarang perubahan politik, di
dalam mahupun di luar Umno.
Jika Dr Mahathir diibaratkan seorang warden berkuasa, suatu waktu
dahulu mampu membina, memasukkan, mengunci sel dan memenjarakan
rakyatnya, kini beliau perlu berusaha membuka kembali kunci sel itu
malah perlu mengajak rakyat keluar membebaskan diri (politik).
Saya kira tiada manual atau buku panduan untuk keadaan ini. Ia tergantung kepada kebolehan unik Dr Mahathir untuk melakukannya.
Apa yang ada di tangannya ketika ini, sama ada skandal 1MDB, kesan
GST, skandal FGV dan masalah Felda, mungkin hanya akan menjadi isu yang
boleh menggegar perhatian orang Melayu, tetapi mungkin belum cukup
menjadi kunci membebaskan taboo ketakutan yang tertanam dibenak sejak
sekian lama.
Kini, beliau sebagai salah seorang tokoh pembangkang yang berada di
saf paling depan, akan bersemuka bukan sahaja dengan Umno, malah mitos
pemikiran orang Melayu ini.
Sebelum ini, Anwar Ibrahim membawa obor reformasi dengan lenggok gaya
dan strateginya, namun belum cukup ampuh mengubah mitos tersebut.
Begitu juga dengan kempen "Ubah", belum berupaya memecah taboo
tersebut. Malah, ada yang berpendapat pakej ini juga membawa ton nada
negatif yang menjadi senjata makan tuan apatah lagi DAP dilihat
terkehadapan berkempen.
Justeru, adakah pakej yang sama ini, jika dibawa Dr Mahathir dengan
gaya bahasa dan strateginya, mampu memecahkan mitos itu? Atau adakah
kita perlu merangka naratif baru bersama Dr Mahathir untuk mencapai
maksud tersebut? Kita belum tahu.
Saya tidak dapat menganalisa pemikiran Dr Mahathir yang sangat
berpengalaman luas dan licik berpolitik. Tetapi apa yang kita semua
boleh jangka ialah beliau tidak akan mudah berundur daripada hajatnya.
Dahulu, hajatnya mengekalkan Umno ditampuk kuasa berjaya dikotakan hingga ia dan negara dirampas regim kleptokrasi Najib.
Hari ini, hajat beliau yang baru ialah menghumban keluar Najib dan
Umno daripada Putrajaya. Saya yakin, hajat ini juga akan dikotakannya.
Soal berjaya atau tidak, belum tahu. Politik, akhirnya tentang berkongsi
hajat dan musuh yang sama.
Tugas berat Dr Mahathir ini sudah semestinya memerlukan sokongan rakan gabungan PH.
Adakah rakan Dr Mahathir yang baru memahami naratif politik ini?
Sebelum mengizinkan politik pembangkang diolah kembali agar kunci
perubahan pemikiran orang Melayu dapat dibuka hingga perubahan politik
dapat berlaku.
Jika ini sebuah perlawanan bolasepak, kita sedang berada diwaktu "kecederaan" (injury time).
Bagi beliau, mungkin ini detik terakhir dan paling penting dalam
karier politiknya, ini mungkin menjadi "momen" bagaimana beliau dapat
membantu meluruskan kembali naratif politik kita.
Bagi Anwar, ini juga adalah saat terakhir beliau menyumbang semangat dan sisa-sisa karismanya untuk membuat perubahan politik.
Bagi Lim Kit Siang, juga akan menjadi titik penting bagi beliau dalam
usaha puluhan tahunnya untuk menjadikan DAP sebagai parti bagi semua
kaum di Malaysia dalam naratif kewujudan sebuah "Negara Bangsa".
Kita belum menang, tugas terbesar Dr Mahathir perlukan pembelaan.
Bercakap dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang percaya
kepada mitos, bukan hal yang mudah.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan