DALAM tempoh beberapa hari lalu, rakyat Malaysia dapat mengagak masa depan negara ini dan ia agak suram.
Jika pasukan Dr Mahathir-Anwar memberikan tanggapan yang negara ini
terperangkap dalam masa depan dan zaman lampau, lebih teruk lagi apabila
melihat paduan Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri.
Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim melakukan banyak kesilapan tetapi mereka bukan bodoh.
Mungkin pengaruh politik mereka hilang sejak beberapa tahun, mungkin
mereka tersingkir atau dicemuh bekas pengikut masing-masing, tetapi dua
lelaki ini, walaupun sudah melepasi masa perdana dalam politik, mereka
lebih pintar berbanding musuh mereka dalam Umno.
Bersatu semula selepas putus 20 tahun, dua individu ini – rakan
kongsi bertukar musuh dan kini kembali menjadi sekutu mengetepikan
permusuhan dan persaingan untuk sesuatu yang dilihat sebagai lebih
mendesak – iaitu menarik Malaysia kembali ke landasan betul daripada
perpecahan politik dan kehancuran.
Sebagai contoh, berapa banyakkah lagi hinaan hendak diberi dalam
sekadar menggambarkan dan mencemuh barisan kepimpinan tiga individu
memegang teraju Pakatan Harapan (PH) sebagai formula kegagalan?
Itulah yang dilakukan timbalan perdana menteri yang juga pemangku
timbalan presiden Ahmad Zahid Hamidi apabila berkata rakyat perlu kaji
dan bandingkan formula pakatan dengan dasar perkongsian kuasa Barisan
Nasional (BN) yang berkesan untuk negara selama ini.
“Secara logik, sebuah kapal yang mempunyai tiga nakhoda akan
terumbang-ambing (kerana) seorang ada yang ingin mahu ke kanan dan ke
kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan
tenggelam.
“Kami tidak mempersoalkan keputusan mereka, itu masalah mereka,
tetapi kami mahu rakyat kaji ini. Jika mereka ada peta jalan berbeza dan
arah mana mereka hendak pergi,” kata Zahid semalam.
Sudah tentu, semua ini politik. Adakah tiga kapten beberapa kapal
berbeza daripada dasar perkongsian kuasa BN antara kaum? Benarkah ada
formula perkongsian kuasa itu?
Malaysia perlu melihat melangkaui pakatan perkongsian kuasa
berdasarkan kaum itu. Ia perlu berdasarkan kepada sesuatu yang lebih
penting berbanding hanya bangsa yang menjadi jampi BN selama
bertahun-tahun.
Formula BN berkesan pada masa dulu, mungkin, tetapi mana-mana
kelayakan pemimpin yang bergantung pada kaum akan membawa kepada lebih
banyak kenyataan seperti diulang Zahid dan rakannya dalam Umno, Ismail
Sabri.
Ismail yang juga menteri dan ahli Majlis Tertinggi Umno, menekankan
barisan kepimpinan PH akan menyebabkan perpecahan undi Melayu dan
akhirnya membawa kepada DAP menang lebih kerusi dan Cina mengambil alih
jawatan perdana menteri walaupun Cina tidak ramai dalam barisan
kepimpinan tertinggi pakatan itu.
“Akhirnya kita Melayu akan terpecah tiga jika ini berlaku, jika
mereka (pembangkang) bentuk kerajaan, DAP akan ada kerusi paling banyak,
dan mengikut perlembagaan, mereka layak memutuskan siapa akan jadi
perdana menteri.
“Jika Lim Guan Eng mahu jadi perdana menteri, maka dia akan jadi.
Jika mereka tidak berani letak Guan Eng, mereka boleh letak orang
Melayu, tetapi dia Melayu seperti menteri besar Selangor, yang tidak
boleh buat keputusan kerana semuanya dikawal Teresa Kok, Hannah Yeoh dan
siapa-siapa lagi,” katanya.
Retorik lama yang sama mengenai politik kaum. Inikah yang dipanggil
perkongsian kuasa, BN?
Semua orang sama tetapi hanya satu komuniti lebih
sama dan layak memegang jawatan tertinggi?
Dan anda hendak komen mengenai barisan kepimpinan PH? Berapa suram
lagi yang boleh diharapkan jika faktor kaum terus menjadi kelayakan
utama untuk memimpin? Betapa bodohnya perbahasan ini, dari zaman Malaya
dan Malaysia dibentuk?
Bagaimana sebuah negara pelbagai bangsa hendak membangun jika ia
masih terperangkap dalam politik kaum? Ini negara rakyat Malaysia, bukan
hanya Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain.
Cakap-cakap seperti ini menunjukkan kurangnya tahap kecerdasan,
kepimpinan, wawasan, dasar dan empati untuk membina negara bagi rakyat
Malaysia.
Malaysia perlukan pemimpin bijak, bukan mereka yang berfikiran sempit
untuk berpegang kepada politik kaum sebagai mantera mereka. Dalam
jangka panjang, mungkin ia bukan pasukan Dr Mahathir-Anwar, tetapi
pastinya bukan juga mana-mana dalam pasukan BN pada masa sekarang.-Editorial
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan