Dunkirk, filem ‘bosan’ luar biasa yang bebas propaganda

Oleh Faisal Tehrani


Menonton filem “Dunkirk” adalah umpama membaca sebuah novel yang kompleks.
Sebetulnya, menonton hampir semua filem arahan Christopher Nolan seperti membaca sebuah karya sastera yang sulit, tetapi mengasyikkan.

Itu saya rasakan sejak dari Memento (2000), kemudiannya Insomnia (2002), The Prestige (2006); dan tentu sahaja dia lebih dikenali melalui trilogi The Dark Knight (2005–2012) dan Inception (2010).
Kegemaran peribadi saya adalah Interstellar (2014) tetapi Dunkirk (2017), bagi saya mengatasi semua karya sebelumnya.

Satu hal yang menguja tentang karya Nolan adalah pertama; kehadiran gagasan beliau yang sederhana tetapi dipolitikkan dengan penuh jiwa. Lihat sahaja trilogi The Dark Knight. Ia menukar Batman dari sebuah kisah komik aksi kepada sebuah monumen politik yang mencengangkan.

Kedua, karya Nolan selalu mengalami pelanggaran di mana dalam setiap karya, beliau bereksperimen dengan genre, pendekatan, dan pemikiran. Hampir tiada klise di dalam karya beliau. Kita tidak melihat askar cedera dengan paha terkoyak membuka dompet dan merenung foto kekasih sebagai contoh di dalam Dunkirk.

Ketiga, di sebalik pelanggaran itu, Nolan melakukan pengukuhan iaitu menurut saya, aspek dramaturgi yang tersendiri. Cara Nolan bercerita sungguh menggetarkan, di mana mustahil sama sekali untuk seseorang pengamat seni akan tertidur di kerusi panggung.

Keempat, dengan permainan latar masa dan teknik penceritaan seperti sebuah karya sastera, Nolan mempunyai jati diri yang utuh. Ia sekali lagi terpancar pada keperibadian dramaturginya.

Mengisi filem dengan ideologi

Jika anda tertanya-tanya, apakah dramaturgi; ia bermaksud naratif filem. Sesebuah naratif filem merangkumi tiga aspek iaitu kausaliti (sebab-akibat), latar masa dan ruang.

Dramaturgi sesebuah filem itu adalah ibarat cangkir ternganga dan boleh diisi dengan ideologi, gagasan, dan penyebaran budaya tertentu. Setiap karyawan perlu memahami, sebaik sahaja sesuatu tema atau subjek dipilih untuk digubah menjadi sebab dan akibat, lantas diberi latar masa dan ruang tertentu, maka di ketika itu jugalah sesebuah naratif terbangun.

Sebaik naratif dalam bentuk visual ini siap dan diberi nama sebuah filem, ia terdedah kepada pelbagai tafsiran.

Penjelasan di atas menegaskan seseorang penonton (yang tertidur dan yang jaga) datang dengan tanggapan yang terbentuk oleh latar budaya dan ideologinya. Bukan itu sahaja, filem itu sendiri sebagai satu institusi sedang melakukan satu bentuk pencorakan, atau pembentukan identiti menerusi dramaturgi atau naratif yang dikemukakan.

Oleh sebab itu, 2 prinsip dramaturgi yang sering perlu diperhatikan oleh penonton yang tekun adalah pertama, naratologi, atau ilmu berkenaan falsafah dan ideologi yang diwacanakan dalam penceritaan filem.

Kedua ialah sinematomi, iaitu berkenaan dengan “struktur dan bentuk” yang meliputi aspek pengarahan, sinematografi dan lakonan.

Ini bermaksud, sinematomi itu sendiri merupakan satu komponen dramaturgi dan bukan terhad kepada naratifnya sahaja. Oleh kerana itu, busana, mekap, pencahayaan, ruang dan apa sahaja yang muncul dalam skrin filem adalah bahagian dari dramaturgi dan tidak bebas dari kritikan seorang spektator.

Justeru, dramaturgi adalah naratif sesebuah filem yang berhubung rapat dengan isian, muatan, dan wacana yang disuguhkan oleh sesebuah filem.

Dunkirk yang luar biasa

Mengapakah Dunkirk bukan sebuah karya biasa?

Pertama, Dunkirk luar biasa istimewa kerana ia menggunakan pendekatan Sisyphean yang mana sama sekali mengabaikan watak, dan perwatakan tetapi hanya memberikan tumpuan kepada jaya atau gagalnya watak-watak yang hadir untuk keluar dari gejala yang sedang menekan mereka.

Jadi, kita hampir-hampir tidak kenal siapa watak-wataknya. Harry Styles, Aneurin Barnard, dan Tom Hardy sebagai contoh hampir tidak dikenal di dalam Dunkirk. Kita hanya menonton proses bagaimana beberapa orang tentera yang terperangkap di pantai untuk menyelamat, atau melarikan diri.

Setiap kali separuh jalan, mereka harus bermula semula di titik asal, sehingga kita menjadi tegang di kerusi dan bertanya, jalan apakah lagi mereka untuk keluar dari kecelakaan ini?

Kedua, filem Dunkirk juga sangat istimewa kerana ia mengabaikan “foreground story”, sedangkan “background story” ini memuatkan “sub teks” sesebuah filem.

Untuk menilai dan mengupas sub teks sesebuah filem, struktur naratif perlu dikaji dan dianalisa dan hubungan struktur cerita itu pula dilihat bersama dengan perkembangan watak utama.

Oleh sebab watak utama itu tidak jelas latar belakangnya kita sama sekali menjadi naif dan dengan sendiri mempersetankan sub-teks. Ia menjadi karya yang polos, transparen dan langsung.

Penonton bosan?

Oleh sebab Nolan mengetepikan “foreground” dan “background” dalam Dunkirk, ramai penonton yang tidak terbiasa membaca karya sastera post-moden dan avant-garde akan terlena.
Ini mungkin berlaku kerana penonton Malaysia terbiasa dengan filem atau karya sastera yang banyak dan gemarkan kelewahan.

Ketiga, dalam karya-karya Nolan, permainan plot menjadi kemestian. Bukan sahaja gejala Sisyphean dimain-mainkan sehingga kita cemas menonton adegan kombat, tetapi Dunkirk juga menampilkan keratan cerita yang latar masanya adalah seminggu, sehari dan sejam; dan kemudian dengan cekatan sekali menggabungkan semuanya dalam satu detik. Saat kita menyedari semua kisah itu adalah satu menjadi klimaks atau puncak kenikmatan estetik.

Keempat, Dunkirk menjadi sebuah filem perang yang menjauhi propaganda. Tiada watak kononnya negarawan seperti Winston Churcill atau antagonis seperti Adolf Hitler dari kamar perang memerintah itu ini.

Dunkirk mengelak dari menjadi alat penyebaran satu-satu idea. Propaganda seperti kita tahu, dilakukan secara sistematik, tersusun dan disengajakan, terancang dan bertujuan khusus untuk menaikkan atau lebih lazimnya menjatuhkan satu-satu individu, kumpulan atau institusi. Propaganda juga lebih dirujuk kepada tuduhan berat sebelah dan membesar-besarkan keburukan.

Dalam Dunkirk tiada “kejahatan” Nazi misalnya diperbesarkan, lain dari peluru dan bom yang berhujanan, kita hanya berdoa sebagai penonton (atau pembaca) agar watak anak-anak muda yang tidak kita kenal itu selamat juga akhirnya.

Padahal episod bersejarah sebesar Dunkirk ini boleh menjadikan Nolan seorang ejen propaganda untuk memburukkan blok tertentu. Ini tentu berbeza dengan filem sejarah tempatan seperti Tanda Putera yang memang objektifnya melakukan propaganda.

Nolan, dengan ini memilih untuk tidak sendeng terhadap satu versi sejarah. Ia berusaha mengelak pemaparan bias. Makanya Dunkirk menjadi sebuah karya post-modern dengan pendekatan mini naratif.

Kelima, Dunkirk menjadi karya ulung Nolan dan filem epik perang yang sama sekali lain kerana kekuatan sinematominya. Selain aspek pengarahan yang jitu, sinematografi pimpinan Hoyte van Hoytema yang sebelum ini berjaya mengangkat pengalaman galaksi yang asing dalam Interstellar sangat membekas. Ia dibantu oleh runut bunyi dan muzik hasil Hans Zimmer yang menurut saya, paling membantu menjadikan pengalaman menonton Dunkirk sebagai filem perang yang mendebarkan. Lakonan Kenneth Branagh, Mark Rylance dan Cillian Murphy juga menjadikan Dunkirk sebuah klasik.

Oleh sebab Dunkirk sebuah filem yang luar biasa, tidak mustahil ada penonton biasa yang akan terlena menontonnya. Mereka yang biasanya berjaya dan faham menonton Dunkirk, saya kira adalah mereka yang biasa membaca karya sastera besar dunia.

Bukan sahaja membaca novel memerlukan ketahanan, menonton sesetengah filem seperti Dunkirk juga memerlukan daya cerap dan analisa yang tinggi.

Ini tidak pula bermakna saya mengecam mereka yang gagal menikmati Dunkirk, kerana seseorang penonton atau pembaca itu terbangun oleh kebiasaan atau lingkungan karya seni yang pernah terdedah kepada mereka.

Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan